MUSIM cinta lama kembali bertaut dan semakin membara kehangatannya.
Apabila dulu, pasangan ni yang pernah berpisah selama 18 tahun dan kali ini bersama kembali, Bennifer - Jennifer Lopez (JLo) dan Ben Affleck, mengesahkan mereka sedang dilamun asmara dan mula berkongsi akaun Instagram memaparkan gelagat bersama serta menampilkan wajah anak-anak mereka dalam kehidupan 'baru'.
Buzz Feednews melaporkan pasangan itu mula terikat cinta seawal April 2021 selepas menghabiskan cuti bersama di Montana yang menyaksikan mereka sudah tidak boleh lagi berenggang.
Bagaimanapun disebabkan beberapa perjanjian berlakon, pasangan itu yang sudah digelar Bennifer 2.0 bersikap lebih berhati-hati dalam hubungan tetapi haluan sudah menghala ke arah saat yang romantik.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jennifer Lopez
Sky News melaporkan sekiranya Jennifer Aniston dan Brad Pitt pula kembali bersama seperti Bennifer ini, pastinya pasangan bintang ini akan menjadi bahan 'meletup' dan mencuri tumpuan media seluruh dunia.
JLo dan Ben bertemu kali pertama dalam filem Gigli pada 2003 dan mula jatuh cinta di lokasi. Sebelum ikatan mereka sudah hampir menuju ke gerbang mahligai, akibat tekanan kerana terganggu dengan tumpuan media terutama paparazi, akhirnya kedua-dua memutuskan untuk meleraikan saja hubungan cinta itu.
Ben memilih bernikah dengan Jennifer Garner sebelum bercerai kerana curang dengan pengasuhnya dan JLo pula memilih penyanyi Marc Anthony dan beberapa orang lagi lelaki terkenal sebelum kembali menjadi solo.
Sejak itulah, cinta lama membakar jiwa masing-masing.
Selepas 18 tahun terputus hubungan pertunangan, tahun ini (2021) mempertemukan mereka semula dan kini mereka mungkin akan membawa pengakhiran cinta itu di titik noktah hidup mendirikan rumah tangga.
Ini jelas selepas menghabiskan cuti musim panas di Montana, mereka kerap bertemu dan kehangatan cinta macam sudah mula menarik pasangan itu yang kini sudah dapat gelaran Bennifer 2.0
Bennifer kali ini sangat selesa menjalin persahabatan. Masing-masing cuba memberi sokongan dengan Jennifer menghadiri Festival filem Venice untuk tayangan #TheLastDuel, hasil karya Ben dan rakannya.
Dan kesahihan kembali berkasih apabila gambar mereka, pertama kali dimuat naik dalam Instagram memaparkan 'adegan' asmara dan penyanyi itu tidak segan silu bila gambarnya dirakam sedang ghairah mencium Ben di atas sebuah bot di St Topez, selepas sambutan hari jadi ke-52 tahun.
Walaupun masing-masing sibuk, kerana Ben akan menjalani penggambaran di Texas untuk filem terbarunya Hypnotic manakala JLo akan mula membintangi filem The Mother yang juga projek pertamanya dalam siri perjanjian perniagaan dengan Netflix.
"Tapi nampaknya mereka sangat gembira menghabiskan musim panas walaupun selepas ini, Ben di Texas dan JLo di Kanada pada Oktober (2021)," kata sumber majalah People.
Mereka juga menyatukan anak-anak daripada keluarga masing-masing kepada satu famili yang besar.
JLo yang terkenal sebagai "Jenny from the Block" dengan kembarnya Emme dan anak lelakinya, 14, Max, yang berbapakan penyanyi terkenal Marc Anthony. Dan Ben pula bersama anak daranya, Violet Anne, 15½, dan Seraphina Rose, 12½, serta anak lelakinya, Samuel Garner, 9, dari isterinya Jennifer Garner bekas pelakon siri drama Alias.
Pasangan itu kelihatan cuba membahagiakan anak-anak mereka dengan menghabiskan masa di taman Magic Castle di Los Angeles.
Sementara itu dalam laporan Sky New, Ben dikatakan sangat kagum dengan pengaruh JLo dalam industri hiburan khususnya dipandang tinggi oleh wanita bukan kulit putih.
Dalam temu bualnya dengan 'Adweek,' Ben memuji pencapaian JLo sepanjang kariernya, "Dia telah memberi inspirasi kepada kumpulan orang yang merasakan mereka juga ada 'hak' untuk mencapai impian Amerika di negara ini. Tak ramai orang boleh jadi begini dan inilah yang paling saya kagumi," kata Ben,
Kata beliau kejayaan itu bukan boleh dicipta dalam masa sehari dua, sebaliknya sepanjang hayat.
"Saya fikir sebagai artis dan seorang wanita, pengasas kepada jenama. Saya sangat berharap untuk mencipta nama begitu. Jika orang itu dapat menjadi pencipta, artis dan usahawan yang boleh ada ikatan akrab dengan orang ramai, dia memang menakjubkan.
"Itu adalah bakat anugerah tuhan. Jangan abai dan kita manfaatnya sebaik mungkin," kata Ben lagi. - KitaReporters