Insan & Komuniti 22 Sep, 2025

Seronok dan menyelerakan! Makan dalam talam! Hidupkan sunah Rasulullah SAW! Eratkan silaturahim!

Share this

Amalan makan berjemaah dalam sebuah talam dan berkongsi antara empat sehingga lima individu ialah amalan sunah Rasulullah SAW yang semakin terhakis, walaupun ia dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda.



Pihak Masjid Jamek Bandar Segamat adalah antara yang menghidupkan dan telah mengamalkan sunah itu secara berterusan, sekali gus memberi peluang kepada jemaah untuk merasai pengalaman unik menikmati juadah secara beramai-ramai terutama ketika jamuan majlis keagamaan.

Baru-baru ini ketika sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal 1446H iaitu bersamaan 5 September 2025, acara makan dalam talam berkongsi beramai-ramai diadakan sebagai simbolik menghidupkan sunah Rasulullah SAW.

Menurut Kadi Daerah Segamat, As-Sheikh Mohd Azhar Samadun, pihaknya menyediakan jamuan makan menggunakan talam kepada jemaah terutama pada setiap kali sambutan Maulidur Rasul sejak puluhan tahun lalu.

"Alhamdulillah usaha kami mendapat maklum balas sangat baik daripada masyarakat sekitar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan budaya.

"Jemaah kami ada pelbagai latar belakang, kehidupan keluarga serta taraf ekonomi. Jadi, pihak masjid bertindak sebagai institusi yang jadi 'moderator' merapatkan perbezaan taraf kehidupan jemaah di sini (Segamat)," katanya.



Tambah beliau, kelebihan amalan makan berjemaah boleh membawa kepada keberkatan apabila satu talam makanan yang dihidang, dikongsi lebih seorang yang berkemungkinan tidak mengenali sesama mereka sebelumnya.

"Apabila makan bersama-sama, tiada lagi perbezaan taraf melainkan sekumpulan jemaah masjid yang menikmati serta berkongsi rezeki dalam satu talam serta menguatkan lagi ukhuwah.

"Pihak pengurusan masjid menyediakan ratusan talam juadah setiap kali sambutan Maulidur Rasul dengan pelbagai menu mengikut kepakaran tukang masak yang bertugas secara sukarela pada setiap majlis berkenaan dengan satu talam dikongsi empat atau lima jemaah.

"Kami melakukan gotong-royong untuk memasak hidangan diletakkan dalam talam dengan bantuan penduduk jemaah sekitar masjid," ujarnya.



Mohd Azhar berkata, pihaknya juga memastikan makanan yang dimasak secara rewang itu baharu serta berkualiti dihidang kepada jemaah untuk memastikan ia sedap lagi menyelerakan.

"Setiap makanan dihidangkan dalam keadaan panas kerana dimasak pada awal waktu namun kami tidak memasak terlalu awal kerana mahu jemaah menikmati makanan yang tidak tercemar.

"Kebiasaannya, beberapa orang termasuk tukang masak akan bertugas menyediakan menu untuk kira-kira 300 jemaah di masjid ini.

"Pada masa sama, kami mempunyai kumpulan sukarelawan untuk mengemas dan mencuci segala peralatan jamuan, selain membersihkan ruang masjid yang digunakan untuk tujuan jamuan," katanya lagi.



Sementara itu, salah seorang jemaah masjid, Karim Salleh, 65, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk ke Masjid Jamek Bandar Segamat pada setiap tahun sekiranya tiada tugasan di luar Segamat.

"Makan dalam talam ini mengingatkan saya pada nostalgia ketika bersekolah agama menyambut Maulidur Rasul satu ketika dulu.

"Program sebegini sebenarnya adalah pendekatan yang cukup berkesan kerana bukan sahaja mengikut sunah Rasulullah SAW, tetapi turut mengeratkan silaturahim antara kami secara bersemuka dalam zaman media sosial yang bergerak pantas ini.

"Kita akan nampak makanan dalam talam itu macam tidak banyak dan tidak cukup, tetapi apabila dikongsi ia sebenarnya banyak, mengenyangkan serta mencukupi. Keberkatan itu yang kita rasai," kongsinya. - KitaReporters

7
19
0
16
0
You will be interested