Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukan setakat sebuah organisasi komuniti, sebaliknya menjadi tulang belakang keharmonian kejiranan serta menjadi platform penyatuan rakyat pada peringkat setempat tanpa mengira pelbagai kaum.

Md Yasin Embong (kiri) menyerahkan sumbangan hasil infak komuniti dan ahli KRT kepada Muhammad Sukri Musa.
Justeru
peranan KRT amat penting dalam masyarakat walaupun ia dilaksanakan secara
sukarela, namun aktiviti itu dapat membantu dalam pembangunan serta kebajikan
termasuk mengambil peduli musibah yang menimpa komuniti.
Menyedari
situasi sebegitu, KRT Kampung Sekati, Manir, Kuala Terengganu mengadakan program
Ziarah Cakna membabitkan empat warga Taman Sakti dan Kampung Sekati yang diuji
masalah kesihatan seperti terkena serangan angin ahmar, sakit saraf, usus dan
terbabit dalam kemalangan.
Pengerusi KRT berkenaan, Md Yasin Embong, berkata rentetan itu beliau bersama 22 ahli KRT dan Jiran Wanita KRT berkenaan menziarahi Nordiah Jaka, Muhammad Sukri Musa, Khatijah Ismail dan Sheikh Abd Rahman di rumah masing-masing pada 5 Disember 2025.

Khatijah Ismail (tiga dari kanan) dan Sheikh Abd Rahman (kanan) menerima sumbangan daripada Azita Ali.
Menurutnya, ziarah berkenaan sebagai merealisasikan rasa sedih dan simpati semua ahli KRT terhadap musibah yang menerima mereka di samping untuk menghulurkan sedikit sumbangan hasil infak komuniti berserta daripada ahli sendiri.
Tambahnya, Ziarah Cakna itu juga merupakan program tahunan KRT sebaik sahaja mendapat maklumat terkini khusus daripada ahli dan komuniti yang sentiasa mengambil berat atau ambil peduli dengan musibah yang menimpa jiran tetangga.
Jelasnya, malah program ziarah itu juga antara objektif KRT dalam menyantuni sesiapa sahaja dalam komuniti yang memerlukan bantuan atau sokongan apabila menghadapi musibah terutama mereka yang hilang tempat bergantung atau sumber mata pencarian.
“Ini secara tidak langsung juga membantu mengeratkan hubungan jawatankuasa bersama komuniti untuk berganding bahu serta memikul tanggungjawab terutama meringankan bebanan keluarga terbabit yang menjadi teras dan saranan Kerajaan Madani dalam menzahirkan kehidupan harmoni,” ujarnya.

Md Yasin dan Azita merakam kenangan bersama sebahagian ahli KRT dan Jiran Wanita yang mengikuti program Ziarah Cakna.
Sementara itu, Pengerusi Jiran Wanita KRT kampung itu, Azita Ali, berkata walaupun sumbangan itu tidak seberapa namun paling penting ahli KRT sebagai mewakili komuniti dapat menzahirkan rasa simpati dan sikap bertanggungjawab terhadap masalah yang menimpa penduduk.
Tambahnya,
apabila mendapat info maklumat daripada ahli atau penduduk dalam komuniti kami
KRT akan mengambil langkah segera bagi membantu menangani mereka yang berduka
ditimpa musibah kesihatan dan sebagai tanda sikap ambil peduli.
“Justeru itu juga KRT akan menguar-urakan kepada pihak terbabit mengenai keperluan lain yang diperlukan komuniti ditimpa musibah supaya dapat dibantu segera untuk mengelak mereka berduka kerana tiada pihak yang menjenguk untuk bertanya khabar,” katanya.

Azita (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Nordiah sambil diperhatikan ahli Jiran Wanita KRT.
Seorang
penduduk yang ditimpa musibah kesihatan, Nordiah Jaka, melahirkan rasa bertuah
apabila diziarah ahli KRT dan Jiran Wanita untuk menghulurkan sumbangan
kewangan kerana bagi dia kunjungan itu lebih bermakna dalam mengeratkan
hubungan persaudaraan.
“Mereka
semua jiran dan juga rakan sekampung yang membesar bersama-sama malah kesusahan
saya ini mereka turut berasa sedih dengan menzahirkan rasa simpati menyebabkan
hati berasa amat terharu,” ujarnya.
Bagi
Muhammad Sukri Musa pula, program Ziarah Cakna itu sewajarnya dilaksanakan demi
memelihara hubungan persaudaraan dan harmoni antara penduduk kerana mereka yang
ditimpa musibah akan turut memahami fungsi KRT di satu-satu kawasan diwujudkan.
“Kita tidak perlu terlalu menilai atau berkira dengan sumbangan yang dihulurkan ini sebaliknya hendaklah memahami pengertian sebenar apabila hidup dalam satu komuniti untuk mengambil peduli serta mengambil tahu masalah berlaku supaya dapat diselesaikan bersama-sama,” terangnya. - KitaReporters