Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memandang serius pendedahan dan tangkapan besar-besaran berkaitan kegiatan songsang di sebuah pusat spa berhampiran Chow Kit baru-baru ini.
Operasi yang digerakkan oleh Bahagian D7 IPK Kuala Lumpur bersama DBKL dan JAWI, hasil risikan selama dua minggu, membuktikan bahawa gejala ini masih menular dan semakin berani bergerak secara terbuka.

Malaysia ialah sebuah negara yang majoritinya beragama Islam. Perbuatan sebegini bukan hanya mencemar maruah insan, malah merosakkan imej negara serta membawa kesan sosial yang amat berat.
Al-Quran jelas memberi peringatan melalui kisah kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan keji, sehingga dihancurkan dengan azab yang sangat dahsyat.
Ia bukan sekadar sejarah, tetapi amaran tentang akibat apabila manusia melampaui batas fitrah.
Dalam konteks semasa, penularan budaya songsang di Malaysia bukan lagi episod terpencil. Ia bergerak serentak dengan peningkatan zina, pengaruh hiburan yang melampaui batas, serta penghakisan nilai moral dalam masyarakat.
Menyaksikan sesetengah drama dan kandungan media massa mempromosi kecenderungan ini secara halus menambahkan lagi kebimbangan kami.

Kemajuan teknologi yang pesat tidak boleh menjadi alasan kita lalai daripada membina akhlak, jatidiri dan sahsiah berdasarkan ajaran agama.
Sama seperti isu riba yang pernah dipandang ringan lalu menjadi budaya, gejala songsang kini menunjukkan pola yang hampir sama jika tidak dibendung segera.
MAPIM menghargai usaha penguatkuasaan yang berjaya menumpaskan operasi tersebut. Namun, tindakan yang lebih menyeluruh dan tegas perlu dilaksanakan tanpa kompromi.
Demi menyelamatkan institusi keluarga dan generasi seterusnya, negara tidak boleh mengambil pendekatan longgar.

Sehubungan itu, MAPIM mengemukakan tuntutan berikut:
- 1. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap pelaku, pengendali premis dan individu yang terlibat dalam mempromosikan budaya songsang.
- 2. Hukuman yang lebih berat dan bersifat pencegahan agar tidak lagi berlaku pengulangan kes.
- 3. Pemantauan ketat terhadap industri hiburan, termasuk drama, filem dan kandungan digital yang mengandungi unsur normalisasi budaya songsang.
- 4. Kempen pendidikan akhlak berskala nasional yang melibatkan sekolah, masjid, media dan komuniti setempat.
- 5. Tindakan terhadap penganjur atau pengusaha kandungan yang secara terang atau tersirat mempromosikan gaya hidup bertentangan fitrah.
- 6. Kerjasama rentas agensi antara polis, DBKL, JAWI dan kementerian-kementerian berkaitan untuk operasi bersepadu dan menyeluruh.
- 7. Program pemulihan yang berasaskan agama dan psikologi, khusus bagi individu yang ingin kembali kepada fitrah dan memerlukan bimbingan.
- 8. Mengarusperdanakan budaya Islam sebagai identiti masyarakat Malaysia, termasuk dalam dasar-dasar pembangunan sosial.

MAPIM menegaskan bahawa nilai moral tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan negara.
Seluruh masyarakat, termasuk warga bukan Islam, secara umumnya berkongsi nilai yang menolak kerosakan akhlak dan kemusnahan institusi keluarga.
Kami menyeru kerajaan mengambil isu ini sebagai keutamaan nasional. Langkah separuh hati hanya akan menyebabkan gejala ini berkembang lebih jauh dan meninggalkan kesan jangka panjang yang sukar dipulihkan.
Semoga Allah S.W.T. melindungi Malaysia daripada segala ancaman sosial dan memberi kekuatan kepada kita untuk menjaga maruah dan fitrah insan.
Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
