@hazmilizwan Pantun Pak Malau #mediahiburanofficial #sekadarperkongsian #kongsi #fyp #fypシ゚viral #fypシ ♬ original sound - hazmilizwan
Filem-filem Melayu klasik sangat terkesan di hati penonton. Walaupun ditayang beberapa kali pun kita masih tidak jemu menontonnya.
Malah seniman dan seniwati yang menjadi pelakon dalam filem-filem berkenaan tetap hidup di hati kita walaupun sudah berpuluh-puluih tahun mereka telah pergi meninggalkan kita.
Kehebatan pelakon filem lama memang tiada tandingannya, lakonan mereka yang sangat menjiwai setiap watak yang mereka bawa benar-benar terkesan di jiwa penonton dan peminat filem Melayu lama.
Mungkin ramai masih ingat pantun ini dan siapa pelakon yang membawakan watak Damak:
"Kajang Pak Malau kajang berlipat,
"Kajang saya mengkuang layu,
"Dagang Pak Malau dagang bertempat,
"Dagang saya musafir lalu."
Pantun ini diucapkan oleh Allahyarham Nordin Ahmad dalam Filem Sri Mersing arahan Salleh Ghani dalam tahun 1961.
Ia mengingatkan kita pada lakonan hebat seniman Nordin yang sangat terkesan di hati penonton dan berjaya membawa apa juga watak dengan sangat berkesan.
Begitu juga lagu Gurindam Jiwa dalam filem Gurindam Jiwa arahan M. Amin tahun 1966. Lagu yang sangat merdu dan mendayu dayu ini, turut mengingatkan kita pada seniman Nordin yang bergandingan dgn seniwati Latifah Omar dalam sebuah adegan filem yang sangat romantis dan penuh kasih sayang.
Hidir Ali Razali penulis buku Nordin Ahmad Permata Seni Terbilang
Buku Nordin Ahmad: Seni Permata Terbilang yang ditulis oleh Hidir Ali Razali telah mengambil masa selama 20 tahun untuk menyiapkan buku sebuah biografi yang sangat terperinci.
Memang bukan mudah, dalam tempoh itu Hidir mendapatkan fakta-fakta yang dikumpul melalui pelbagai kajian.
Hidir juga berusaha mencari ahli keluarga Allahyarham Nordin Ahmad untuk ditemu bual bagi mendapatkan sebuah kajian yang tepat dan bermutu bagi menambah fakta menarik dalam buku ini,
Selain itu, buku ini juga menceritakan kisah-kisah terpencil di sebalik kemahsyuran legenda ini seperti sifat-sifat dan karakter Allahyarham yang hanya dikenali oleh ahli keluarganya.
Menurut Hidir sewaktu membuat buku Nordin Ahmad mindanya terpahat imej hero filem Melayu yang hebat seperti Nordin yang berani, tangkas dan tahan lasak.
"Pada saya Nordin Ahmad mempunyai karisma yang besar dan boleh dianggap sebagi ikon purbawara filem Melayu. Lakonan Nordin Ahmad sentiasa "hidup" dan Allahyarham menjiwai lakonannya dengan cara tersendiri yang sangat unik dan menarik," kata Hidir lagi.
"Saya buat research mengenai Nordin Ahmad sejak tahun 1998. Ketika itu saya berusia 15 tahun dan pada masa sama saya sudah mula menulis manuskripnya.
"Penulisan tertangguh atas faktor masa, mood dan tuntutan lain sehingga saya mula menulis kembali pada tahun 2016 sehingga selesai dan berjaya diterbitkan pada tahun 2020," jelasnya.
Bagaimanapun menurut Hidir, pelancaran buku berkenaan tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2020 disebabkan virus Covid-19 dan kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Anak-anak Allahyarham Nordin Ahmad
Hidir yang merupakan peminat tegar filem-filem Melayu lama sejak berusia 5 tahun, menyemai minat ini atas dorongan arwah ayah dan maknya yang selalu memberi pendedahan menonton filem-filem Melayu klasik lebih-lebih lagi filem Nordin Ahmad sejak beliau kecil lagi.
Menurut Hidir, arwah ayahnya memang sangat meminati seniman tersohor Nordin Ahmad.
Buku Nordin Ahmad: Permata Seni terbilang adalah terbitan Suara Sinefilia dan diterbitkan pada tahun 2021.
Katanya, banyak cabaran yang beliau tempohi sewaktu membuat kajian selama 20 tahun mengenai Allahyarham Nordin termasuk mengeluarkan duit sendiri bagi menjalankan kajian serta mendapat fakta-fakta menarik dan padu.
Baginya sebuah buku yang menarik dan berkualiti, mesti ditulis dengan penghayatan jiwa dan disokong dengan sumber-sumber sahih dan sangat terperinci.
Hasilnya pasti membuat pembaca berpuas hati dan merasa tidak rugi membeli sebuah buku yang bermutu dan sarat dengan fakta menarik. - KitaReporters
Hidir peminat tegar filem Melayu klasik sejak berusia 5 tahun.