Insan & Komuniti 18 Sep, 2025

Bila ABAH Bersuara| Pasang CCTV! Panggil polis! Larangan merokok di premis makanan tak diendahkan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

DILEMPAR kata nista, dijerit dan dibaling dengan objek antara kesengsaraan terpaksa dihadapi ramai pemilik restoran dan premis makan minum dalam menguatkuasakan larangan merokok di premis mereka. Semua kerana sikap perokok tegar yang ingkar mematuhi peraturan.



Tidak cukup dengan itu, ada perokok tersebut yang bertindak balas dengan diam-diam mencemarkan makanan, termasuk dengan meletak lipas atau lalat dalam makanan dan kemudian meminta ganti rugi.

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, fenomena ini berlaku secara meluas di seluruh negara. Ia mendedahkan betapa buruknya sikap perokok tegar.

Mereka bukan sahaja dengan sengaja melanggar peraturan larangan merokok di premis makanan, tetapi memberi ancaman kepada pemilik dan pekerja premis. 

Perbuatan mereka memberi nama buruk kepada perokok yang mungkin patuh larangan.  


Papan tanda larangan merokok di restoran dan premis makanan terpampang besar. Namun ramai perokok tegar tidak peduli peringatan dan amaran tersebut.


Larangan merokok di premis makanan telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2020 setelah melalui tempoh penguatkuasaan pendidikan selama setahun bermula 1 Januari 2019. Melanggar peraturan ini bererti melanggar undang-undang ditetapkan oleh kerajaan. 

Kenapa larangan merokok dikuatkuasakan di premis makanan? Tidak lain untuk mewujudkan persekitaran bersih dan selesa kepada semua pengunjung termasuk kanak-kanak. Lebih penting  ialah untuk menjaga kesihatan.   

Pencemaran asap rokok menyebabkan persekitaran tidak sihat dan membahayakan golongan yang tidak merokok. 

Perlu diingat, premis makanan juga dikunjungi oleh ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak. Mereka ini antara yang mudah mendapat mudarat jika terdedah kepada asap rokok.



Namun setelah lebih lima tahun berkuatkuasa, kepatuhan kepada peraturan larangan merokok ini sangat menyedihkan. Perokok tegar tidak peduli. Bagi mereka, yang penting kepuasan merokok walaupun di premis tidak dibenarkan.

Mereka tidak peduli pengunjung lain. Apabila ditegur, tidak menerima dengan baik. Sebaliknya ‘naik angin’ yang mencetuskan pertengkaran dengan yang menegur, baik pengunjung lain atau pekerja restoran.

Ketika inilah mereka melepaskan marah dengan mengherdik pekerja, memaki hamun dan membaling objek. Lebih daripada itu memasukkan serangga ke dalam makanan untuk makan percuma dan minta ganti rugi pula.

Apa yang boleh dibuat oleh pemilik restoran ialah memaklumkan kepada polis. Tetapi apabila polis sampai mereka sudah beredar.

Kerana itu sukar menahan yang terlibat, melainkan pemiik premis ada bukti seperti kamera litar tertutup (CCTV), gambar atau video. Itu pun belum pasti pelaku dapat dikesan. 


Pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan berkala di premis makanan sambil nenasihati dan mengingatkan orang ramai mematuhi larangan merokok di premis menjamu selera. 


Perokok tegar ini berani kerana sedar gelagat mereka tidak dihalang lantaran tidak ada penguat kuasa di lapangan. Penguat kuasa dari Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan pula tidak dapat membuat pemantauan tujuh hari seminggu 24 jam.

Bayangkan betapa banyak restoran dan premis makanan di seluruh negara. Mana mampu penguat kuasa sepanjang masa memantau. 

Mungkin mereka boleh membuat pemeriksaan berkala. Tetapi gejala perokok tegar ini ada sepanjang masa.

Rasanya semua orang tahu merokok membahayakan kesihatan. Oleh itu alangkah baiknya jika tabiat merokok dihentikan. 

Tetapi jika tetap ingin merokok dan membahayakan diri sendiri, jangan ancam kesihatan orang di sekeliling yang tidak berdosa. Elak merokok di tempat dilarang.

Sepatutnya kesedaran tidak merokok, terutama di tempat larangan, harus datang daripada diri sendiri. Disiplinkan diri, latih diri mematuhi peraturan demi menjaga kesihatan.

Jika sedar bahaya merokok dan menjauhi rokok, tidak perlu pun dibuat undang-undang larangan merokok di tempat awam. 

Tetapi masyarakat nampaknya lebih suka dibelenggu dengan peraturan, dan sering kali pula peraturan itu dilanggar. Bukankah itu jahil namanya? - KitaReporters


14
14
0
10
0
You will be interested