Insan & Komuniti 19 Sep, 2023

SGJC testimoni Malaysia Madani! Beriadah serta berukhuwah! Badan sihat sambil perpaduan terjalin!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

SGJC menganjurkan pelbagai aktiviti bertujuan mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan perpaduan.


Menjalin persahabatan, mengukuhkan ukhuwah serta menyuburkan perpaduan pelbagai kaum adalah sesuatu yang sangat berharga bagi sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Pelbagai usaha serta kempen dilakukan oleh kerajaan serta rakyat sendiri bagi memastikan kerharmonian terus terjamin meskipun berbeza bangsa, agama dan adat budaya. Gagasan Malaysia Madani turut memberi penekanan terhadap usaha ini.

Bagi Seri Gombak Joggers Club (SGJC) yang diwujudkan sejak empat tahun lalu, mereka tidak mahu ketinggalan untuk turut mengambil bahagian serta memainkan peranan bagi menyatukan masyarakat sekitar Taman Seri Gombak, Gombak, Selangor, dengan cara mereka sendiri.

Walaupun tidak ditubuhkan secara rasmi dan hanya digerakkan oleh beberapa individu secara sukarela namun kewujudan SGJC secara tidak langsung kini menjadi ‘payung’ kepada masyarakat setempat yang sering melakukan aktiviti riadah seperti berjoging, bersenam serta berjalan (brisk walk) di Taman Tasik Seri Gombak.

Apa yang menarik, ia bukan sekadar kelab untuk menjalani aktiviti riadah tapi lebih daripada itu bagi mengwujudkan sebuah wadah untuk ahlinya saling mengenal, bersahabat, berukhuwah dan menjalin perpaduan menerusi pelbagai program dianjurkan.


AHLI kelab SGJC beriadah di Taman Tasik Seri Gombak sambil berukhuwah.


Salah seorang ahlinya, Abdillah Abdul Rahman, 75, berkata kewujudan SGJC secara tidak langsung telah menjadi penghubung untuk mereka saling mengenali serta menjalin persahabatan tanpa mengira kaum.

“Sesiapapun boleh menyertai kelab ini tanpa mengira apa latar belakang mereka, asalkan dia aktif beriadah di Tasik Seri Gombak. Tiada bayaran atau syarat dikenakan kecuali kami mengenakan larangan ke atas ahli daripada meyentuh isu-isu sensitif yang berkaitan politik, agama dan bangsa.

“Dulu, kami hanya sekadar saling menegur ‘Assalamualaikum’ atau ‘Selamat Pagi’ bila berjumpa atau berselisih semasa berjogging tapi sejak ada SGJG, kami lebih saling mengenali dan hubungan kami menjadi lebih rapat. 

"Kami berjaya menyatupadukan pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India, Sikh dan kaum lain melalui kelab ini,” kata Abdillah yang merupakan seorang pesara polis.

Menariknya, walaupun bukan sebuah kelab rasmi namun SGJG mempunyai baju kelab sendiri yang sering dipakai untuk beriadah atau semasa acara anjuran kelab berkenaan. Ia membuktikan kesepakatan dalam kalangan ahli.


ACARA makan-makan adalah antara aktiviti SGJC.


Antara aktiviti dijalankan oleh SGJG adalah acara makan-makan yang diadakan di taman rekreasi itu atau di restoran berdekatan. Selain itu, mereka turut mengadakan sesi ziarah ke atas ahli yang sedang diuji masalah kesihatan atau ke atas keluarga ahli yang meninggal dunia sambil menghulurkan sedikit bantuan.

“Untuk makan-makan atau ziarah, kami akan membuat kutipan dalam kalangan ahli dan tiada paksaan serta jumlah ditetapkan. Tapi, setakat ini, alhamdulillah, ahli-ahli kami sangat komited, ada antara yang berkemampuan bersedia menjadi penaja setiap kali majlis dianjurkan.

“Acara-acara sebegini menambahkan keeratan hubungan sesama kami. Bagi saya, secara tidak langsung, SGJC telah memainkan peranan menyambung persaudaraan bukan saja masyarakat sekitar Seri Gombak malah berjaya menyatupadukan pelbagai kaum di sini,” ujar Abdillah.


SGJC mengeratkan hubungan pelbagai kaum.


RICKY (kiri) tertarik dengan sikap toleransi pelbagai kaum yang diamalkan oleh SGJC.


Sementara itu, seorang lagi ahli, Ricky, berkata dia tertarik untuk menyertai SGJG selepas melihat sikap toleransi kaum yang ditunjukkan oleh ahli-ahli kelab berkenaan. 

“Pada awalnya, saya hanya memerhati dari jauh. Saya tertarik bila tengok ramai orang yang datang berjogging mengenakan baju Joggers Club Seri Gombak. Saya tengok bukan sahaja orang Melayu, malah orang Cina, India dan Sikh pun pakai baju ini.

“Apabila mereka mengadakan majlis makan-makan, mereka mengajak semua pengunjung di sini menyertai mereka walaupun mereka bukan ahli. Saya adalah antara yang dipelawa untuk sama-sama menikmati makanan yang dihidangkan walaupun ketika itu saya belum ahli.

“Sebenarnya tidak perlu daftar sebagai ahli pun, cuma sebagai sokongan, kami digalakkan membeli baju kelab bagi menunjukkan kesepakatan dalam kumpulan itu. Ya, saya sangat gembira dapat menyertai mereka.

“Bagi saya, ini satu usaha yang baik dan patut disokong oleh semua pihak. Sebagai rakyat Malaysia, perpaduan kaum sangat penting bagi menjamin negara terus aman. SGJC boleh dijadikan contoh,” kata Ricky. - KitaReporters


ABDILLAH (baju merah) mengetuai sesi ziarah keluarga kepada salah seorang ahli SGJC yang meninggal dunia.


15
11
0
13
0
You will be interested