Insan & Komuniti 07 Oct, 2025

Tolong kami! Bantu Adina Charity Circle! Beli Care Cake! Bantu keluarga anak-anak pesakit kanser!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Di sebalik setiap senyuman yang terukir, tersimpan harapan besar bagi ‘wira-wira’ kecil yang sedang melawan kanser. 



Menyedari beban berat yang dipikul oleh keluarga kanak-kanak pesakit kanser ini, Ajwa Bakery melancarkan program dinamakan ‘Care Cake’, satu inisiatif khas kolaborasi bersama Pertubuhan Kebajikan Adina atau lebih dikenali sebagai Adina Charity Circle dengan memperkenal produk terbaharunya -  'Marbeles Series' (kek keju marbles), simbolik kepada harapan dan kasih sayang.

Program ini bukan sekadar perjanjian perniagaan, tetapi adalah laungan solidariti yang menjemput seluruh rakyat, dari sektor korporat sehingga individu, malah pihak Kerajaan, untuk menyalurkan kasih sayang melalui sepotong kek. 


Dahlia Najmi (kiri) bersama Nurdieana Mohd Mardzi pada majlis pelancaran program "Care Cake' di Ajwa Bakery, Kota Damansara pada Sabtu, 4 Oktober 2025. 


“Kami percaya perniagaan mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat. Melalui 'Program Care Cake', kami berbesar hati dapat bersama Adina menjadikan setiap potongan kek sebagai hidangan yang membawa harapan, dan menyeru semua pihak untuk membeli, dan seterusnya menyumbang,” ujar Pengarah Urusan Ajwa Bakery Sdn Bud, Dahlia Najmi pada majlis pelancaran kek Marbeles, sekali gus menyaksikan upacara pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang ditandatangani bersama Pengerusi Adina Charity Circle, Nurdieana Mohd Mardzi.  

Turut hadir Timbalan Pengerusi Adina Charity Circle, Siti Marieyam Wearzana; Setiausahanya, Farah Raehan; dan Bendahari, Norazura Mohd Salleh. 



Menurut Dahlia, program 'Care Cake'  bertujuan menggabungkan dunia perniagaan dan kebajikan, di mana melalui kerjasama yang dijalin, Ajwa Bakery akan menyalurkan 30 peratus daripada hasil jualan kek ‘Marbeles’ (tiga perisa) ini terus ke Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina.

Menyasarkan jualan mampu mencecah 5,000 unit paket kek pada harga RM22 atau RM40 bagi pembelian dua pek, dana yang terkumpul akan digunakan untuk membantu Adina Charity Circle menyediakan keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi bagi kanak-anak dan remaja yang sedang berjuang melawan penyakit kanser. 

Selain pelancaran jualan produk, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menganjurkan kegiatan bersama seperti kempen kesedaran dan aktiviti bersama kanak-kanak kanser yang turut melibatkan para sukarelawan sepanjang tempoh kerjasama. 



Sementara itu, Nurdieana Mohd Mardzi menyambut baik inisiatif yang dilancarkan sambil  menegaskan bahawa kebaikan boleh datang dalam pelbagai bentuk, termasuk melalui makanan.

“Setiap pembelian bukan hanya memberi rasa manis, tetapi juga menyumbang harapan kepada anak-anak pesakit kanser,”  ujar Nurdieana sambil memaklumkan Adina Charity Circle yang ditubuhkan pada 2020 memerlukan kira-kira RM10,000 sebulan untuk perbelanjaan menyediakan keperluan asas bagi kanak-kanak pesakit kanser. 

Jelasnya, kos rawatan dan keperluan harian seperti susu khas dan lampin pakai buang semakin meningkat, dan banyak keluarga kini bergantung kepada sumbangan awam untuk terus bertahan.

“Lazimnya, kami berbelanja kira-kira RM100 hingga RM300 untuk setiap seorang kanak-kanak yang memerlukan bantuan.” tambah Nurdieana.




Belum pernah menerima sebarang bantuan daripada pihak Kerajaan atau badan-badan tertentu, Nurdieana bersyukur usaha Adina Charity Circle tidak pernah terhenti bahkan akan terus giat  mencari dana demi membantu keluarga dan kanak-kanak pesakit kanser yang memerlukan bantuan.

“Kami ada memohon bantuan daripada Kerajaan tetapi sehingga kini belum ada mana-mana organisasi mahu pun pihak Kerajaan yang tampil membantu,” akhirinya tanpa putus harapan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyokong usaha ini boleh mendapatkan kek 'Marbeles Series’ ini  di cawangan Ajwa Bakery Kota Damansara dan di Taman Melawati, selain platform jualan dalam talian.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Noor Balqis menerusi talian 019-380 0530 (Ajwa Bakery) atau Farah Raehan melalui nombor 019-980 7181 daripada Adina Charity Circle. - KitaReporters

12
16
0
13
0
You will be interested