Doktor PAPISMA membuat saringan kesihatan warga emas di PJMM.
MENABUR bakti kepada mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian akan mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah SWT terutama pada Ramadan penuh barakah. Menyedari kelebihan itu bagi sesetengah individu akan merebut peluang yang diberikan.
Begitulah dengan doktor pelatih Hospital Ampang, Selangor, Muhammad Nur Amin Zulmi yang sentiasa ringan tulang membantu tugas sukarela dalam kerja amal kebajikan apabila menyertai Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Selangor.
Beliau berkata, pembabitan dia bersama PAPISMA adalah diluar waktu tugas sebagai doktor pelatih merupakan suatu yang menyeronokkan terutama dapat memberi motivasi serta kaunseling kesihatan kepada masyarakat terutama warga emas dan pelajar sekolah.
Nushi Mahfoodz melihat Muhammad Nur Amin Zulmi dan rakan doktor membuat saringan kesihatan dalam program berkenaan.
Menurutnya, apabila dijemput PAPISMA dan tidak bertindih
dengan waktu bertugas di hospital berkenaan dia akan turun padang bersama-sama
doktor yang sudah lama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam
melaksanakan khidmat kesihatan secara sukarela.
Tambahnya, kebiasaan PAPISMA dipelawa untuk membuka kaunter saringan kesihatan pada program membabitkan masyarakat seperti di masjid, rumah kebajikan, sekolah dan sebagainya kerana kehadiran orang ramai itu akan memberi manfaat kepada mereka.
Jelasnya lagi, dalam proses membuat saringan kesihatan itu
membuka peluang kepada dia menitikberatkan nasihat kepada warga emas supaya
menjaga kesihatan untuk mengelak terkena penyakit kencing manis, darah tinggi,
jantung, sakit sendi dan sebagainya.
“Begitulah juga bagi warga emas yang terlantar di atas katil kerana uzur seperti di pusat jagaan amat perlu diberi perhatian termasuk penyakit mereka hidapi dan saya akan maklumkan kepada pihak pengurusan mengambil langkah sewajarnya termasuk merujuk ke hospital segera jika berlaku perkara luar jangkaan,” ujarnya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Ramadan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Sungai Purun, Semenyih, Selangor, pada 28 Mac 2024.
Muhammad Nur Amin (berdiri empat dari kanan) bersama-sama ahli PAPISMA pada Program Ziarah Kasih Ramadan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Sungai Purun, Semenyih, Selangor anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Semenyih, Nushi Mahfoodz pada 28 Mac 2024.
Pada majlis anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Semenyih, Nushi Dato’ Mahfoodz itu, PAPISMA menghantar tujuh doktor yang mengadakan saringan kesihatan kepada warga emas penghuni pusat jagaan berkenaan.
Muhammad Nur Amin yang juga Pengerusi Student Chapter
PAPISMA, berkata apabila program diadakan di sekolah yang akan membabitkan
ramai pelajar dia dan rakan lain terpaksa memberi fokus bimbingan kesihatan
terhadap antimerokok.
Menurutnya, situasi ketika berdepan dengan remaja termasuk
pelajar sekolah sesi motivasi atau kaunseling saringan kesihatan terpaksa
disantuni dengan bijak supaya tiada mereka yang berasa tersinggung perasaan.
“Saya akan menjelaskan sebaik mungkin mengenai bahaya merokok kepada kesihatan dan langkah-langkah yang boleh membantu untuk mengelak daripada terjebak atau menghilangkan ketagihan apabila sudah lama terbabit dengan amalan tidak sihat itu,” katanya yang merupakan pelajar perubatan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Nushi turut mengambil kesempatan bertanya khabar warga emas di PJMM sempena program itu.
Sementara itu, Nushi dalam ucapan perasmian program itu
menasihatkan warga emas untuk sentiasa beristiqamah termasuk selepas Ramadan
supaya hidup terus mendapat keberkatan selain meneruskan amalan ketika
menunaikan ibadat berpuasa seperti mengaji.
Beliau berkata, walaupun dalam keadaan uzur seseorang itu
masih mampu berdoa terutama supaya kesihatan terpelihara serta untuk mendapat
kebahagian hidup di dunia dan akhirat di samping terus mentaati perintah Allah SWT.
‘Saya juga berasa bangga dengan kehadiran PAPISMA untuk mengadakan saringan kesihatan kepada warga emas di pusat jagaan ini yang secara tidak langsung memberi kesedaran adanya pihak ambil peduli nasib mereka,” ujarnya. - KitaReporters