Insan & Komuniti 09 Feb, 2021

Misi kemanusiaan Ustaz Ebit terhenti atas arahan! Tapi syukur, ramai Bajau Laut masuk Islam!

@mohamad fadhil mohd daud (allahyarham)
Memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan di Mysuara.net sebuah Unit Komunikasi Yayasan Kepimpinan dan Strategi Malaysia (YKSM). Kini merupakan Wartawan dan Penulis di agensi media KITA Reporters.

Share this

Aktiviti sepanjang misi kemanusiaan Ustaz Ebit Lew di kepulauan Semporna, Sabah


Heboh beberapa hari ini masyarakat Malaysia menzahirkan kekecewaannya dalam media sosial (medsos) apabila Ustaz Ebit Lew dihalang meneruskan ziarah kasih dan pemberian sumbangannya ke kawasan pedalaman terutama di pulau-pulau sekitar Semporna, Sabah.

Ada yang mengatakan itu dan ini sehingga terjadinya fitnah liar dengan menyalahkan beberapa agensi dan orang perseorangan kononnya berasa iri hati dan tidak senang dengan gerakan itu.

Bermulalah aktiviti memuat naik video peribadi netizen berbalas-balas pendirian dalam medsos menyokong Ustaz Ebit Lew kononnya dianiaya sesetengah pihak tanpa mengetahui perkara yang sebenar.


Lagi cerita-cerita yang ditulis oleh wartawan Mohamad Fadhil Mohd Daud dengan KitaReporters:

https://kitareporters.com/author/11183


Ini adalah tulisan terakhir wartawan Mohamad Fadhil Mohd Daud sebelum Allahyarham meninggal dunia pada petang Isnin, 8 Februari 2021. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor. 

Ternyata, "Allah sayang Mohammad Fadhil" dan memanggilnya pulang pada usia yang muda.

Kami pada pihak KitaReporters berdoa agar Allahyarham diampunkan segala dosanya, dilapangkan kuburnya dan dijanjikan syurga untuknya. Takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.



Kenyataan-kenyataan yang menuduh dan menyalahkan Pusat Zakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi topik hangat netizen mengatakan agensi itu tidak berbuat apa dan memejamkan mata serta berdiam diri sahaja.

Ada tuduhan lain memberitahu ini adalah perencanaan dan kehendak ahli-ahli politik kawasan yang mahu memberhentikan segera sumbangan yang dihulurkan pendakwah itu dan pulang ke Semenanjung dengan segera.

Kegagalan pendakwah itu berbuat demikian bakal dikenakan penjara selama tiga tahun dan denda wang sebanyak RM100,000 jika berdegil dan ingkar.


Keratan akhbar yang dikeluarkan sebuah portal berita di Sabah


Lontaran-lontaran busuk berupa tuduhan sebegitu memberikan wajah buruk kepada sistem kebajikan, keselamatan dan politik di Malaysia yang tidak ihsan dengan permasalahan warganya yang miskin dan susah.

Penulis memuji sikap warga Malaysia yang cakna dan prihatin memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap gerakan murni individu yang menyumbang pada waktu negara dalam kesempitan hari ini.

Tuduhan yang membabi buta, beremosi dan kritikal rakyat Malaysia memberi gambaran yang negatif terhadap sistem negara Malaysia yang sedang berjalan dengan aman dan teratur.

Memang tabiat orang kita gemar meletakkan penanda aras keaktifan seseorang menyumbang dibandingkan dengan gerakan kebajikan agensi di Malaysia yang dituduh "pasif".

Sebagai contoh mereka memuji kegigihan Ebit Lew mencari individu yang susah sehingga ke kawasan pedalaman tetapi tidak berlaku agensi yang sepatutnya menurut jejak sama seperti dilakukan oleh pendakwah itu.



Surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Semporna yang disalinkan kepada Majlis Keselamatan Negeri Sabah dan Polis Daerah Semporna


Ada yang menjelaskan Ebit Lew gemar mengambil pendekatan "work hard" agar pemberian sumbangan terlihat di mata turun ke hati seterusnya jiwa. Sekali gus itulah yang diharapkan netizen kepada agensi bertanggungjawab agar berjaya mendekati dan menjiwai keperitan hidup, sifar birokrasi serta pantas bergerak!

Sementara itu, sistem keselamatan negara turut terpalit dengan tuduhan yang dilontarkan. Mereka menuduh arahan disalurkan kepada penguat kuasa polis dan ATM kononnya memberi alasan penempatan yang dikunjungi berada dalam kawasan "redzone", perlu berjaga-jaga.

Ustaz Ebit Lew bakal dijadikan ancaman pengganas untuk diculik dan dijadikan tebusan setibanya di perairan pulau-pulau di Semporna. Walhal desas-desus yang berlegar itu tidak benar sama sekali.


