Insan & Komuniti 24 Nov, 2024

Diari Mama Masscom| Harapan tinggi MaRMA kepada KPWKM! Sokong, bantulah caregiver! Kebanyakan wanita!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Seorang wanita yang menjadi penjaga pesakit skizo membawa ibunya ke Mekah untuk menunaikan umrah. 


Wanita adalah caregiver atau penjaga yang terbaik bagi mereka yang sakit. Di negara kita wanita sering dilihat sebagai penjaga utama keluarga, yang terdiri daripada ahli keluarga seperti ibu bapa, anak-anak, adik beradik, saudara mara dan yang ada kaitan rapat dengan mereka. 

Ini kerana naluri dan sifat semula jadi wanita yang lembut, penyayang dan sentiasa bertanggungjawab terhadap ahli keluarga dan orang yang mereka sayang.

Hubungan emosi yang mendalam dengan ahli keluarga juga adalah faktor utama membuatkan wanita sanggup berkorban masa dan tenaga juga wang ringgit demi menjaga orang yang tersayang

Dalam kaitan yang sama, wanita juga sanggup menjaga ahli keluarga yang sakit sama ada yang terlantar atau pun memerlukan penjagaan rapi. Ada antara wanita yang sanggup berhenti kerja kerana mahu berkorban menjaga keluarga yang sakit. 

Antara penyakit yang agak sukar untuk dijaga ialah pesakit mental yang memerlukan penjagaan yang agak khusus dan ketat kerana risau pesakit membuat sesuatu yang di luar kawalan yang boleh membawa kerosakan dan kejadian yang tidak diingini masyarakat. 


Wartawan wanita bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.


MaRMA (Malaysia Relief Mind Association) atau Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia adalah  sebuah NGO kesihatan mental yang ditubuhkan untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai sakit mental selain berperanan membantu pesakit dan penjaga, dari segi moral dan fizikal selain memberi maklumat mengenai cara berurusan dengan pesakit mental.

Sejak ditubuhkan dua tahun lalu, MaRMA banyak menerima aduan dan luahan khususnya daripada penjaga pesakit mental yang majoritinya kaum wanita mengenai kesukaran hidup mereka sebagai penjaga pesakit mental di rumah yang sering terlepas pandang oleh pihak pihak tertentu.

Kebanyakan mereka adalah dari golongan B40 dan fakir. Mereka mahukan bantuan dan diberikan perhatian khususnya oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pihak pihak tertentu seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  


Penulis bersama Deborah Catherine Dris, Setiausaha Akhbar (SUA)  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta wartawan KitaReporters, Kartini Md Noor.


Sehubungan itu pada 21 November 2024 yang lalu, saya yang hadir sebagai wakil online portal KitaReporters menghadiri Majlis Sepetang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bersama Pengamal Media Wanita Malaysia. 

Penulis yang juga Timbalan Pengerusi MaRMA, juga mengambil kesempatan untuk menyerahkan satu kertas kerja untuk tindakan pihak kementerian.

MaRMA berpendapat KPWKM boleh memainkan peranan penting dalam membantu golongan wanita yang menjadi penjaga (caregiver) kepada pesakit mental ini dengan beberapa langkah dan inisiatif yang boleh diambil untuk membantu mereka.

Sebagaimana yang kita ketahui, pesakit mental memerlukan penjagaan yang khusus, dan penjaga (caregiver) mereka sering menghadapi cabaran fizikal, emosi, dan kewangan. 

Bantuan kepada caregiver ini sangat penting untuk memastikan mereka dapat terus memberikan penjagaan yang berkualiti tanpa mengabaikan kesihatan mereka sendiri. 

Berikut adalah bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada caregiver pesakit mental:

1. Bantuan Kewangan

Elaun Penjaga: Peruntukan khas untuk penjaga pesakit mental daripada kerajaan atau agensi kebajikan.

Geran Kesihatan Mental: Sokongan kewangan untuk kos rawatan, ubat-ubatan, atau terapi pesakit dan termasuk kos pengangkutan bagi mereka yang kategori asnaf.

