Insan & Komuniti 19 Oct, 2023

Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam kembali lagi! Jom datang beramai-ramai! 25-29 Okt 2023!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Bunga-bunga menarik di Pameran Pasar Bunga


Setiap tahun Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan program Pasar Bunga dan Pameran Anggerik. Tahun ini pameran berkenaan akan mengadakan pameran yang lebih menarik, dengan pelbagai aktiviti dan jualan serta dijangka akan mendapat sambutan hangat dari seluruh masyarakat di Selangor dan negeri negeri lain. 

Pameran program Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam bagi tahun 2023 ini akan diadakan di pekarangan Tempat Letak Kenderaan, Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Taman Tasik Shah Alam. 

Jika tahun lalu (2022), pameran berkenaan diadakan di Laman Budaya Tasik Shah Alam, kali ini pameran berkenaan akan diadakan di Taman Jepun yang menjadi salah satu taman tarikan bagi pengunjung ke Shah Alam. 

Pameran tahunan ini akan berlangsung pada 25 hingga 29 Oktober 2023 selama 5 hari, sempena Hari Bandar Raya Shah Alam yang ke-23.


LAr Khairunnisa Mohd Zaini, Arkitek Landskap Kanan MBSA dan Pengurus Pameran Bunga MBSA 2023. 


Menurut Pengurus Program Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam yang juga Arkitek Landskap Kanan MBSA, LAr Khairunnisa Mohd Zaini antara matlamat dan objektif pasar bunga ini ialah untuk menarik pengunjung menikmati keindahan landskap, menjalankan aktiviti berkaitan flora dan fauna serta memperkenalkan jualan produk-produk pertanian dan aksesori-aksesori landskap. 

Selain itu katanya pameran ini juga bertujuan, memeriahkan kawasan Pekarangan Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Taman Tasik Shah Alam dengan program dan aktiviti berkaitan landskap serta menghimpun pelbagai spesis anggerik, pokok-pokok bunga, sayur-sayuran dan buah-buahan, baja, hasil seni dan kraf tangan serta aksesori landskap.

Khairunnisa juga memberitahu, pameran ini diharap dapat mendidik dan membudayakan masyarakat khususnya warga Shah Alam untuk menghargai suasana kehijauan dan menanam minat untuk menghiasi kediaman dengan landskap yang indah dan menarik. Persekitaran yang hijau, bersih dan landskap yang menarik akan menambahkan ketenangan dan keceriaan hidup. 



Menurut Khairunnisa lagi, dalam pameran berkenaan nanti, kawasan program akan dibahagikan mengikut plot-plot tertentu. Antaranya plot-plot jualan dan pameran landskap, khemah jualan terdiri dari kebun komuniti iaitu menjual sayuran serta buah-buahan. Turut terdapat di pasar bunga berkenaan ialah  jualan pokok anggerik, pokok hiasan dan jualan bahan pertanian.

Beliau juga memberitahu, dalam pameran itu nanti, kawasan aktiviti yang melibatkan zon kebudayaan (persembahan kombo muzik/busker dan pameran), zon kesenian seperti mencanting batik dan sesi demonstrasi gubahan bunga segar turut diadakan. 

Ini katanya bagi menambah tarikan program kepada pengunjung dan memberikan hiburan dan keceriaan kepada pengunjung yang datang. 

Selain itu menurut Khairunnisa pertandingan anggerik dan Pameran Anggerik juga akan diadakan pada tarikh yang sama. 

Dalam Pasar Bunga dan pameran ini, tarikan bagi kanak-kanak juga tidak dilupakan. Pihak mereka akan mengadakan pelbagai aktiviti dikawasan kolam di taman berkenaan sebagai tarikan kepada mereka yang datang bersama anak anak dan keluarga. 


Bunga anggerik


Khairunnisa juga menambah antara aktiviti yang akan diadakan pada hari berkenaan ialah: 

  • 1. Pertandingan Anggerik dan Pameran Anggerik 
  • 2. Demostrasi gubahan bunga segar/Ikebana
  • 3  Kolam memancing kanak-kanak
  • 4  Gerai jualan (bahan landskap, pokok & bunga-bungaan)
  • 5. Jualan makanan di Foodtruck 
  • 6. Mencanting batik
  • 7. Persembahan kombo dan muzik
  • 8. Sesi Perbincangan Profesional berkaitan Orkid 

Beliau berharap penduduk Shah Alam dan kawasan sekitarnya dapat hadir beramai-ramai memeriahkan pameran berkenaan. 

Oleh demikian, semua dijemput hadir ke Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam pada 25 hingga 29 Oktober 2023 ini dari jam 10 pagi. 

Bertempat di Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Tasik Shah Alam. Masuk adalah percuma. Jom datang beramai ramai. Jamu mata dan nikmati keindahan bunga bunga dan sertai pelbagai aktiviti yang diadakan. - KitaReporters

11
11
0
12
0
You will be interested