Insan & Komuniti 14 Mar, 2024

Video| Tolong kami! Bantu Irfan Danial! Pelajar 15 tahun rayu bantuan dapatkan alat pulih pendengaran!

@abdul razak din
Wartawan selama lebih 30 tahun, bekas wartawan Utusan, bekas Penolong Pengarang Ekonomi, bekas Penolong Pengarang Suplemen, bekas Pengarang Prosesan Utusan Malaysia ([email protected])

Share this

Irfan Danial Faizal Reza


Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah di Felda Lasah, Sungai Siput Utara di Perak merayu sumbangan orang ramai untuk mendapatkan alat pendengaran disebabkan masalah serius pada kedua-dua belah gendang telinganya.

Irfan Danial Faizal Reza, 15 mengalami masalah pendengaran sejak darjah 4 lagi dan kini ia didapati menjadi semakin serius.

Menurut ibunya, Norshuhaida Hassan, masalah pendengaran kurang baik itu ditambah lagi setelah Irfan Danial kehilangan alat pendengaran pada sebelah telinganya semasa bersukan di sekolah sejak empat bulan yang lalu.

Katanya, telinga kiri dan kanan Irfan Danial pernah dibedah di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), Ipoh bagi mengeluarkan cecair dalam telinga namun masalah pendengarannya masih belum dapat dipulihkan.

Masalah paling teruk adalah telinga kiri Irfan Danial yang tidak boleh mendengar langsung, sekali gus menimbulkan pulak masalah komunikasi semasa pembelajaran di sekolah dan rumah.



Oleh itu pihak doktor menasihat dan mencadangkan supaya keluarganya membeli alat atau mesin bantuan pendengaran yang baharu.

Doktor menyatakan kos membeli alat bantuan pendengaran untuk kedua-dua belah telinga itu dianggarkan berharga RM5,000 termasuk kos perubatan dan perbelanjaan ulang alik ke hospital di Ipoh.

"Oleh itu saya merayu bantuan sebanyak RM5,000 daripada mereka yang dermawan untuk membeli peralatan pendengaran itu kerana kos itu agak besar untuk kami menyediakanya.

"Peralatan pendengaran itu sangat penting kerana Ifran Danial akan menduduki peperiksaan UPSR tahun ini," kata ibunya yang mempunyai tiga lagi anak yang masih bersekolah. 

Irfan juga setakat ini belum mendapat sebarang bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun telah memohonnya beberapa kali.



Sebelum ini keluarganya telah menggunakan lebih RM5,000 untuk perbelanjaan perubatan Irfan.

Norshuhaida berkata, punca gangguan pendengaran itu disebabkan masalah cecair yang bertakung di dalam telinga yang perlu dikeluarkan.

Katanya, doktor juga ada menasihatkan supaya dikurangkan aktiviti bersukan untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Beliau juga bimbang jika alat bantuan tidak diperolehi atau digunakan, ada kemungkinan kuman yang dibersihkan daripada telinga Irfan Danial boleh menjangkiti anak-anaknya yang lain.

"Saya merayu sangat supaya orang ramai dapat membantu atau menyumbang untuk saya mendapatkan alat bantuan pendengaran dan juga membantu memulihkan kesihatan Irfan Danial," katanya lagi.

Kalau ada yang sudi membantu, mereka boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank yang bernombor 112103293773 atau menghubungi Norshuhaida melalui telefon bernombor 011-39936215. Alamat Irfan Danial ialah 21A, Felda Lasah Sungai Siput Utara, Perak. - KitaReporters


5
14
0
13
0
You will be interested