Insan & Komuniti 29 Apr, 2020

Tiada undangan menyanyi! Isteri strok! Rahmat Rabbani diduga

@editor 1
Editor Satu di KitaReporters >> Boleh emel kepada editor@kitareporters.com & Editor Satu di UtusanPress >> Boleh emel kepada editor@utusan.press

Share this

PERASAANNYA sangat segan untuk dia bercerita kepada umum akan hal ini. Namun, setelah berbulan-bulan melaluinya bersama-sama isteri dan keluarga yang boleh diibarat bagaikan ‘sudah jatuh di timpa tangga’, anggota kumpulan nasyid Rabanni ini akhirnya sudi berkongsi masalah hidupnya. : KitaReporters

Rahmat Rabbani (kanan) bersama isterinya, Norazlina A Rahman di rumag mereka di Damansara, Kuala Lumpur.


Berkali-kali dipujuk oleh wartawan, akhirnya Ahmad Shafie atau lebih dikenali sebagai Rahmat Rabbani, membuka mulut.

Bercakap kepada Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Rahmat memberitahu bahawa kehidupan mereka sekeluarga agak tenat sekarang ini, setelah isterinya, Norazlina A. Rahman, 48 mengalami masalah strok.

Sejak dua bulan lalu, ibu kepada empat anak itu tidak lagi mampu menjalani kehidupan dengan sempurna. 

Kesan terjatuh di bilik air pada awal Mac lalu, doktor mengesahkan Norazlina mengalami kelumpuhan separuh anggota badan, selain pendarahan di kepala dan kerap berulang-alik ke hospital.

“Ini dugaan buat Rahmat sekeluarga apabila dia juga semakin susah untuk bergerak kerana perlu menjaga isterinya di rumah. 

"Rahmat sendiri pula sudah tidak ada punca pendapatan apabila Rabbani tidak lagi dipanggil untuk membuat persembahan pentas semenjak awal tahun lalu.

"Sepanjang 2019 juga, persembahan sangat terhad dan lebih kepada persembahan berbentuk amal sahaja.  

“Dalam keadaan tidak ada pekerjaan dan kini isterinya pula sakit, memang dugaan ini agak berat untuk Rahmat sekeluarga,” kata Tengku Khalida yang berkongsi kesedihan dengan kisah Rahmat.


Menurut Tengku Khalida, kehidupan keluarga Rahmat sebelum ini banyak bergantung kepada tawaran persembahan pentas bersama Rabbani semenjak lebih 20 tahun lalu.

Hidup sebagai artis ada pasang surutnya, sementelah tiada pendapatan tidak tetap seperti pekerja di sektor awam dan swasta lain. 

Keadaan diburukkan lagi dengan tragedi pandemic Covid-19, di mana semua orang perlu duduk di rumah dan mematuhi arahan PKP sejak pertengahah Mac 2020.

“Pada ketika tiada tawaran persembahan sebelum ini, isteri Rahmat turut membantu ekonomi keluarga dengan berjualan masakan tradisi Terengganu, seperti nasi dagang dan laksam.  

“Bagaimanapaun kini keadaan berubah 100 peratus apabila isterinya sendiri sudah kurang bermaya dan Rahmat sendiri tidak boleh ke mana-mana untuk mencari rezeki buat menampung belanja keluarga,” jelas Tengku Khalida.

Rahmat berharap, kata bekas pengarang hiburan ini, agar ada pihak-pihak di luar sana yang sudi membantu beliau dan isteri yang memerlukan kos sebanyak RM1,500 sebulan bagi keperluan ubat-ubatan, pampers dan keperluan lainnya.

Rahmat (kanan) dan isteri menerima kunjungan Ustaz Sheikh Mohammad (dua dari kiri), yang menyampaikan bantuan barang keperluan asas termasuk lampin pakai buang.


Sempat menziarah ke kediaman Rahmat di Damansara, Kuala Lumpur dalam lawatan pendakwah muda, Ustaz Sheikh Mohammad telah menyampaikan barangan keperluan asas termasuk lampin pakai buang yang kini sangat diperlukan oleh Norazlina ketika ini.

Menurut Sheikh Mohammad, Rahmat telah berdekad-dekat menghiburkan hati rakyat Malaysia melalui lagu-lagu bernuansa ketuhanan dan keagamaan.

Banyak nasihat yang baik telah disampaikan oleh beliau bersama kumpulan Rabbani kepada anggota masyarakat.

“Jadi, pada ketika Rahmat dan keluarganya sedang dilanda dugaan yang besar sebegini, kita berharap agar semua pihak dapat tampil membantu.

"Kita usahakan untuk memberi sumbangan serba sedikit kepada beliau (Rahmat), agar beliau dapat melepasi ujian dan dugaan ini dengan baik dan kembali bangkit.

“Percayalah, setiap sumbangan yang diberikan oleh anda semua akan mendapat ganjaran yang setimpal dikemudian hari kerana Allah SWT telah berjanji bahawa tidak akan jatuh miskin insan-insan yang sering bersedekah,” jelas pengasas bisnes Laksa Ustaz ini.

Mereka yang ingin membantu meringankan beban Rahmat dan isteri boleh terus menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Ahmad bin Shafie bernombor 5642760505. - KitaReporters
0
0
0
0
0
You will be interested