Insan & Komuniti 28 Nov, 2020

Pulanglah anak! Kasih sayang ayah ibu dibawa sampai ke mati!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

KEPILUAN hati tetap terpahat di sanubari sepasang warga emas yang sentiasa mengenangkan lima orang anak yang jarang menziarahi mereka yang tinggal di sebuah rumah usang di sebuah ladangKasih dan sayang ibu bapa terhadap anak-anak tetap dibawa ke mati walaupun mereka tidak pernah bertanya khabar serta menjenguk mereka. : KitaReporters


FATIMAH Mat Rani dan Mat Lazim Ismail kini tinggal di Estet Goh Tong Sungai Remuk, Batang Kali, Hulu Selangor.  - Kredit Foto : Asia Kini.


Lagi kisah-kisah berkaitan warga emas:

https://kitareporters.com/search?search=warga+emas


Kesedihan sentiasa terasa kepada pasangan suami isteri itu apabila setiap kali tiba hari raya terutama Hari Raya Aidilfitri yang tidak pernah kunjung tiba oleh anak-anak serta cucunya untuk meraikan bersama mereka menyambut hari lembaran yang penuh bermakna buat umat Islam. 

Demikianlah keluhan serta rintihan seorang ibu, Fatimah Mat Rani, 64, serta suaminya, Mohd Lazim Ismail, 74, yang sentiasa mengingati lima anak yang kesayangan mereka itu. 

FATIMAH MAT RANI yang berasal dari Pekan Ajil, Hulu Terengganu sedang memotong batang buluh lemang. - Kredit foto: Asia Kini


``Kasih dan sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya tetap dibawa ke mati walaupun mereka tidak pernah bertanya khabar serta menjenguk kami di sini. 

``Kemungkinan kehidupan kami di sini yang serba serbi kekurangan serta daif tiada bekalan elektrik dan air menyebabkan anak-anak mak chik tidak selesa berada di rumah ini biarpun dalam masa sekejap,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Estet Goh Tong Sungai Remuk, Batang Kali, Hulu Selangor di Selangor.

Mereka menduduki rumah di estet tersebut sejak 45 tahun lalu. 


FATIMAH bersama Mohd Lazim di kediaman mereka sebuah pondok yang usang di Estet Goh Tong Sungai Remuk, Batang Kali, Hulu Selangor. - Kredit Foto: Asia Kini


Fatimah yang lebih mesra dengan panggilan Nek Timah sebenarnya berasal dari Pekan Ajil, Hulu Terengganu manakala Mohd Lazim pula berasal dari Machang, Kelantan. 

Kedua-dua warga emas terbabit berhijrah ke estet berkenaan sekitar tahun 1970-an untuk memulakan penghidupan yang  baru selepas mereka mendirikan rumah tangga dan Mohd Lazim berkerja di situ. 

Fatimah memberitahu selepas itu beberapa tahun yang lalu, estet itu terpaksa ditutup operasinya menyebabkan suami isteri itu tiada tempat tinggal, tetapi atas ihsan pemilik estet itu membenarkan pasangan suami isteri tinggal di kawasan itu.


 


``Pondok ini dibina sebahagiannya kayu serta papan yang diberi oleh estet itu dan sebahagian lagi kayu kami cari di hutan yang tidak jauh dari ladang berkenaan. 

``Di sinilah rumah mak cik dan pak cik dan hidup mati kami berdua tetap tinggal di rumah ini walaupun tiada bekalan air dan elektrik tetapi kami tetap selesa dengan berkeadaan begitu,’’ ujar Fatimah yang suaminya berkerja mencari buluh lemang dan sayuran seperti pucuk paku di hutan untuk menyara kehidupan mereka.

Selain itu, mereka juga mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor. 

Fatimah berkata, disebabkan masalah rumahnya yang kekurangan segalanya termasuk menguna air dari bukit untuk kegunaannya serta pelita untuk menerangi kediamannya menyebabkan anak-anak dan cucunya tidak selesa pulang ke rumah warga emas itu. 

``Sungguh pun begitu, mak chik dan pak chik ini sentiasa merindui mereka (anak dan cucu) dan hati ibu mana yang tidak sayangkan anak kerana sejak dilahirkan kami jaga mereka sehingga besar dan mereka berkahwin. 

``Walaupun mereka tidak pulang tetapi sebagai seorang ibu tetap mendoakan semoga semua anak mak chik hidup bahagia bersama keluarga masing-masing dan mak cik juga tetap berdoa pada hari raya tahun depan mereka akan pulang bertemu mak chik di sini, ‘’ katanya dengan wajah yang sedih.


 


Fatimah menjelaskan sekiranya dia tinggal di kawasan pekan yang terdapat pelbagai kemudahan seperti air dan elektrik menyebabkan dia terpaksa menyewa sebuah rumah dan dia tidak dapat melakukan kerja-kerja lain yang sesuai dengan usianya semakin meningkat. 

Tetapi, katanya, warga emas itu lebih selesa tinggal di ladang itu kerana di kawasan itu kehidupannya lebih tenang dan damai disamping mereka juga dapat melakukan kerja sampingan seperti mencari buluh lemang di hutan. - KitaReporters


Sumber: Asia Kini

0
0
13
0
1
You will be interested