Insan & Komuniti 27 Jun, 2020

The Undertaker! Pacakkan nisan karier gusti profesionalnya!!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

SELEPAS 33 tahun bergelumang dengan sepak terajang gusti profesional sejak 1987, The Undertaker mengumumkan persaraannya dalam episod akhir siri sebuah dokumentari TV World Wrestling Entertainment (WWE), ‘Last Ride’. Pengumuman ini turut disahkan oleh majikan sukan hiburan itu, WWE dalam laman sosial Twitter rasmi mereka pada Isnin, 22 Jun 2020 dengan mesej: "Terima kasih Undertaker". : KitaReporters

GAMBAR laman Twitter WWE dengan kapsyennya: "Terima kasih Undertaker." - Kredit foto: WWE


Bekas juara dunia tujuh kali WWE atau dulunya World Wrestling Federation (WWF) itu berkata, keputusan ini diambil setelah mendapati tiada apa lagi yang tinggal untuk diburunya dan dia sudah puas dengan karier tersebut.

 “Saya berada di satu titik inilah masanya koboi ini benar-benar beredar pergi. Tiada lagi untuk saya takluki atau capai. Sukan ini sudah berubah. 

"Tiba masanya untuk jagoan baharu tampil. 

“Saya percaya saya kini di satu tempat (berehat) pasca-Boneyard Match (Pertarungan Perkuburan WrestleMania 36, 4 April 2020) - satu pertarungan terhebat menentang penggusti terbaik sukan ini (AJ Styles). 

“Ada banyak hal yang berlegar pada fikiran dan perasaan yang bermain, satu daripadanya, ‘adakah kamu cukup bahagia dengannya?’ 

"Suatu detik yang amat kuat. Kamu tidak semestinya selalu mendapatnya,” katanya dipetik daripada dokumentari 'Last Ride'.

THE Undertaker menghentam belakang badan Mark Henry dari titian tali gelanggang. - Kredit foto: WWE


Mark William Calaway (nama sebenarnya), 55, juga ialah bapa kepada empat anak daripada tiga perkahwinan termasuk dengan isterinya sekarang, Michelle McCool, bekas juara wanita dan diva WWE empat kali. 

Penggusti berwajah bengis dan sukar senyum ini menceburi arena WWF dengan gimik penggali kubur yang misteri pada pertarungan beregu berempat Survivor Series 1990.

Dia yang pernah ditemani Paul Bearer (berimej pengurus rumah mayat), menambah, “inilah penamat yang tepat sebuah karier. Adakah saya akan kembali bergusti? Hanya masa yang akan menjawabnya. 

“Jika Vince (McMahon, pemilik WWE) menghadapi masalah atau kecemasan dan perlukan khidmat saya, saya akan pertimbangkan (kembali sebagai The Undertaker). 

"Buat masa ini, saya tiada keinginan untuk kembali ke gelanggang,” katanya.

MEMENANGI kejuaraan WWE dalam WrestleMania 13 dengan menumpaskan Sycho Sid pada 1997. - Kredit foto: WWE


The Undertaker kerap dikaitkan dengan rekod tanpa kalah dalam 21 pertarungan WrestleMania berturut-turut dari 1991 hingga 2013 yang meliputi menewaskan Sycho Sid, Batista dan Edge bagi meraih kejuaraan WWE dan heavyweight dunia. 

Rekod hebatnya juga dengan menumpaskan si handalan seperti ‘Superfly’ Jimmy Snuka, Jake The Snake, Diesel, Shawn Michaels dan Triple H, dileburkan Brock Lesnar yang menindannya tiga kiraan dalam WrestleMania XXX, 2014 di New Orleans, Louisiana. 

The Undertaker gemar mengamalkan penangan penyudah yang digelar Pacakan Nisan (Tombstone) yang mengepit kepala lawan dengan sisi dalam lutut lalu dihentak ke kanvas gelanggang. 

Selain WWF/WWE, antara arena gusti pro yang pernah disertainya ialah United States Wrestling Association (USWA), World Class dan World Championship Wrestling (WCW). 

Calaway turut berbakat di layar perak dan TV antaranya mendukung watak jahat dalam ‘Suburban Commando’ di samping jagoan legenda Hulk Hogan, ‘The Flinstones’ dan ‘Scooby-Doo!’ (penyuara filem animasi), Downtown dan America’s Most Wanted. - KitaReporters

MEMBALUN Batista dalam WrestleMania 23, 2007 di Detroit, Michigan. - Kredit foto: WWE 


AJ Styles - lawan terakhir The Undertaker ketika Pertarungan Perkuburan WrestleMania 36. - Kredit foto: WWE


BIODATA :

Nama sebenar

Mark William Calaway

Lahir

24 Mac 1965 (55 tahun) di Houston, Texas, Amerika Syarikat

Menetap

Austin, Texas

Anak

Empat orang

Adik-beradik

Lima - bongsu  (David, Michael, Paul dan Timothy)

Ibu bapa

Betty Catherine Truby & Frank Compton Calaway 

Pendidikan tertinggi

Universiti Texas Wesleyan, Forth Worth, Texas

Sukan kegemaran lain

Bola keranjang

Gimik gusti

Cain The Undertaker, Mark Callous, Mean Mark Callous, Mean Mark, Dice Morgan, The Master of Pain, The Punisher, Texas Red, The Undertaker

Tinggi & berat

2.08 meter & 140 kilogram

Dilatih oleh

Buzz Sawyer

Mula pro

26 Jun 1987

Penangan penyudah

Pacakan Nisan, Pacuan Akhir, cekak banting & kunci kepala tiga segi

Kejayaan terbesar

Juara USWA, juara World Class, juara heavyweight dunia 3x, juara WWF/WWE 4x, pemegang rekod WrestleMania 25-2

Bersara

21 Jun 2020

 

2
0
0
0
0
You will be interested