Insan & Komuniti 15 Feb, 2024

Video| Kenapa kutuk dia? Lelaki Bangladesh diejek netizen Malaysia! Merantau cari rezeki secara sah!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Sentimen kebencian terhadap warga asing yang berkerja di serata negara terutamanya Malaysia dilihat makin menjadi-jadi. Kalau masuk dan bekerja secara sah, kenapa mereka perlu dicaci, dihina dan dipandang rendah seperti itu. 

Apatah lagi mereka kebanyakan beragama Islam. Lainlah mereka masuk dan bekerja secara haram serta membuat onar!

Namun, jangan kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga. Mereka sanggup berkorban meninggalkan keluarga serta orang tersayang semata-mata mahu mencari rezeki di perantauan sementelah di negara sendiri, sukar mencari pekerjaan.


Sanggup tinggalkan keluarga demi mencari rezeki jauh di negara orang.


Kebanyakan pekerja warga asing yang datang dan diambil oleh kerajaan ialah dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia bagi mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor 3D iaitu dirty, dangerous dan difficult (kotor, bahaya dan sukar).

Kebanyakan sektor ini jarang diisi oleh pekerja tempatan yang lebih selesa memilih untuk bekerja dalam pejabat dan pusat beli-belah yang dilengkapi pendingin hawa. 

Bayangkan kalau pekerja warga asing ini tiada, siapakah yang mahu menggantikan tempat mereka? Sekiranya ini berlaku, ia boleh menjejaskan ekonomi negara.


Wajah-wajah yang sanggup berkorban apa sahaja demi sesuap nasi.


Kehadiran pekerja warga asing di sesebuah negara merupakan petanda atau petunjuk aras sesebuah negara itu berada dalam keadaan stabil dari segi ekonomi, politik dan persekitaran yang selamat. Jadi, tidak hairanlah kalau Malaysia menjadi tumpuan pekerja warga asing untuk mencari rezeki.

Contoh terdekat ialah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Kenapa memilih Singapura? Ini kerana Singapura lebih maju dan mempunyai nilai mata wang lebih tinggi berbanding Malaysia. 

Rakyat Malaysia yang bekerja di sana sanggup bangun awal pagi dan berjauhan dengan keluarga untuk mencari rezeki. Bayangkan, kalau rakyat Singapura melakukan perkara sama seperti rakyat Malaysia yang memandang rendah pekerja warga asing! Pasti akan rasa sakit hati bukan?

Sentimen kebencian ini menjadi barah terutama dalam media sosial. Contohnya yang berlaku ke atas seorang rakyat Bangladesh yang berkongsi video dalam TikTok tentang kepermergiannya merantau mencari rezeki dengan meninggalkan keluarga.


Semoga rezeki yang dicari dapat membahagiakan keluarga di kampung.


Video yang dikongsinya itu mendapat sebanyak 1.6 juta tontonan dan kebanyakan komen datang daripada netizen Malaysia. 

Apa yang menyedihkan, komen-komen sebahagian daripada mereka yang tidak matang dan merasakan merekalah bangsa paling bertamadun dengan memandang rendah orang lain.

Bukan mudah meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki terutama di negara orang. Entah balik entahkan tidak kerana ajal maut itu di tangan Allah SWT. 

Demi sesuap nasi, pengorbanan adakalanya dituntut. Begitulah pengorbanan yang dilakukan oleh lelaki Bangladesh ini yang dipercayai merantau ke Dubai untuk bekerja.



Tapi tak pasal-pasal tindakannya itu diperolok-olokkan oleh orang yang dia langsung tidak kenal iaitu netizen Malaysia. Tanpa rasa bersalah dan malu, netizen-netizen Malaysia mula menaburkan kata-kata perlian dan hinaan.

Antara kata-kata perlian itu ialah “nak pergi Malaysia lah tu”, “nak pergi KLCC lah tu selfie selfie” dan “beg mana? Sehelai sepinggang naik sampan ke?”. Padahal orang itu tak buat salahpun. Cuma mahu mencari rezeki halal buat keluarga.



Namun, tak semua netizen Malaysia bersikap sedemikian. Ada yang memahami dan menyanggah kata-kata hinaan itu.

“Most of comment, make fun of him. Sekurang-kurangnya, dia rajin bekerja. Yang komen-komen negatif ni, sanggup ke kerja jauh daripada famili? Bertahun-tahun baru balik,” bidas salah seorang netizen.



Walaupun mereka pekerja warga asing apatah lagi masuk dan bekerja secara sah, mereka tetap manusia yang ada hati dan perasaan. 

Kita seharusnya bersyukur kerana lahir dan menjadi warganegara Malaysia, sebuah negara yang makmur. - KitaReporters


18
9
0
12
0
You will be interested