Tidak semua orang dapat merasa menjadi tua. Ada yang masih muda sudah pulang ke pangkuan Ilahi. Justeru jika kita diberikan kesempatan menjadi tua perkara pertama, kita harus bersyukur kerana diberikan masa untuk menjadi tua.
Bila sudah mencecah usia tua kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah sama ada masalah kesihatan, jiwa yang sensitif, kesunyian dan emosi yang sering terganggu.
Ada yang mengatakan yang paling susah bila menjadi tua, bukanlah mendidik anak tetapi mendidik diri kita untuk menjadi orang tua yang baik yang sabar yang tidak beremosi.
Bila mencapai usia tua, apa yang kita perlukan adalah ketenangan jiwa, kesihatan yang baik, teman berbicara dan kehidupan yang tidak banyak membuatkan kita rasa bersedih dan kecewa.
Dalam sebuah video tik tok motivasi ini mengatakan: "Semakin berusia semakin lemah tangan yang menggenggam, kerana Allah sedang mendidik kita agar melepaskan dunia.
"Semakin berusia semakin kabur mata kita, kerana Allah sedang mencerahkan mata hati kita untuk melihat akhirat.
"Semakin bertambah usia kita semakin sensitif perasaan kita, kerana Allah sedang mengajarkan bahawa pautan hati dengan akhlak sentiasa menghampakan. Namun hati yang berpaut pada Allah tidak pernah mengecewakan."
Memang sangat benar bila kita tua, semakin banyak nikmat dunia yang ditarik. Begitu juga nikmat kekuatan tulang dan sendi dan pancaindera kita, Ini kerana Allah sedang ingatkan kita bahawa hidup kita semakin singkat.
Kesihatan kita sering terganggu, jiwa rasa sangat sedih, Namun jika sentiasa ingat pada pencipta, menghabiskan waktu dengan menikmati sisa hidup sambil bersyukur dan menjalani hidup positif, menjadi tua adalah sangat membahagiakan.
Semoga kita yang melalui usia tua dapat memanfaatkan masa tersisa yang diberi Allah dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.
Sesunguhnya hanya cinta Allah yang kekal sebagai bekalan menuju akhirat. Hiduplah menikmati fasa tua dengan bahagia yang kita pilih dan cipta. - KitaReporters