Tega sungguh, ada netizen dengan tanpa usul periksa mengata delegasi Global Sumud Flotilla atau Flotila Sumud Global (GSF) 2025 pergi bersiar atau berjalan-jalan makan angin, menyertai misi itu hanya untuk keseronokan dan mahukan wang sahaja!

Sidang media Sumud Nusantara semalam, 9 September 2025 menyampaikan perkembangan terkini angkatan misi. - Kredit foto: FB Sumud Nusantara Official
Eh geram betul penulis, lantas membalas komen; "Seronok apanya, tak semua peserta dapat kapal atau bot yang elok, kena terima seadanya walau kurang sempurna, tandas satu bergilir tujuh lapan orang, tempat tidur tak cukup, makan tak boleh memilih hatta air diberi beberapa liter seorang.
"Kami kena guna sikit-sikit supaya tak kehabisan sebelum sampai destinasi singgah." Baca tak kemas kini laporan mereka dari lautan sana? "
Lagi satu ayat yang membengangkan, "buat apalah susah susah nak pergi ke sana ikut laut? Naik kapal udara, apa salahnya, hantarlah bantuan dengan pesawat bla bla bla bla..." Geram tak geram?
"Hello, nak beritahu, mereka yang pergi ke sana tu bergadai nyawa, masing-masing tahu risikonya, ibarat pergi berjuang ke medan perang tanpa senjata!" Sebab mereka membawa misi keamanan!
Yang pergi melalui udara tu lain, yang ni lain misinya. Ada lagi yang tak tahu apa pun mengenai matlamat perjuangan Global Sumud Flotilla 2025.
Selain membawa makanan dan pelbagai keperluan bantuan untuk penduduk Gaza yang dikepung, misi angkatan flotila adalah untuk "break the siege". Kita fahamkan ayat itu dahulu.

Perwakilan Malaysia dari kumpulan Sumud Nusantara memegang Jalur Gemilang. - Kredit foto: FB Sumud Nusantara Official
Definisinya, mengatasi sekatan ke atas sesebuah kawasan/bandar oleh pihak tertentu, dengan memecah masuk ke dalam kepungan melalui pelayaran yang membawa bekalan makanan dan barangan keperluan untuk penduduk terkepung atau untuk menewaskan operasi kepungan oleh pelaku secara keseluruhannya, sekali gus menamatkan sekatan/kepungan tersebut.
Dalam kes ini, kepungan oleh pihak Zionis Israel terhadap penduduk Gaza di Palestin. Angkatan itu sedang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terkesan, di ambang kebuluran.
Dan angkatan terpaksa memecah kepungan itu dahulu dengan erti kata meredah masuk bagi membolehkan mereka sampai ke destinasi.
Tiada kapal dibenar masuk membawa apa jua bantuan ke daerah dikepung, penduduk juga tidak dibenar turun ke laut menangkap ikan, mereka sudah lama kehabisan makanan.
Justeru delegasi flotila sudah bersedia menerima apa jua nasib hatta maut, kerana pihak yang mengepung akan melakukan apa sahaja tindakan menghalang kapal delegasi untuk masuk ke dalam kawasan di bawah kawalan mereka.
Pasti ada yang akan ditahan, entah apa akan dilakukan. Pemergian beramai-ramai itu dengan harapan akan ada kapal yang dapat bolos meneruskan misi.
Adakah anda yang tega berkata-kata itu dan ini tadi sanggup menghadapi semua risiko berkenaan? Sanggupkah untuk mati dalam misi yang kamu kata bersiar-siar dan bersuka-suka itu?
Tanyalah kepada delegasi sudah tentu ada juga yang takut, namun disulamkan dengan keberanian dan kesediaan reda untuk mati syahid.
Enam jam sebelum tragedi serangan dron. - Kredit video: FB Sumud Nusantara Official
Hari pertama sahaja kapal mereka dipukul gelombang kuat, ada terpaksa berpatah balik apabila bot rosak, serta perjalanan diintip dron dan pada awal pagi 9 September 2025 di Tunisia, sebuah bot yang membawa anggota penting dibom dan disambar api. Mujur semua selamat.
Itu tak masuk lagi cerita mereka yang mabuk lauk. Jangan main dengan keadaan ini, penulis pernah menyaksikan, penumpang bot muntah tak henti boleh buat diri terjelepuk lembik lotek, kata orang Kelantan.
Semua itu kena hadap, sehingga keadaan diri pulih sendiri.
Bagi netizen yang faham, saban hari berdebar mengenang keadaan dan nasib delegasi Global Sumud Flotilla 2025 yang sedang berada di tengah lautan, sambil terusan menitipkan doa. Sudah 10 hari pelayaran delegasi Global Sumud Flotilla membabitkan lebih 50 kapal dan 40 negara, pelayaran bermula 31 Ogos 2025.
Alhamdulillah, kesemua delegasi Malaysia seramai 15 orang selamat sampai ke Tunis,Tunisia setelah berlayar dari Sepanyol dalam 10 hari. Delegasi Malaysia dalam keadaan baik hanya seorang yang sampai itu memerlukan rawatan perubatan, demikian laporan dalam laman FB Sumud Nusantara Official.

