Insan & Komuniti 20 Aug, 2025

Bantu pusat jagaan! Pemotongan KWSP bagi anak abaikan ibu bapa! Bina kompleks jagaan pesara kerajaan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Pemotongan khas bagi KWSP dikenakan kepada anak-anak yang dikenal pasti mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu atau bapa mereka. Juga mewujudkan kompleks atau pusat penjagaan warga emas dalam kalangan pesara berpangkat rendah terutama kakitangan kerajaan yang ditimpa musibah atau disisih oleh keluarga. - KitaReporters


Ahli Pesara Kerajaan Malaysia Group Kuala Selangor merakam kenangan bersama-sama sebahagian warga emas PJMM.


Hampir sebahagian daripada pusat jagaan warga emas termasuk di Selangor diurus selia oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai salah satu usaha murni kebajikan dan sukarela untuk memikul tanggungjawab menjaga mereka berkenaan yang diabaikan keluarga atau waris.

Tanpa mengenakan sebarang bayaran, pihak pengurusan pusat jagaan terbabit terpaksa bersusah payah saban hari mencari dana dan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi menampung kos pembiayaian operasi warga emas terbabit termasuklah untuk makanan, keperluan asas harian, perbelanjaan pengangkutan mendapatkan rawatan, bil utiliti dan sebagainya.

Walaupun terasa perit mencari sumber dana dan sumbangan, namun pengurusan pusat itu tetap bersyukur dapat menyantuni warga emas terbabit dengan kerana tidak sanggup melihat mereka berpeseleran menjadi gelandangan sedangkan sebahagian mereka itu ada ahli keluarga atau waris khusus anak yang mampu menjadi penjaga.


Gambar hiasan... Ada ibu bapa yang disisihkan ahli keluarga atau waris menjadi gelandangan kerana tiada tempat berlindung.


Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (Pakar), Muhammad Syafiq Mohiadin, mengesyor pihak berwajib mewujudkan satu kriteria seperti pemotongan khas bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikenakan kepada anak-anak yang dikenal pasti mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu atau bapa mereka.

Menurutnya, langkah itu dikira antara alternatif berkesan sebagai salah satu pengajaran selain memberi kesedaran kepada anak yang membuang atau menyisihkan ibu dan bapa mereka supaya tidak melepas tangan begitu sahaja tanpa berusaha untuk meringankan bebanan pusat jagaan itu.

Tambahnya, untuk mengenakan sesuatu hukuman yang lebih berat mungkin memerlukan kajian serta perbincangan berterusan pihak terbabit malahan walaupun tindakan sedemikian dapat membendung kes perbuangan ibu dan bapa disamping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewajiban seorang anak melindungi ibu bapa sendiri terutama yang tidak boleh urus diri dan jatuh sakit.


Muhammad Syafiq Mohiadin


“Melalui Jabatan Pendaftaran Pendaftaran (JPN), pengesanan susur galur waris atau keluarga warga emas berkenaan dapat dilakukan terutama anak yang sudah tentu akan mengetahui juga keberadaan ibu bapa selepas meminggirkan atau menyisihkan mereka,” ujarnya ketika menyantuni 14 ahli Pesara Kerajaan Malaysia Group Kuala Selangor yang mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 12 Ogos 2025.

Lawatan ahli pesara itu yang disertai penasihatnya, Datuk Lugiman Abu Seman turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas dan kewangan selain menyantuni warga emas dengan bertanya khabar termasuk mereka yang terlantar di atas katil.


Ahli pesara kerajaan menyantuni seorang warga emas PJMM yang terlantar di atas katil kerana uzur.


Muhammad Syafiq yang juga Setiausaha PJMM, berkata di samping itu, bagi pihak kerajaan juga sudah sampai masa untuk melihat dan menilai keperluan pembelaan kepada pesara-pesara kerajaan terutama yang berjawatan rendah dan kurang bernasib baik pada usia tua. 

Dalam hal yang demikian, jelasnya kerana sekarang ramai dalam kalangan golongan pesara itu yang ditimpa musibah seperti masalah kesihatan dan sebahagian pula tidak pernah berkahwin hidup sebatang kara sehingga akhirnya terdampar di pusat jagaan.

“Justeru masalah ini perlu diteliti dan satu kajian dibuat terhadap mewujudkan satu kompleks atau pusat penjagaan warga emas dalam kalangan pesara terutama kakitangan kerajaan supaya hidup mereka tidak terabai selepas ditimpa musibah atau disisih keluarga,” ujarnya.


Lugiman Abu Seman (tiga dari kiri) dan Jantan Abd Rahman (dua dari kanan) melakukan gimit penyerahan sumbangan kepada Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado.


Sementara itu wakil Pesara Kerajaan Malaysia Group Kuala Selangor, Jantan Abd Rahman, berkata lawatan ke PJMM itu adalah untuk melihat sendiri warga emas yang sebaya mereka menjalani kehidupan di pusat jagaan berkenaan tanpa orang dikasihi khususnya anak. 

Menurutnya, dengan lawatan itu kami berharap dapat menghilangkan rasa stres sesetengah warga emas berkenaan yang mungkin berasa terkurung selepas disisihkan oleh keluarga dan apabila disantuni rakan-rakan sebaya usia akan memberi sinar kegembiraan kepada mereka.

“Rata-rata ahli pesara ini berumur antara 60 dan 70 tahun juga menghadapi masalah kesihatan bagaimanapun kami mungkin bernasib baik dapat hidup bersama keluarga terutama anak-anak yang menemani sepanjang masa.

“Walaupun warga emas ini bukan kenalan atau saudara mara tetapi apa yang dirasai mereka itu kami amat memahami kerana dalam usia lanjut sebegini seharus gembira bersama keluarga atau anak-anak yang akan memberi ketenangan,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Pengerusi PJMM, Azman Rasman (kanan) merakamkan kenangan bersama-sama 14 ahli Pesara Kerajaan Malaysia Group Kuala Selangor.

12
16
0
15
0
You will be interested