Insan & Komuniti 16 Jun, 2023

Malaysia Madani santuni masyarakat pedalaman Sabah! Usaha Ziarah Pagalungan IR Malaysia, MyAmal, MRA!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Fathi Ridhwan Saidin (kanan) membuat persiapan agihan sumbangan kepada penduduk kampung di daerah kecil Pagalungan.


Seramai 32 orang sukarelawan dari Pertubuhan MyAmal Sabah (MyA), Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) dan Malaysian Relief Agency (MRA) telah menyertai program Ziarah Pagalungan bagi menyantuni masyarakat pedalaman Sabah, bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani.

Program yang diadakan pada 10 hingga 11 Jun 2023 itu mendapat sambutan baik dan menggalakkan daripada penduduk kampung daerah kecil Pagalungan yang terletak bersebelahan sempadan Malaysia dan Indonesia. 

Menurut Pegawai Kanan Bahagian Program IR Malaysia, Fathi Ridhwan Saidin, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menyantuni penduduk kampung dan pelajar-pelajar SK Logongon melalui agihan sumbangan dan aktiviti psikososial yang dijalankan.


Sesi penutup bersama para sukarelawan dan para pelajar SK Logongon.


“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan MyA dan MRA dalam program Ziarah Pagalungan, yang bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani.

"Sebelum ini, IR Malaysia sudah beberapa kali masuk ke kawasan ini bagi menyampaikan bantuan seperti agihan pek makanan Ramadan dan bantuan persekolahan ‘Cheer to School’.

“Disebabkan kedudukan kampung ini yang jauh di pedalaman, penduduk di kawasan ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan asas. Mereka perlu keluarkan kos yang tinggi semata-mata untuk pergi ke pekan dan dapatkan bekalan. 

"Oleh sebab itu, IR Malaysia memilih kawasan ini sebagai lokasi bantuan untuk meringankan beban penduduk kampung di sini,” jelas Fathi.

Antara aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut adalah sukan belia, sukaneka kanak-kanak, sesi motivasi, kuliah maghrib dan subuh serta ceramah kesihatan gigi. 


Agihan sumbangan pek makanan kepada penerima manfaat


Selain itu, para sukarelawan turut menyampaikan sumbangan 50 pek makanan dan 90 kit kebersihan kepada penduduk kampung.

Tambah Fathi, program tersebut meninggalkan kesan yang amat mendalam bukan sahaja kepada penduduk kampung dan para pelajar bahkan kepada setiap sukarelawan yang hadir.

“Untuk sampai ke daerah tersebut, para sukarelawan terpaksa menempuh tujuh jam perjalanan dari Kota Kinabalu dengan menggunakan jalan darat dan sungai. Ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang sangat tinggi.

“Kebanyakan sukarelawan ini baru pertama kali menjejakkan diri ke kawasan pedalaman. Jadi, program ziarah ini telah memberi pengalaman baharu dan berharga buat mereka apabila dapat melihat sendiri suasana dan kesukaran yang dialami oleh penduduk kampung,” tambah Fathi.

Rata-rata penduduk kampung bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir atas sumbangan dan aktiviti yang dijalankan. - KitaReporters/Kenyataan Media


Kuliah maghrib bersama Ustaz Sulaimin.

9
6
0
13
0
You will be interested