Insan & Komuniti 30 Sep, 2020

Syabas Nur Wadihan! Kanak-kanak Celebral Palsy tawan Fraser!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) diumpamakan seperti anggota tentera yang sedang berperang. Mereka tidak pernah berhenti berjuang demi memberi bahagia kepada anak tercinta. Wira Sudepja Rabu adalah antara 'wira' yang sedang berjuang untuk puterinya, Nur Wadihan Wira Sudepja seorang pesakit Celebral Palsy (Palsi Serebrum atau CP). : KitaReporters

Wajah gembira Wira Sudepja Rabu dan anaknya, Nur Wadihan sebaik tiba di Clock Tower, Bukit Fraser.


Lagi cerita-cerita berkaitan kanak-kanak:

https://kitareporters.com/search?search=kanak-kanak


Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi seorang suami apabila isteri tercinta selamat melahirkan bayi yang dikandung selama sembilan bulan 10 hari. Namun, tidak semua yang diimpikan menjadi kenyataan. Kita hanya merancang namun Allah yang menentukan segalanya. 

Dia sebaik-baik Perancang.

Wira Sudepja Rabu, 45, antara suami yang melalui situasi itu apabila isterinya, Nor Murni Dona Mohd Nordin, 46, berdepan komplikasi ketika menjalani pembedahan melahirkan anak bongsunya, Nur Wadihan yang kini berusia 12 tahun.

Nur Wadihan kerap menerima rawatan kerana selalu berdepan masalah kesihatan dan kini masih menjalani rawatan susulan di PPUKM


Menurut Wira Sudepja, Nur Wadihan dilahirkan pada usia lapan bulan dalam kandungan.

"Ketika pembedahan, berlaku komplikasi di mana Dihan lemas dan tiada harapan hidup selepas lahir.

"Dihan sangat kritikal ketika itu dan pada hari kedua doktor sudah menasihatkan andainya Dihan tidak menunjukkan pemulihan dengan rawatan yang diberi, kami perlu bersiap sedia untuk tarik sokongan hayatnya.

"Lebih menyedihkan apabila saya hubungi ibu di kampung dan memintanya untuk tidak datang melawat Dihan. Sebaliknya saya memohon ibu bersedia di kampung sekiranya hayat Dihan tidak lama, saya ingin uruskan pengebumian di sana. 

"Saat ibu bapa lain gembira sediakan diapers, kain lampin dan pakaian baby saya pula umpama perlu sediakan kain kafan. Hati bapa mana yang kuat ketika itu," kata Wira Sudepja ketika ditemui pada program Kayuhan Puncak Anak Syurga di Bukit Fraser, Pahang baru-baru ini.


Wira Sudepja mengerah keringat membawa anaknya berkayuh sehingga ke Bukit Fraser.

Wira Sudepja menenangkan Nur Wadihan dalam perjalanan berkayuh ke Bukit Fraser 


Wira Sudepja mengambil masa hampir lima jam berkayuh dari Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada jarak keseluruhan sejauh 27 kilometer termasuk mendaki Bukit Fraser sejauh lapan kilometer.

Wira Sudepja suka berkongsi perjalanan hidup Nur Wadihan yang mesra dengan gelaran Dihan pada setiap program yang disertai bukan untuk meraih simpati sebaliknya untuk menceritakan perjalanan hidup anaknya.

"Saya sendiri tidak menjangkakan Dihan mampu bertahan kerana dia mempunyai peluang yang amat tipis untuk diselamatkan. Bayangkan Dihan lahir tanpa nyawa. Doktor terpaksa buat CPR dan pada minit yang ke-10 baru jantungnya berdegup. 

"Dihan terus dibawa ke NICU dan keadaan dia semakin serius. Kepalanya menjadi keras dan tiada bahagian lembut seperti bayi lain. Ketika itu Dihan mengalami 'brain dead' dan tiada harapan," kata Wira Sudepja.

