Insan & Komuniti 19 Mar, 2023

Syabas KARIB! Anjur perjumpaan pertama Majlis Tautan Kasih bekas kakitangan BH, HM! Jaga kebajikan!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tiga bekas kakitangan yang kesempitan hidup disampaikan kepada wakil.


Kasih terus bertaut antara bekas kakitangan Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) sempena perjumpaan dinamakan Majlis Tautan Kasih anjuran Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) di Kuala Lumpur pada Sabtu, 18 Mac 2023. 

Kasih bukan sebarang kasih, yang dimaksudkan adalah kasih sesama rakan sekerja yang pernah berkhidmat satu bumbung di Balai Berita NSTP, Jalan Riong, Bangsar. 

Ini adalah perjumpaan pertama anjuran KARIB yang dianggotai bekas kakitangan jabatan pengarang BH dan HM, merangkumi bekas pengarang kumpulan, pengarang kanan, wartawan, jurugambar, penyunting dan pereka grafik yang berkhidmat dengan dua akhbar itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kelab Alumni Riong Bangsar

Antara bekas kakitangan Berita Harian dan Harian Metro yang hadir di Majlis Tautan Kasih 


Rata-rata ahli sudah berusia dan ada antara mereka sudah tidak bekerja, dan KARIB sentiasa memgambil berat kebajikan bekas rakan sepejabat yang tinggal di mana sahaja di negara ini. 

Menjadi salah seorang mantan pekerja BH dan HM, saya tidak terkecuali menyertai perjumpaan sulung KARIB. Didapati pihak jawatankuasa komited terhadap fungsi KARIB, dan tidak akan membiarkan bekas rakan sekerja yang kurang bernasib baik melalui penderitaan tanpa dibela. 

Selain rasa bertuah dengan adanya badan seperti itu, perjumpaan yang diadakan juga menaikkan semangat kami untuk mengekalkan ukhwah dan silatulrahim kerana itulah peluang untuk bertemu sesama rakan dan bertanyakan khabar. 

Apatah lagi aturcaranya adalah bermanfaat, meliputi bacaan Yasin dan tahlil untuk bekas kakitangan serta ahli keluarga yang telah meninggal. 



Kemuncak acara adalah penyampaian bantuan dan sumbangan kepada bekas kakitangan yang kesempitan hidup termasuk sedang menanggung masalah kesihatan dan menerima rawatan perubatan.

Dianggarkan 160 bekas kakitangan hadir ke Majlis Tautan Kasih KARIB yang julung kali diadakan itu, termasuk bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Seri A Samad Said, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Manja Ismail, Datuk Mahfar Ali, Khaidir A Majid dan bekas Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Hanif Hadi serta Datuk Badrulhisham Othman.

Selain itu, bekas Pengarang kumpulan HM Datuk Mustapa Omar dan Tuan Asri Tuan Hussein serta kartunis popular Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali Datuk Lat turut hadir.

Timbalan Pengarang BH, M Thillinadan mewakili Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berucap meraikan bekas kakitangan. Beliau berharap KARIB akan terus menjadi platform menjaga kebajikan bekas kakitangan BH dan HM.


Lat (kanan) turut hadir di Majlis Tautan Kasih KARIB, bersama bekas kakitangan BH dan HM


Sementara itu, Pengerusi KARIB, Datuk Abdul Karim Mustaffa dalam ucapannya berkata, program itu dapat mengukuhkan ukhwah dalam kalangan ahli selain menggamit memori silam.

KARIB ditubuhkan tahun lalu (2022), antara kegiatan sebelum ini adalah ziarah bekas kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan dan pemberian sumbangan.

Menurutnya, setakat ini KARIB sudah berjaya mengumpul 116 ahli berdaftar, dan yang lain disaran supaya turut mendaftar.


Masing-masing gembira dapat bertemu semula di Majlis Tautan Kasih KARIB


Menariknya tambah beliau, KARIB bekerjasama rapat dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membantu bekas kakitangan yang menghadapi kesempitan hidup dan setakat ini tiga bekas pekerja sudah dibantu.

Pada majlis itu, LZS menyampaikan sumbangan kepada wakil bekas kakitangan, yang kemudian akan diserahkan kepada keluarga Allahyarham Kamaruzaman Pid, Irwan Sulaiman selain bekas kakitangan BH, Noor Azmi Mat Noor dan Anita Ismail.


Bekas kakitangan BH dan HM antaranya Manja Ismail (baju merah), di sebelahnya Datuk Ahmad Burak, manakala di kanan sekali, Jamuddin Idris dan bekas jurugambar, Mohd Arif Azahari (di depan Jamuddin)

13
12
0
14
0
You will be interested