2. Sokongan Emosi & Kaunseling

Program Kaunseling: Penjaga boleh mendapatkan sesi kaunseling percuma atau bersubsidi untuk menangani tekanan dan keletihan emosi. Kaunseling juga boleh dibuat dirumah apabila penjaga sukar untuk keluar rumah. 

Kumpulan Sokongan: Menyediakan platform berkongsi pengalaman dengan penjaga lain, seperti melalui NGO mental health seperti MaRMa atau MIASA.

Hotline Sokongan: Talian bantuan 24 jam yang boleh dihubungi bila-bila masa penjaga memerlukan nasihat atau motivasi.

3. Pendidikan & Latihan

Kursus Penjagaan Pesakit Mental: Latihan mengenai cara memahami, menguruskan tingkah laku, dan memberi sokongan kepada pesakit. Contohnya, pengendalian pesakit skizofrenia atau bipolar.

Panduan Menghadapi Krisis: Latihan khusus untuk menangani situasi kecemasan seperti percubaan bunuh diri atau episod psikotik.

4. Respite Care (Penjagaan Sementara)

Menyediakan perkhidmatan penjagaan harian atau penjagaan sementara supaya penjaga boleh berehat seketika tanpa rasa bersalah.

Kemudahan Sokongan: Pusat jagaan komuniti yang menawarkan penjagaan profesional sementara.

5. Polisi & Perundangan

Cuti Khas Penjaga: Memperjuang cuti bergaji khas untuk penjaga pesakit mental (yang masih bekerja) di bawah undang-undang pekerjaan.

Pengurangan Kos Rawatan: Subsidi atau bantuan kewangan khusus untuk rawatan pesakit mental.

6. Kesedaran & Penghargaan

Kempen Kesedaran: Menghapuskan stigma terhadap penyakit mental supaya penjaga tidak merasa malu atau terpinggir.

Penghargaan Penjaga: Program penghargaan kepada penjaga pesakit mental sebagai tanda sokongan moral.

7. Sokongan Komuniti

NGO MaRMa dan lain-lain boleh membantu dengan menyediakan sokongan tambahan seperti kaunseling, latihan, dan kumpulan sokongan.

Masyarakat sekeliling juga mesti membuang stigma yang ada terhadap pesakit mental dan jangan pulaukan keluarga pesakit mental.

Talian Bantuan: Menyediakan saluran komunikasi terus antara penjaga dengan pakar atau agensi yang berkaitan.

8. Menyokong dan memperuntuk dana 

Kepada NGO yang menyediakan pusat Rehab dan latihan untuk pesakit mental yang dalam proses pulih, supaya mereka boleh kembali kepada masyarakat dan menjadi role model kepada pesakit yang lain yang sedang dalam proses pemulihan. 


zseorang caregiver, Siti Mardhiyah menjaga anak bungsunya yang sakit skizo sejak 10 tahun lalu

Penjagaan pesakit mental adalah cabaran yang besar, tetapi dengan adanya sistem sokongan yang kukuh daripada keluarga, masyarakat, dan kerajaan, beban ini boleh dikurangkan. 

Wanita adalah tonggak utama yang menjaga keluarga yang sakit. Adakalanya mereka juga menjadi punca rezeki utama dalam keluarga. 

Banyak kes yang diadukan kepada MaRMA apabila ahli keluarga ada yang sakit mental, suami akan menceraikan isteri sekiranya si isteri yang sakit mental, juga jika ada anak-anak yang sakit mental, suami sering lepas tangan dalam masalah ini. 

Jika suami pula yang sakit mental isteri terbeban bukan sahaja untuk menjaga suami yang sakit mental tetapi juga menyara anak-anak yang sedang membesar di samping menguruskan rumah tangga dengan kudrat yang ada. 

MaRMA mendapat banyak aduan mengenai kes-kes sebegini. 

Semoga adanya bantuan daripada pihak pihak tertentu seperti KPWKM, MaRMA dapat membantu mereka khususnya wanita yang sedang menghadapi masalah menjaga pesakit mental di rumah. - KitaReporters



Wakil wartawan wanita daripada Kitareporters bersama Nancy Shukri (dua dari kiri).

13
11
0
19
0
You will be interested