Kuasa Allah tiada siapa mampu menduga. Nur Wadihan benar-benar bayi ajaib. Tubuh kecil itu mempunyai semangat yang sangat kuat berusaha untuk terus hidup.

"Pada hari keempat dia mula merasa susu ibu melalui tiub dan kepalanya juga sudah mulai lembut. Dua minggu selepas itu dia mampu menyusu secara normal.

"Dihan benar-benar bayi ajaib dan kami menggelarnya The Miricle Baby. Tapi Dihan tidak membesar seperti bayi normal. Dia didiagnosis dengan cerebral palsy (palsi serebrum)," katanya.

Wira Sudepja memberi gelaran Princess of Mountain kepada Nur Wadihan selepas berjaya menawan Bukit Fraser.

Wira Sudepja melayani Nur Wadihan menunggang kuda dan aktiviti seperti ini sangat baik untuk perkembangan anak-anak Celebral Palsy.


Wira Sudepja mengakui dia sukar menerima takdir itu pada awalnya.

"Sukar untuk saya pujuk hati kerana masih trauma. Ramai yang bersimpati. Isteri begitu cekal menerima keadaan Dihan malah dia pula yang memberi kata-kata semangat kepada saya dengan berkata 'life must go on'.

"Isteri hanya tahu keadaan Dihan selepas mendengar penjelasan daripada doktor kerana saya sendiri tidak mampu untuk beritahu keadaan Dihan dalam keadaan dia yang masih sakit selepas pembedahan," katanya.

Nur Wadihan kini menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan fisioterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Wira Sudepja memberi ciuman kepada Nur Wadihan selepas selamat tiba di Clock Tower Bukit Fraser


Nur Wadihan berjaya menamatkan kayuhan bersama bapanya bermula dari Sungai Chiling ke Bukit Fraser dalam tempoh lima jam. 


"Siapa yang tidak sedih dan trauma bila berdepan situasi seperti ini. Saya perlu kuat untuk keluarga terutama untuk Dihan. Kakaknya pernah merajuk kerana kami memberikan tumpuan sepenuhnya pada Dihan. Namun, apabila semakin membesar, dia mula memahaminya," kata pengurus kilang di Bangi, Selangor itu.

Sebagai anak yang terlantar sepenuhnya (bedridden), Nur Wadihan menjalani proses pemulihan secara berperingkat-peringkat.

Wira Sudepja tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan supaya anak istimewanya tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek sama seperti kanak-kanak normal lain.

"Bagi saya, setiap hembusan nafasnya adalah nikmat bagi kami. Saya hilang penat bila melihat Dihan ketawa," katanya.

Katanya, tiga tahun pertama menjaga Nur Wadihan adalah detik paling mencabar berikutan imuniti anaknya lemah dan sensitif dengan persekitaran. 

"Situasi itu membuatkan saya dan isteri fobia untuk membawa Dihan keluar rumah, apatah lagi bertemu orang ramai kerana bimbang terkena penyakit dan terpaksa dirawat di hospital.

“Demi menjaga kesihatan Dihan, kami terpaksa ‘mengurung’ anak istimewa ini dalam rumah dan kami sama-sama tidak keluar  kecuali bekerja atau ada urusan penting. Ia berlarutan sehingga usia Nur Wadihan enam tahun.

“Namun, keadaan itu mendatangkan kesan jangka panjang kepada saya dan isteri apabila kami pula mengalami masalah kesihatan seperti darah tinggi dan cepat panik jika ada yang tidak kena dengan Dihan,” katanya.

Enggan masalah berpanjangan, Wira Sudepja mula membawa Nur Wadihan keluar menghirup udara segar dan melakukan senaman ringan di lokasi riadah berhampiran kediaman mereka di Putrajaya.

"Lokasi riadah ini kerap dikunjungi mereka yang melakukan aktiviti berbasikal dan saya menyedari Dihan akan ketawa setiap kali berselisih dengan kumpulan berbasikal ini. Ini mencetuskan idea melakukan aktiviti basikal untuk Dihan.

