Insan & Komuniti 11 Jul, 2025

Masyarakat global gagal ambil iktibar! Dulu Genosid Srebrenica! Kini Genosid Gaza, Genosid Sudan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Masyarakat antarabangsa masih gagal mengambil iktibar daripada Genosid Srebrenica, tragedi kejam yang berlaku di Eropah pada tahun 1995, selepas Holocaust, yang tercetus akibat kegagalan global melindungi orang awam.

Tiga puluh tahun lalu, pasukan Serb Bosnia menawan bandar Srebrenica dan secara sistematik membunuh lebih 8,000 umat Islam Bosniak di sebuah kawasan yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘kawasan selamat’, tempat di mana penduduk dijanjikan perlindungan tetapi akhirnya dibiarkan tanpa pembelaan.

Perang Bosnia telah meragut lebih 100,000 nyawa, menghalau lebih 2 juta orang dari kediaman mereka, dan menyaksikan 50,000 wanita menjadi mangsa kekejaman seksual di kem tahanan.

Kengerian Srebrenica terus menghantui golongan terjejas serta generasi keturunan mereka sehingga ke hari ini. 

Islamic Relief, sebagai salah satu agensi bantuan terbesar yang berada di lapangan ketika tragedi berlaku dan masih setia menyokong mereka sehingga kini, turut menyertai acara peringatan kebangsaan di Bosnia dan Herzegovina minggu ini bagi mengenang umat Islam yang terkorban serta menghormati ketabahan mereka yang terselamat.



Hari ini, di Gaza dan Sudan, sekali lagi kita melihat dunia gagal melindungi orang awam daripada kekejaman, mahupun memastikan pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa dipertanggungjawabkan.

Perlu diingat bahawa di Gaza, lebih 57,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 134,000 cedera. Kira-kira satu pertiga daripada yang terbunuh adalah kanak-kanak. 

Orang awam berkali-kali diarahkan berpindah ke “zon selamat” yang diisytiharkan Israel, di mana mereka kemudiannya dibom dan dibakar hidup-hidup di tempat perlindungan mereka. 

Banyak penduduk ditembak hanya kerana cuba mendapatkan makanan untuk keluarga, manakala sekatan Israel telah mengakibatkan ratusan ribu orang berada di ambang kebuluran.

Manakala di Sudan, seluruh komuniti telah dibunuh beramai-ramai dan diusir dari kediaman mereka. Kumpulan bersenjata telah membunuh dan merogol orang awam, merompak makanan dan dengan sengaja menyekat bantuan kemanusiaan. 

Lebih daripada 12.5 juta orang telah dipindahkan sejak perang bermula, dan perang serta pengabaian terhadap undang-undang antarabangsa telah mewujudkan krisis kelaparan terbesar di dunia ketika ini.



Sempena memperingati peristiwa Genosid Srebrenica ini, Islamic Relief telah merekodkan testimoni mengerikan dan trauma berterusan daripada ramai mangsa yang terselamat (rujuk testimoni di bawah). 

Waseem Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Worldwide, menegaskan bahawa dunia masih belum mengambil iktibar daripada tragedi Srebrenica: 

“Genosid Srebrenica adalah titik hitam dalam hati nurani dunia. Penduduk dijanjikan perlindungan namun akhirnya ditinggalkan untuk dibunuh atau dirogol sementara dunia hanya memerhati. 

"Ketika itu, kerajaan antarabangsa mempunyai pengetahuan dan kemampuan untuk bertindak tetapi tiada kemahuan politik. 

"Mereka berhutang kepada mangsa dan yang terselamat daripada tragedy Srebrenica untuk memastikan genosid tidak pernah berulang lagi.

“Namun selepas 30 tahun, kerajaan masih gagal bertindak tegas untuk menyelamatkan nyawa. 

"Tahun lalu (2025), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memerintahkan langkah-langkah diambil untuk mencegah genosid di Gaza setelah mendapati risiko itu berkemungkinan berlaku. 

"Namun, keputusan mahkamah itu terus diabaikan tanpa sebarang akibat. Rakyat Palestin di Gaza terus dibunuh secara sistematik, dibiarkan kebuluran, dipindahkan secara paksa, dan dinafikan akses kepada bantuan kemanusiaan. 

'Setiap hari, kita menyaksikan undang-undang antarabangsa terus dilanggar tanpa sebarang hukuman.

“Hari ini, legasi global Srebrenica lebih relevan berbanding sebelum ini. Ia adalah peringatan jelas bahawa kerajaan mesti bertindak segera untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan mencegah kekejaman. Sejarah akan menghakimi dengan keras mereka yang gagal bertindak.”


Umija bersama kambing biri-biri peliharaannya yang diberi oleh Islamic Relief dalam salah satu program bantuan.


Semua negara mesti menunaikan komitmen mereka dalam Konvensyen Genosid 1948. 

Setiap negara mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk bertindak mencegah genosid sebaik sahaja ada risiko ia berlaku dan bukannya menunggu keputusan mahkamah yang selalunya datang bertahun-tahun selepas ramai yang telah terbunuh. 

