
Penganjuran pesta dan karnival keluarga, Karnival BMC Family 360°, bakal menjadi lebih istimewa dengan pelantikan penyanyi terkenal, Nabila Razali, 32, sebagai Jurucakap Acara.
Langkah strategik ini diambil oleh penganjur utama, Ai Global, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi, dalam usaha mereka untuk menjangkau khalayak yang lebih luas, terutama golongan muda dan keluarga moden.
Nabila, dikenali sebagai ikon generasi muda yang aktif dan berpengaruh, dipilih kerana keperibadiannya dilihat rapat dengan nilai-nilai kekeluargaan dan gaya hidup moden yang sihat.
Pengumuman pelantikannya dibuat bersempena acara Karnival BMC Family 360° yang akan berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras, dari 19 hingga 21 September 2025, bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Nabila Razali
Karnival BMC Family 360° adalah sebuah acara kekeluargaan berskala besar yang julung kali diadakan.
Berlandaskan ‘Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG)’, acara ini bertujuan untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan dan gaya hidup pintar melalui pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan serta hiburan yang disesuaikan untuk semua peringkat umur.
“BMC Family 360° bukan sekadar sebuah pesta dan karnival, tetapi sebuah platform komuniti untuk keluarga melangkah ke masa depan dengan lebih sejahtera dan berdaya tahan.
"Kami percaya bahawa kekuatan keluarga adalah asas kepada masyarakat yang makmur dan harmoni,” kata Prof. Dr. Ng Kheng Lun selaku Ketua Pegawai Eksekutif Ai Global pada sidang media yang berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras baru-baru ini.
Turut hadir Nabila Razali dan Pengurus Pusat BMC Mall, Desmond Tan (gambar bawah, duduk, tiga dari kiri).
Menurut Dr. Ng (sebelah Nabila), pemilik bernama penuh Nur Nabila Mohd Razali ini akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan objektif acara, dengan penglibatan langsungnya dalam pelbagai segmen utama, termasuk sesi bertemu peminat dan persembahan khas, serta kempen promosi menjelang acara utama pada 19 hingga 21 September nanti.
"Sebagai seorang ibu, isteri dan seorang wanita kerjaya, UN SDG telah menyediakan satu pelan tindakan bagi saya dan keluarga saya untuk membina dan membangun satu keluarga yang mampan, aman dan makmur, biarpun sekarang mahupun masa depan.
"Melalui SDG, barulah saya sedar kemampanan bukan hanya terhad kepada alam sekitar tetapi ada banyak aspek yang lain termasuk sosial dan ekonomi,” ujar Nabila sambil melahirkan rasa terujanya apabila berpeluang terlibat dalam penganjuran karnival, lebih-lebih lagi ia adalah satu cara untuk meraikan peranan keluarga dalam membentuk masa depan yang lebih baik.

BMC Family 360° dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang 3 hari penganjuran dengan sasaran komuniti dari Kajang, Cheras dan kawasan sekitar Lembah Klang.
Antara pengisian utama acara ini termasuklah pameran dan persembahan oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO, selain segmen E-sukan yang menampilkan pertandingan, ruang permainan interaktif dan pelbagai aktiviti untuk generasi muda.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan pertunjukan kebudayaan, persembahan khas oleh Nabila Razali, sebuah zoo mini untuk seisi keluarga, dan pameran inovasi yang merangkumi pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari.
Bertemakan ‘Selangkah ke Masa Depan’, Prof Ng berkata, “Ini adalah langkah pertama, langkah yang kecil tetapi juga langkah yang sangat penting. Selalunya langkah yang pertama adalah susah dan mencabar tetapi ia juga langkah yang sangat diperlukan.” - KitaReporters