Kumpulan pertama petugas kemanusiaan Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah selamat tiba di Kabul, Afghanistan lewat petang Jumaat, 24 September 2021. - Kredit foto: Ihsan GPM Malaysia
MELIHAT penderitaan rakyat Afghanistan yang menderita dengan krisis kemanusiaan selepas pengambilalihan pentadbiran Taliban mendorong NGO Global Peace Mission (GPM) untuk tampil diri menghulurkan bantuan kemanusiaan di negara bergolak itu.
Menurut kenyataan Ketua Pegawai Operasi (COO) GPM Malaysia, Syahrir Azfar Salleh, kumpulan pertama petugas yang terdiri enam sukarelawan kemanusiaan GPM Malaysia telah selamat tiba di Kabul, Afghanistan lewat petang Jumaat, 24 September 2021 lalu.
Sukarelawan berkenaan yang diketuai Azlan Muhammad Sharif disambut oleh wakil GPM di lapangan, Abdur Raheem Ghafari bersama Pengarah Bahagian Ketibaan Tetamu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Muhammad.
Terdahulu, Chargé d'affaires Malaysia di Pakistan, Deddy Faisal Ahmad Saleh (gambar bawah) sempat meluangkan masa bertemu dan menghantar para petugas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad untuk ke Kabul.
Objektif utama GPM bagi misi yang turut disertai Muslim Volunteer Malaysia (MVM) pada kali ini adalah untuk menghantar bantuan kemanusiaan segera kepada mereka yang terkesan dengan situasi yang tidak stabil di negara itu ekoran kejayaan Taliban menguasai keseluruhan pemerintahan Afghanistan pada 15 Ogos 2021 yang lalu.
Di samping itu, GPM juga akan turut melaksanakan penilaian keperluan bantuan-bantuan lain untuk tindakan selanjutnya, menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui platform dalam talian pada pautan www.peduliafghanistan.com atau melalui pindahan wang kepada Global Peace Mission melalui akaun Maybank bernombor 564221611602 dengan rujukan sumbangan PeduliAfghanistan. - KitaReporters
Mejar (B) Azlan Muhammad Sharif dan Syahrir Azfar Salleh (COO GPM) disambut oleh wakil GPM di lapangan, Abdur Raheem Ghafari dan Pengarah Bahagian Ketibaan Tetamu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Muhammad. - Kredit foto: Ihsan GPM Malaysia