Hanya pada tahun 2007, iaitu 12 tahun kemudian, ICJ memutuskan bahawa genosid telah berlaku di Srebrenica. 

Legasi peristiwa itu menuntut supaya keputusan ICJ berhubung Gaza sepatutnya sudah cukup untuk mendorong negara-negara ini untuk bertindak.

Islamic Relief juga menyeru kerajaan dan institusi untuk lebih proaktif menangani peningkatan ucapan kebencian dan penyebaran maklumat palsu yang menjadi punca genosid dan jenayah perang.

Waseem Ahmad, berkata: “Perang Bosnia dan genosid di Srebrenica disemarakkan oleh ucapan kebencian, maklumat palsu dan propaganda tidak berperikemanusiaan yang menggambarkan mangsa sebagai ancaman. 

"Hari ini, kita sekali lagi menyaksikan bahasa berbaur genosid yang sama dalam konflik di seluruh dunia. 

"Bahasa yang merampas maruah dan kemanusiaan seseorang demi menghalalkan serangan terhadap kewujudan mereka. Kita perlu melihat tindakan yang lebih tegas untuk membanteras ucapan kebencian dan hasutan.”

Islamic Relief telah beroperasi di Bosnia dan Herzegovina sejak tahun 1992. Sepanjang tempoh perang, Islamic Relief menyalurkan bantuan makanan dan pelbagai bantuan kecemasan yang penting. 

Selepas peperangan, Islamic Relief membantu mereka yang terselamat membina semula kediaman, mengatasi trauma, memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah, serta mewujudkan ladang dan perniagaan kecil demi menjana kehidupan. 

Sehingga ke hari ini, Islamic Relief tetap komited menyokong penduduk yang terselamat, ibu tunggal serta anak-anak yatim akibat genosid tersebut.



Bagi menghormati dan mengangkat kisah mereka yang terselamat daripada perang dan genosid, Islamic Relief telah menemu bual beberapa penduduk terjejas termasuk:

Hasan, 65 tahun, adalah salah seorang daripada sedikit yang terselamat daripada “Perarakan Maut” yang melibatkan ribuan lelaki dan kanak-kanak lelaki yang melarikan diri ke hutan, di mana mereka diburu dan dibunuh. 

Beliau mengimbas kembali: “Artileri membedil kami, peluru benar-benar menghancurkan tubuh manusia… Sehingga hari ini saya masih merasai kesannya. Kadang-kadang saya bercakap ketika tidur… kadang-kadang saya rasa seperti ada orang mengejar saya.”

Avdo, 70 tahun, adalah antara yang terselamat dalam keluarganya. Kini, beliau sering berjalan melintasi tapak kem tahanan Susica, tempat ribuan orang pernah dipenjarakan: 

“Mereka memukul ayah saya, dan itulah yang paling menyakitkan hati saya. Saya boleh menerima kematian, tetapi penyeksaan, penderaan… kekejaman yang mereka lakukan terhadapnya, itulah yang sukar bagi saya. 

"Dua abang saya terbunuh. Pak cik saya juga. Mak cik saya terbunuh. Keluarga mereka… saya sendiri pun tidak tahu berapa ramai ahli keluarga saya yang terbunuh.”

Umija, 52 tahun, berkata mayat mangsa telah dipindahkan berkali-kali untuk menyembunyikan bukti. Beliau hanya berjaya menemui sisa jenazah ayah dan pak ciknya lebih sedekad selepas perang tamat.

“Mereka ditemui di tiga kubur besar, bukan satu… mereka dicampak ke kubur ini, kemudian ke kubur itu, dan jaraknya sangat jauh… Semua itu masih menghantui sehingga hari ini. 

"Apabila saya mengimbau kembali segalanya, saya rasa sangat tertekan. Saya berdoa agar ia tidak berlaku di mana-mana tempat lain.”

Tima, 70 tahun, mengingati saat kampungnya diserang, memaksanya mencari perlindungan di Srebrenica, di mana suaminya kemudian dibunuh dalam genosid. 

“Saya terpaksa pergi kerana mereka membakar rumah. Mereka membunuh sesiapa sahaja yang mereka mampu. Kami tidak pernah kembali. Sesiapa yang tinggal dibunuh. 

"Ketika tiba di Srebrenica, yang saya mahukan hanyalah berbaring bersama anak-anak saya. Saya sangat penat kerana terpaksa mendukung anak-anak saya selama tiga bulan dalam salji.”



Adelina, 28 tahun, lahir selepas perang. Beliau berdepan trauma turun-temurun dan diskriminasi ketika kecil, tetapi dengan bantuan Islamic Relief, Adelina berjaya membina perniagaan sendiri.

“Perang memberi kesan kepada ramai orang. Ayah saya mengalami trauma yang dahsyat akibat perang. Orang lain memandang pelik kerana saya Muslim, kerana nama saya yang lain dari yang lain.

"Semasa kecil saya tidak suka nama saya, tetapi kemudian saya sedar nama saya sangat indah. Kadang-kadang saya dibuli di sekolah kerana saya Muslim dan Bosnian, tetapi lama-kelamaan keadaan menjadi lebih baik.” - KitaReporters/Kenyataan Media

12
13
0
15
0
You will be interested