Wira Sudepja hanya membawa Nur Wadihan keluar beriadah selepas berusia enam tahun. 


"Saya perlu bangkit untuk Dihan dan anak-anak syurga yang lain. Dihan menjadi pencetus inspirasi untuk saya tubuhkan Kelab Berbasikal Bikeisable ini,” katanya yang membuat tempahan basikal roda tiga di luar negara secara dalam talian.

Bertitik tolak dari situ, Wira Sudepja membawa Nur Wadihan menyertai pelbagai aktiviti berbasikal di seluruh negara.

“Aktiviti sebegini seolah-olah menjadi terapi untuk Dihan apabila dia didapati semakin ceria, malah imunitinya bertambah baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Peserta Program Kayuhan Puncak Anak Syurga memulakan kayuhan bermula dari Sungai Chiling ke Bukit Fraser dalam tempoh lima jam.


Wira Sudepja mengerah keringat membawa anaknya berkayuh sehingga ke Bukit Fraser.


Acara pertama disertai Wira Sudepja bersama Nur Wadihan ialah program KL Car Free Morning anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sehingga kini sudah merekodkan lebih daripada 100 penyertaan di seluruh negara.

Nur Dihan adalah pemegang Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi penyertaan Sukan Lasak Duathlon di Bagan Serai, Perak pada Ogos 2018 dengan menamatkan larian dan kayuhan sejauh lima kilometer (km), seterusnya 32 km dan lima kilometer dalam kategori sprint selama tiga hingga enam jam. 

Kedua-duanya juga menyertai kembara berbasikal merentas sempadan ke Thailand melebihi 200 kilometer pada Januari tahun ini.

Tambah istimewa, Nur Wadihan juga menerima pengiktirafan sebagai ‘Most Extraordinary Malaysia’ untuk pemegang MBOR dipilih menerusi undian dalam media sosial.

Nur Wadihan menerima pengiktirafan MBOR sebagai insan istimewa yang luar biasa


Wira Sudepja berkata, Kelab Bikeisable yang kini seramai 80 keluarga ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu di bawah pertubuhan dan kumpulan sokongan untuk CP, Malaysia Advocates for Cerebral Palsy (MyCP).

Ahli-ahlinya terdiri daripada ibu bapa yang anak-anaknya yang didiognosis pelbagai penyakit seperti autisme, Sindrom Down, kecacatan tulang belakang dikenali spina bifida, Sindrom Prader-Willi (PWS) dan Digeorge Syndrome (kecacatan pada kromosom).

“Saya berharap usaha dilakukan ini membuka minda masyarakat mengenai kewujudan anak-anak istimewa dan perbezaan keperluan kanak-kanak ini,” katanya.

Wira Sudepja turut berkongsi maklumat kepada ibu bapa atau penjaga anak istimewa yang berminat untuk turut serta dalam acara kecergasan menerusi laman media sosial MyCP.

"Selain berbincang dan meraikan mereka dalam sesuatu program atau aktiviti ia secara tidak langsung dapat memperbaiki  emosi setiap keluarga," katanya. 

Penulis bersama Wira Sudepja Rabu dan isteri, Nor Murni Dona Mohd Nordin serta Nor Wadihan bergambar kenangan di 'Clock Tower' sebaik tiba di Bukit Fraser.

Wira Sudepja Rabu (dua dari kiri) bersama anaknya Nur Wadihan berjaya menamatkan kayuhan bermula dari Sungai Chiling ke Bukit Fraser dalam tempoh lima jam.


Ibu bapa yang memiliki anak istimewa perlu terlebih dulu memahami keadaan dan keperluan anaknya itu. Ini penting kerana ahli keluarga sendiri mesti belajar secara mendalam keadaan kanak-kanak itu dan cara terbaik yang perlu dilakukan untuk membantu. 

Jangan sesekali membiarkan anak syurga ini bersendirian. - KitaReporters

5
0
0
0
0
You will be interested