Insan & Komuniti 12 Feb, 2024

Video| Kafa Integrasi Al-Waani cemerlang! Raih keputusan 100% PSRA! Guru, ibu bapa berganding bahu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this



HASIL usaha bertungkus-lumus guru Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Al-Waani, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor, berjaya memacu sekolah itu berada dalam kelompok suasana persekolahan yang amat konsisten bagi mencipta dan mengekalkan kejayaan khusus dalam kalangan murid mereka.

Kejayaan itu dibuktikan dengan kecemerlangan yang direkodkan saban tahun menerusi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang sentiasa konsisten berada pada tahap peratusan cemerlang iaitu melebihi 90% ke atas seperti keputusan PSRA bagi tahun 2023 diumumkan pada 14 Disember 2023 lalu.

Dalam keputusan yang diumumkan itu, daripada 78 calon yang menduduki PSRA, 21 mendapat pencapaian Mumtaz, Jayyid Jiddan (36), Jayyid (14), Maqbul Lulus (7) dan tiada yang meraih Musaadah. 


Alias Ahmad menyampaikan sijil dan cenderamata kepada Muhammad Ammar Muhammad Ibrahim yang meraih Anugerah Kehadiran Cemerlang.


Pengerusi Kafa Integrasi Al-Waani, Alias Ahmad, berkata dengan keputusan yang diumumkan itu sebagaimana yang dimaklumkan pihak pengurusan kepada beliau, Kafa Intergrasi Al-Waani sekali lagi berjaya mengekalkan peratusan cemerlang serta mencapai kelulusan 100 peratus iaitu bermaksud tiada murid yang gagal.

Menurutnya, keputusan itu secara tidak langsung menzahirkan usaha serta kegigihan guru dalam memastikan kejayaan cemerlang murid tanpa memikirkan penat lelah yang terpaksa digalas setiap hari demi bagi memenuhi cita-cita anak didik mereka dan ibu bapa.

Katanya, di samping itu kejayaan sesebuah institusi pendidikan tidak dapat mengelak daripada hasil usaha dan kerjasama ibu bapa dalam memastikan khususnya anak mereka sentiasa bersemangat hadir ke sekolah untuk mengikuti pengajian dengan tekun serta menghormati guru.

“Saya ucap syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus mencipta kejayaan ini  termasuk murid berusaha gigih mengulang kaji pelajaran dan kepada yang gagal meraih keputusan baik tidak perlu berasa kecewa kerana peperiksaan itu peringkat awalan sahaja.

“Masih belum terlambat lagi untuk anak-anak menggandakan usaha bagi memperoleh kejayaan pada masa yang akan datang, bukan sahaja daripada sudut akademik, malah kecemerlangan dalam pembentukan sahsiah yang murni dan kokurikulum cemerlang kerana banyak lagi peringkat-peringkat perlu dilalui dan ianya akan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan diri,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ihtifal dan Khatam Al-Quran 2023 Kafa berkenaan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pada 4 Februari 2024.


Sebahagian ibu bapa dan murid yang hadir memeriahkan Majlis Ihtifal dan Khatam Al-Quran 2023 Kafa Integrasi Al-Waani di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pada 4 Februari 2024.


Turut hadir pada majlis itu, Penyelia Kafa Daerah Sepang, Selangor, Mahayunizam Mohamed Yusof; Ketua Guru Kafa Integrasi Al-Waani, Hariezul Ismail; dan ibu bapa murid. 

Majlis itu bagi menyempurnakan penyampaian beberapa anugerah seperti prestasi cemerlang, sahsiah, kehadiran dan tokoh murid disamping diserikan dengan persembahan nasyid dan qasidah oleh murid.

Alias berkata, majlis yang diadakan itu amat perlu dilaksanakan bagi memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan negara dan ummah kelak berlandaskan prinsip-prinsip al-Quran yang sebenarnya. 

Jelasnya, berikutan saban tahun pihak sekolah tidak pernah lupa mengadakan majlis berkenaan bagi meraikan kejayaan murid dalam bidang kurikulum, kokurikulum mahupun sahsiah malah ia juga bertujuan untuk meraikan ibu bapa dan penjaga yang sentiasa meletakkan kecemerlangan serta kejayaan anak-anak sebagai agenda utama dalam kehidupan mereka.

Tambahnya, selepas berjaya mencipta kejayaan ibu bapa atau penjaga sudah pasti akan sibuk pula untuk mencari sekolah yang terbaik untuk anak-anak mereka menyambungkan pengajian ke tingkatan satu dengan harapan dapat meneruskan kecemerlangan pada peringkat menengah.

Justeru beliau menasihatkan ibu bapa, supaya mendapatkan maklumat tepat mengenai pilihan sekolah untuk anak mereka ke tingkatan satu serta memahami prosedur yang ditetapkan termasuk mendapat nasihat daripada penyelia Kafa daerah.


Sebahagian murid yang terbabit dalam majlis khatam al-Quran Kafa Integrasi Al-Waani.


Sehubungan itu juga Alias menyeru kepada ibu bapa serta penjaga supaya dapat terus berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-anak, sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan juga kesihatan minda mereka.

Jelasnya, kedua-dua bentuk kesihatan itu amat penting untuk dijaga dan dipelihara supaya harapan di samping impian kita dapat direalisasikan sekali gus memenuhi harapan serta impian yang termaktub di dalam falsafah pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.

“Bagi murid yang sudah khatamkan bacaan al-Quran, jadikan intipati kandungan yang terdapat dalam al-Quran sebagai pendoman diri mengatur jalan hidup di dunia ini, supaya kehidupan yang dijalani menuju ke arah keredaan Allah SWT, bukannya ke arah kemurkaan-Nya.

“Jadikan majlis khatam pada hari ini sebagai titik permulaan untuk mengkhatamkan lagi bacaan al-Quran pada masa akan datang, teruskan membacanya sehingga akhir hayat kita disamping cuba pula membaca sambil tadabbur supaya dapat memahami lagi keindahan ayat suci al-Quran al-Karim,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Hariezul Ismail turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada murid.


Murid yang khatam al-Quran berjumpa dengan ibu bapa masing-masing selepas majlis selesai dilaksanakan.

20
14
0
20
0
You will be interested