Nampak seperti meriah dan menyeronokkan, debaran dalam hati hanya masing-masing yang tahu. - Kredit foto: FB Sumud Nusantara Official
Laporan dimuat naik sebaik selesai sidang media Sumud Nusantara 9 September 2025, jam 11.45 am waktu Tunisia. Maklumat seterusnya:
- Sebanyak 22 daripada 24 kapal telah berjaya sampai di Tunisia bagi misi Global Sumud Flotilla.
- Serangan ke atas sebuah kapal di pelabuhan Tunisia masih dalam siasatan. Semua pihak dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan selagi belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.
- Walau apapun yang berlaku, kita akan tetap teruskan misi ini seperti yang telah dijadualkan.
- Sumud Nusantara telah menubuhkan sebuah Command Centre yan diketuai MAPIM & CGM yang bertempat di MAPIM warehouse di Sepang.
Apabila wakil Malaysia memberitahu 30 peserta dari negara ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan, bermakna 15 orang - 15 orang, kita ingat peserta Malaysia akan bergerak sesama mereka dalam kapal yang sama tetapi apa yang berlaku tidak sama sekali.
Rupa-rupanya peserta Islam termasuk dari Malaysia dipisahkan antara satu sama lain bukan kerana rasis agama tetapi demi keselamatan.
Jadi saudara Islam kita yang di atas kapal tentunya faham apabila mereka diminta agar tidak belayar bersama satu kapal.
Walau apa sekali pun keadaannya, kita di Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan perjalanan misi pelayaran Global Sumud Flotilla, terus mendoakan agar mereka sentiasa dilindungi dan selamat sampai ke destinasi.
Di sebalik sedar risiko perjalanan mereka mungkin dipintas oleh puak Zionis Israel, masing-masing tetap menaruh harapan tinggi agar rombongan kapal pasukan sukarelawan antarabangsa itu berjaya dalam misi utama mereka.
Pelayaran Global Sumud Flotilla 2025 bermula dari beberapa pelabuhan utama di Eropah dan Mediterranean dengan pelabuhan utama pelancaran di Barcelona, Sepanyol, iaitu pelabuhan rasmi tempat pelepasan besar pada 31 Ogos 2025, melibatkan 30 kapal awal dan ratusan aktivis dari 44 negara.
Dari Barcelona, flotila menuju ke Tunisia sebagai hentian pertama sebelum ke destinasi seterusnya di Mediterranean Timur (biasanya Cyprus, kemudian ke arah G4za). Pelabuhan sokongan, Genoa (Itali), Catania (Sicily, Itali) dan Tunis (Tunisia).

Sidang media Sumud Nusantara pada 9 September 2025. - Kredit foto: FB Sumud Nusantara Official
Sementara itu, saudara di Gaza dengan penuh sabar menunggu misi bantuan itu. Mereka tersangat memerlukan susu, ubatan, makanan dan pelbagai lagi termasuk bantuan kemanusiaan doktor dan sukarelawan.
Teruskan ikuti perjalanan misi Global Sumud Flottila dan kisah perwakilan negara kita Malaysia yang berada di bawah kumpulan Sumud Nusantara.
Perjalanan seterusnya adalah peringkat paling mencabar di mana angkatan akan meredah dan memecah masuk sempadan kepungan (break the siege). - KitaReporters