Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) meneruskan kerja kebajikan bagi memberi sokongan kepada individu, keluarga serta komuniti yang memerlukan bantuan terutama dalam keadaan ekonomi dan taraf hidup semakin meningkat sekarang.

Dr Abd Radzak Malek (kiri) dan Abdul Rahim Osman (kanan) melihat proses berkhatan dilaksanakan.
Bagi persatuan itu, usaha yang dilakukan adalah untuk meringankan bebanan serta mengurangkan penderitaan mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup, khususnya keluarga dalam kalangan miskin dan asnaf, termasuklah hal membabitkan kewangan, pendidikan dan kesihatan.
Dalam usaha
terbaharu Bersama Khidmat Masyarakat PBKKTM yang mendapat kerjasama cawangan persatuan
itu di Taiping, Perak, yang diketuai Roshaniter Mohd Nusi, dan Klinik Kesihatan Trong
berjaya menganjurkan Program Berkhatan 25 Anak Asnaf di Dewan Pekerti pada 13
September 2025.
Majlis program itu dirasmikan Yang Dipertua PBKKTM, Dato’ Ts Dr Abdul Radzak Abdul Malek.
Turut hadir isteri beliau Datin Saaiyah Mohd Nor; Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Mohammad Sollehin; Penasihat PBKKTM Dato' Dr Sukarno Wagiman dan isteri, Datin Dr Milaton Hassan; Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Trong, Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Trong serta Ahli Jawatankuasa Tenaga Penggerak Persatuan dari Padang Besar, Taiping, Ipoh dan Kuala Lumpur.
Anak-anak keluarga miskin dan asnaf dimandikan sebelum melalui proses berkhatan.
Setiausaha PBKKTM, Abdul Rahim Osman, berkata program itu sudah menyantuni dan memberi bantuan kepada 145 anak asnaf serta miskin termasuklah dalam kalangan anak bekas kakitangan KTM sejak tiga tahun lalu iaitu 54 orang di Sik, Kedah: Tumpat, Kelantan (51) dan Negeri Sembilan (40).
Menurutnya,
program itu berjaya dilaksanakan adalah hasil sokongan ahli persatuan termasuk
ahli bersekutu, orang ramai, individu prihatin dan pelbagai pihaki lain yang
ingin membantu menjayakannya demi meringankan bebanan keluarga asnaf dan miskin
terbabit.
Tambahnya,
walaupun sering turun padang menjayakan pelbagai program bersama komuniti
seluruh negara PBKKTM turut terkesan apabila mendapat laporan daripada ahli
supaya meneruskan program kesihatan iaitu berkhatan seperti mana dilakukan
sebelum itu.
“PBKKTM
berasa bertuah apabila terus mendapat kerjasama dari pihak sekolah tempat anak
asnaf atau keluarga miskin berkenaan belajar disamping pusat perubatan di
kawasan atau daerah terbabit.
“Paling menarik apabila pihak yang memberi sokongan serta kerjasama turut memberi cenderamata sagu hati seperti kain pelikat remaja, tuala mandi, alat tulis dan makanan ringan manakala program di Trong ini Mohammad Sollehin memberi duit poket setiap mereka yang terbabit,” ujarnya.

Sebahagian anak keluarga miskin dan asnaf menunggu giliran untuk berkhatan.
Sementara
itu, Dr Abd Radzak ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan, mengucapkan
jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dan penderma yang menjayakan
Program Khidmat Masyarakat PBKKTM Berkhatan Anak2 Asnaf itu yang merupakan kali
keempat diadakan.
Menurutnya,
PBKKTM sentiasa mengikuti perkembangan kehidupan bekas kakitangan KTM terutama
yang menjadi ahli persatuan termasuklah apabila mnenerima maklumat mengenainya kerana persatuan memahami dengan pencen yang tidak seberapa memang akan menjadi bebanan
bagi menanggung keluarga.
Tambahnya,
daripada masalah kehidupan seharian apabila banyak harga barangan asas
meningkat naik sehingga kepada kesihatan seperti berkhatan, PBKKTM ambil peduli
perkara berkenaan dan serentak itu sudah turun padang sejak tiga tahun lalu
bagi membantu kos rawatan.
“Paling terharu apabila sesuatu program kemasyarakatan hendak dianjurkan, selepas diuar-uarkan dalam media sosial, kumpulan WhatsApp dan sebagainya ramai yang memberi sokongan dan kerjasama untuk membantu dengan menyumbang dana,” katanya. - KitaReporters

Mohammad Sollehin dan Dr Abd Radzak (tengah) merakamkan kenangan bersama ahli PBKKTM pada program berkenaan.