TANPA ibu siapalah kita di dunia ini? Berpegang kepada prinsip itu anak yang bertanggungjawab pasti akan mendahului orang tua dalam apa jua keadaan. Beruntung siapa diberi peluang untuk mereka yang mampu menjaga kebajikan orang tua sehingga penghujung usia mereka.
Begitu juga yang dilalui seorang anak muda, Wan Mohd Fakhrul Anwar yang langsung tidak merasakan beban walaupun pernah mengikat perut kerana mahu menjaga ibu yang terlantar kerana lumpuh sejak lapan tahun lalu.
Ibunya Remalah Syafein, 71, terlantar di rumah selepas
lumpuh sejak 2013 lalu selepas diserang
angin ahmar (strok) menyebabkan bahagian kanan badan tidak boleh bergerak.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan angin ahmar:
https://kitareporters.com/search?search=angin+ahmar
RATU HATIKU... Sanggup lakukan apa sahaja demi ibunya selagi hayat dikandung badan. - Kredit foto: Facebook Wan Mohd Fakhrul Anwar.
Kongsi anak muda dari Pasir Mas, Kelantan itu sebelum ini dia pernah bekerja di luar negeri Kelantan selepas tamat pengajian di Universiti sains Malaysia (USM), namun terpaksa berhenti selepas masalah kesihatan ibunya dan berdepan kesukaran menguruskan kehidupan harian.
Graduan Sastera dan Pendidikan itu nekad berhenti
kerja dan kembali ke kampung halaman semata-mata mahu menjaga ibunya.
“Untuk membawa ibu sekali ke tempat saya bekerja memerlukan kos yang tinggi jadi saya yang berkorban dan kembali ke kampung bagi memudahkan urusan menjaga ibu ketika itu,” ujar anak keempat daripada lima beradik itu.
Malah dalam tempoh setahun menjaga ibu pelbagai dugaan dilalui dan pernah terputus makanan kerana ketiadaan wang, namun dia yakin setiap yang hidup di muka bumi telah dijanjikan rezeki oleh-Nya.
TEMPAT mengadu dan bermanja walaupun keadaan ibunya hanya terlantar.
“Itu yang selalu saya pegang membuatkan saya nekad
menjaga ibu lagipun ibu perlukan saya buat masa ini,” katanya yang kini berniaga
secara dalam talian.
Kongsi anak muda berusia 35 tahun itu dia pernah
menggunakan plastik bagi menggantikan kain lampin kepada bunya kerana
ketiadaan wang.
“Itu saat getir yang pernah saya lalui dan ketika itu saya pernah makan nasi hanya berlaukkan kicap,” ujarnya mengenangkan perjalanan yang pernah dilalui. Namun kesusahan yang dilalui tidak mematahkan semangat untuk terus berbakti kepada ratu hatinya.
“Saya tidak malu melakukan apa sahaja kerja asalkan halal dan boleh memberi keselesaan kepada ibu,” ujarnya lagi.
Namun Wan Fakhrul bersyukur keperitan hidup yang dilalu itu dibantu oleh beberapa bantuan yang diterima termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mampu meringankan bebannnya.
"Kalau diikutkan bantuan berkenaan tidak
mencukupi kerana kos pembiayaan rawatan ibu menelan RM1,200 sebulan termasuk
lampin pakai buang, susu dan kos ulang-alik bagi mendapatkan rawatan susulan di
hospital, namun saya tetap bersyukur kerana meringankan beban saya selama ini,” kongsinya yang turut mengusahakan jualan piza secara kecil-kecilan.
Dia kini perlu bijak menguruskan kewangan kerana selain memperuntukkan untuk rawatan ibunya setiap bulan dia juga perlu membayar keperluan lain seperti sewa rumah dan komitmen lain.
“Saya kini menerima semua kerja asalkan halal dan
boleh menampung perbelanjaan sekeluarga,” ujarnya yang bersyukur kerana
isterinya turut membantu dengan cara menjual barangan kosmetik bagi menambah
pendapatan keluarga.
“Sebelum ini saya bekerja melakukan kerja sambilan
dalam bidang penulisan seperti cerpen dan skrip serta pemasaran,” ujarnya yang
turut menjadi penghantar makanan.
Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerja yang dilakukan itu terbatas menyebabkan dia tidak mahu berhenti berusaha. Kini dia meneruskan pencarian dengan cara menjual barangan mainan kanak-kanak secara dalam talian.
“Walaupun bukan kerja tetap tapi banyak membantu saya
sekeluarga,” ujarnya yang baharu dikurniakan seorang cahaya mata yang kini
berusia 10 bulan.
Katanya, rutin hariannya kini lebih tertumpu menguruskan ibu sebelum menguruskan perniagaan yang semakin mendapat sambutan.
Fakhrul kini bersedia menerima sebarang pekerjaan bagi menambah pendapatan keluarga termasuklah kerja berkaitan penulisan skrip, content writer dan juga pemasaran boleh menghubungi melalui talian 010-9229538.
Semoga ada sinar untukmu wahai anak muda. Yakinlah setiap ujian yang diberikan pasti rahmat yang menanti. Yakin dan terus berdoa! - KitaReporters