Insan & Komuniti 05 Feb, 2023

Pengantin lelaki terkejut! Calon isteri minta mas kahwin kain kapan! Tidak mahu kereta, barang kemas!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: adnan580218@gmail.com

Share this

HAPIPI (kiri) sedang melafazkan ijab kabul di hadapan penghulu dan dibelakang Hapipi ialah Baiq Ratna Wahyuningsih. - Kredit foto: Tribunjatim.com


DALAM perkahwinan, setiap mas kahwin adalah wajib diberikan oleh kaum lelaki terhadap bakal isterinya dan biasanya mas kahwin itu berupa wang tunai, alat solat, al-Quran, sebuah rumah, barang kemas, sebuah kereta dan sebagainya yang berharga.  

Namun ia agak berbeza dengan seorang wanita di Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia bernama Baiq Ratna Wahyuningsih, 45, yang mahukan belanja mas kahwin ke atas dirinya amat mengejutkan calon suaminya, Hapipi, 47.


Lagi cerita-cerita aneh berkaitan kain kapan



Dalam majlis ijab kabul yang berlangsung di sebuah desa di Prapen, baru-baru ini, Ratna Wahyuningsih hanya meletakkan syarat mas kahwinnya ialah satu set kain kapan dan dia menolak walaupun Hapipi ingin memberi sebuah kereta kepada wanita itu sempena dengan perkahwinan mereka.

Viral dalam media sosial TikTok yang dimuat naik oleh akaun @panggilaku_panda yang memperlihat pasangan pengantin di Lombok Tengah melangsungkan perkahwinan mereka dengan mas kahwin hanya kain kapan.

Selain kain kafan, pengantin lelaki itu juga menyediakan wang tunai sejumlah Rp2.5 juta (RM715) sebagai wang hantaran untuk isterinya meskipun Ratna Wahyuningsih tidak mahu wang tunai.


HAPIPI dan Baiq Ratna Wahyuningsih menunjukkan mas kahwinnya berupa kain kapan di rumahnya di Prapen, Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat, baru-baru ini. - Kredit foto: iNews.id


``Suaminya (Hapipi) mahu dikasi wang tunai, kereta dan emas tetapi isterinya (Ratna Wahyuningsih) tidak mahu itu semua kecuali kain kapan sahaja,’’ lapor Tribunjatim.com, baru-baru ini. 

Ternyata, Hapipi memberi sehelai kain kapan dan peralatan kematian di majlis pernikahan itu untuk memenuhi kemahuan isterinya.

``Saya bertanya mas kahwin yang dia (Ratna Wahyuningsih) mahu tetapi dia menjawab dia hanya mahu sehelai kain kapan dan peralatan lain yang berkait dengan jenazah. 

``Saya amat terkejut kemudian saya tawarkan pula  beberapa kali benda lain seperti wang, emas atau kereta supaya ia dapat digantikan dengan mas kahwin itu tetapi dia tetap menolak hanya mahu kain kafan sahaja,’’ kata Hapipi.



MAS kahwin kain kapan. - kredit foto : Tribunjatim.com


Dalam video berkenaan, jelas kedengaran, penghulu (jurunikah) menyebut belanja mas kahwin Ratna Wahyuningsih ialah kain kapan.

Sementara itu, pengantin wanita itu berkata, mas kahwin yang ditawarkan oleh suaminya itu hanya merupakan untuk kesenangan hidup di dunia sahaja.

Menurut Ratna Wahyuningsih, yang pastinya barangan yang diperlukan dibawa ketika meninggal dunia hanyalah kain kapan sahaja.

``Kenderaan empat roda yang ditawarkan kepada saya pun saya kira hanya untuk kesenangan semasa hidup,’’ katanya.

Ratna Wahyuningsih berkata, walaupun kereta dan wang tunai sememangnya diperlukan semasa hidup di dunia tetapi akhirnya kain kapan juga lebih penting  diperlukan apabila seseorang meninggal dunia nanti. 

Kain kapan itu disimpan baik-baik dan diletakkan di ruang tamu untuk dilihat tetamu yang berkunjung ke rumahnya. - KitaReporters


Kredit foto : pojoksatu.id 

 

 

 

11
11
0
12
0
You will be interested