Ustaz Ebit Lew dalam keadaan kecewa dan sedih


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Taman-Taman Sabah (TTS), antara kesalahan berat yang dilakukan terhadap kawasan terpelihara adalah dengan membina struktur atau bangunan di suatu kawasan taman (perairan) terpenting dan kesalahan itu boleh didenda RM100,000 dan penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.

Rancangan awal Ebit Lew yang mahu membina sekolah di perairan Sabah sambil menyediakan enam orang guru agama dan mengajar pendidikan asas 3M (menulis, mengira, membaca) terpaksa dibatalkan atas faktor perundangan yang telah termaktub.

Sedia kita maklum kawasan Sabah kaya dengan hidupan perairannya yang cantik, diiktiraf serta dilindungi dunia. 

Menjadi suatu kesalahan apabila kekayaan sumber laut yang menjadi ekosistem sempurna hidupan marin dicemari dan diceroboh sesuka hati.

Dalam pada itu, kerajaan Negeri Sabah melalui satu surat kelulusan dari Pejabat Daerah Semporna membenarkan tanpa halangan NGO Pertubuhan Kasih Umat Malaysia di bawah kelolaan Ustaz Ebit menjalankan misi kemanusiaan pada 28 Januari 2021 sehingga 2 Februari 2021 di sekitar Semporna.



Kredit @berita  harian


Seterusnya kelulusan daripada Pejabat Daerah Semporna itu disalinkan kepada Majlis Keselamatan Negeri Sabah dan Polis daerah berkenaan dengan tujuan pemberitahuan.

Susulan pendedahan tersebut, penyokong-penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah tampil ke depan mempertahankan keputusan dan mendakwa Ebit disekat kerana isu keselamatan sebab dia berjaya mengislamkan ramai penduduk Kepulauan Semporna.

Usaha murni Ebit Lew tidak hanya sekadar memberi bantuan dan pertolongan di kawasan yang diziarahinya bersama kumpulan NGO yang diasaskan.

Dalam keadaan getir umat Islam menempuhi masalah akidah yang menggemparkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehadiran Ustaz Ebit telah menggembalikan semula pendirian umat Islam yang mahu keluar agama atas faktor kesempitan.

Kekurangan wang dan bebanan hidup mungkin menjadi punca ada umat Islam yang mengambil keputusan drastik untuk murtad dan beroleh kesenangan hidup daripada pengorbanan agama yang memudaratkan.


Kredit foto: Instagram Ebit Lew


Jelas Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Ahmad Husam Baderudin, setakat tempoh PKP 1.0 dan 2.0 statistik kes-kes murtad yang berlaku di Malaysia amat menggusarkan, semestinya jumlah murtad berada dalam keadaan yang parah menjadi sesuatu yang sohor kini (trending) dan perkara dibual-bualkan masyarakat.

Dalam satu posting yang dimuat naik Ustaz Ebit dalam Instagramnya selama dua hari keberadaan di sana dia dapat mengislamkan seramai 490 penduduk yang mengucapkan syahadah dari empat buah kampung berbeza.



Sebahagian aktiviti pengislaman yang dilakukan Ustaz Ebit Lew di Sempotna, Sabah


Etnik yang dikenali Bajau Laut yang diibaratkan komuniti tiada negara dan hidup di kawasan air serta sekali sekala naik ke daratan menjadikan inspirasi kepada Ebit untuk menziarahi dan menghulurkan bantuan sambil-sambil berdakwah mengajak untuk mengenali Tuhan yang Esa.

Usaha terpuji Ustaz Ebit Lew ini bukan sahaja perlu dicontohi rakyat Malaysia, malah usahanya tidak pernah berputus asa dihujani rintangan, bebanan dan ujian dihadapinya dengan hebat sehingga menghasilkan kebaikan dan manfaat yang berpanjangan pada semua.

Pada pengakhiran postingnya juga, Ebit sempat merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi yang terlibat seperti PDRM, ATM, Komando VAT69, Maritim, PGA, TTS yang bersama-sama membantu dan mengiringinya sewaktu dalam ziarah yang dilakukan sebelum babak paling sedih memberhentikan misi kemanusiaannya ke kawasan kepulauan itu.

Destinasi terakhirnya ke kawasan Tawau, bagaimana pun dia sempat menghulurkan bantuan buat kali terakhir di daerah itu sebelum pulang semula ke Semenanjung dengan episod kesedihan yang tidak bernokhtah.

Sudah pasti penulis percaya kalimat "Allah sayang kita semua" berjaya disebarkan tanpa gagal dengan penjelajahan kawasan serta penempatan yang diziarahinya sepanjang misi kemanusiaan PKP 2.0 di Sabah. - KitaReporters

3
0
1
0
0
You will be interested