Insan & Komuniti 24 Nov, 2020

Bantuan banjir! Pesara polis dibantu rakan alumni, ADUN, UMNO

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

TERKEDU hati bekas anggota polis apabila menerima kunjungan mengejut rakan-rakan sekolah yang menghulurkan bantuan selepas beliau terbabit dalam kejadian banjir akibat limpahan air sungai Kampung Air Taking Dangi, Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. : KitaReporters 


Amir Mohd Talib (empat dari kanan) bersama-sama rakan dari Persatuan Bekas Pelajar SMKDUAM yang mengunjunginya bagi menghulurkan bantuan.


Lagi kisah-kisah berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Lebih mengharukan Amir Mohd Talib dan isterinya Maimunah Abdul Hamid yang kedua-duanya berusia 58 tahun, apabila kunjungan  pada Jumaat 20 November 2020 itu turut disertai Ahli Dewan Undangan (Adun) Johol, Saiful Yazan Sulaiman

Kunjungan ahli Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan Dato’ Undang Abdul Manap (SMKDUAM) iaitu rakan sekolah Amir adalah bagi melahirkan rasa simpati serta menyampaikan bantuan barangan makanan asas seperti beras, gula, sardin, tepung gandum dan sebagainya kepada beliau sekeluarga sehari selepas banjir melanda. 


Amir Mohd Talib dan Maimunah Abdul Hamid


Saiful Yazan Sulaiman (dua dari kanan) mendengar perjelasan penduduk mengenai banjir yang melanda Kampung Air Taking Dangi, Johol.


Setiausaha persatuan itu, Abdul Samah Abdul Samad, berkata ahli persatuan dan Saiful Yazan terkejut apabila melihat pelbagai peralatan dan perkakas dalam rumah Amir mengalami kerosakan teruk dipukul arus deras sungai itu dalam kejadian yang berlaku jam tiga pagi.  

Menurutnya, Amir yang baru sahaja berpindah ke rumah baharunya itu selepas bersara sebagai seorang anggota polis berpangkat Sarjan tiga tahun lalu turut bersedih apabila tiga kereta dan motosikal milik menantu serta anaknya rosak akibat digenangi banjir.

“Manakala 21 kambing yang diternak sebagai kerja sampingan untuk menampung kos hidup selepas bersara hanyut dibawa arus deras sungai berserta  beberapa bongkah makanan haiwan itu yang baru dibeli. 

“Kunjungan ahli persatuan bersama Saiful Yazan diharap dapat membantu meredakan perasaan kecewa dan tertekan Amir apabila melihatkan keadaan rumahnya terutama dalam situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang,” kata Abdul Samah. 


Khuzir Talib (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bekas pelajar SMKDUAM kepada Amir.


Pengerusi persatuan bekas pelajar itu, Khuzir Talib, berkata sebaik sahaja mendapat berita mengenai banjir yang menimpa Amir, ahli persatuan terus membuat perbincangan untuk mengambil langkah segera membantu keluarga rakan mereka itu. 

“Kami berasa bertuah apabila dapat hadir bersama Saiful Yazan yang turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk Amir yang mengalami kerosakan harta benda paling teruk,” katanya. 


Saiful Yazan (berdiri di tengah) bersama-sama mangsa banjir menerima bantuan pada 21 November 2020.


Sementara itu, Amir dan isteri berasa terharu apabila mendapat perhatian dan bantuan daripada rakan SMKDUAM  serta Saiful Yazan yang segera datang memberikan sumbangan supaya dia tidak berasa terlalu tertekan terutama dalam situasi PKPB sekarang ini.

“Saya dan isteri bersyukur kerana terselamat ketika arus air deras sungai mula memasuki rumah dan merosakan pelbagai peralatan dan perkakas yang tidak sempat untuk diselamatkan,” kata Amir yang turut menerima bantuan daripada Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Sembilan. - KitaReporters


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Suzlyana Mahyudin menyampaikan sumbangan bantuan kepada seorang mangsa banjir.

24
2
0
1
0
You will be interested