Insan & Komuniti 05 Jun, 2020

74 tahun! Namat Abdullah kental bertahan cabaran usia, masa

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

USIANYA sudah mencecah 74 tahun. Kudratnya kini pastilah tidak segagah era 70-an lalu dan kena bergerak menggunakan kerusi roda malah menghidap angin ahmar dan baru menjalani pembedahan usus (ostomy bag) bagi merawat kanser usus tahap 4, tiga bulan lepas. Siapa dia? : KitaReporters

GAMBAR terbaharu Namat Abdullah yang berkerusi roda di Taiping, Perak ketika Aidilfitri, baru-baru ini. - Kredit foto: Dzulizwar Mohd. Bakir 


Namun dengan kurniaan Allah, semangat dan keazaman Datuk Namat Abdullah untuk terus mengharungi kehidupan dalam serba kepayahan itu tidak sesekali pernah terpadam

Sekental itulah perjuangannya ketika menggalas harapan Malaysia dalam Sukan Olimpik Munich 1972 mahupun dalam membawa pulang pingat gangsa Sukan Asia 1974 dari Tehran, Iran

Malah anak jati Butterworth, Pulau Pinang ini masih kuat daya ingatannya terutama apabila bersembang bab bola sepak ketika diziarahi rakan-rakan seperjuangannya dari Jabatan Penjara Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

NAMAT menjulang Piala Malaysia pada 1974 sambil diraikan rakan sepasukan Pulau Pinang selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Bandaraya. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan 


Datuk Namat masih sihat. Badannya memang kurus cengkung tetapi bercakap pun dia masih boleh lagi,” kata isterinya, Datin Mahani Sulaiman ketika dihubungi, mengulas gambar terbaharu Namat yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini.


NAMAT (kiri) memegang anak harimau bernama Tuah yang mahu dihadiahkan oleh Zoo Negara kepada Zoo Jerman menjelang persediaan ke Sukan Olimpik 1972.


Bekas Kapten Malaysia dan Pulau Pinang itu kini perlu dijaga oleh anak dan menantunya di kediaman mereka di Taiping, Perak selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 24 Mac 2020. 

Dia yang bermain di posisi benteng, mempunyai tujuh anak, 17 cucu dan seorang cicit. 

Mengulas gambar terbaharu Namat yang tular dalam media sosial sejak semalam, menantunya, Dzulizwar Mohd. Bakir berkata, “selepas menjalani pembedahan itu, dia juga lebih berselera makan

“Raya Aidilfitri baru-baru ini, kami sajikan Datuk dengan nasi himpit dan kuah kacang yang memang kami tahu itulah juadah kegemarannya. 

“Daya ingatannya juga kuat. Dia boleh bersembang kisah bola sepak silamnya dengan rakan-rakan sejawatan dan anak-anak buahnya dalam Jabatan Penjara dulu,” katanya. 

Namat paling diingati kerana bersama-sama 18 lagi pemain skuad Olimpik 1972 yang mengalahkan Amerika Syarikat 3-0 selain kalah kepada tuan rumah 3-0 dan Maghribi 6-0 dalam saingan Kumpulan A.

NAMAT menanduk bola di belakangnya, Soh Chin Aun dalam sesi latihan menjelang Sukan Olimpik Munich 1972. 


Turut beraksi ialah adiknya yang juga pembolos gawang Amerika di Ingolstadt, Shaharudin Abdullah, Allahyarham Salleh Ibrahim dan Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff selain antaranya, mendiang Datuk M. Chandran, Datuk Soh Chin Aun, Wong Kam Fook dan Bahwandi Hiralal. 

Mereka menempah penampilan bersejarah pada temasya terbesar dunia itu selepas menjuarai Kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul pada 1971 dengan menundukkan Jepun 3-0, Korea Selatan 1-0, Taiwan 3-0 dan Filipina 5-0. 

Menariknya, skuad negara ketika itu dianggotai ramai kakitangan Jabatan Penjara termasuk jurulatih, Allahyarham Jalil Che Din, Shaharudin, V. Krishnasamy, Syed Ahmad Abu Bakar, Salleh, Zawawi dan Allahyarham Ali Bakar serta Hamzah Hussin.

NAMAT (berdiri, kiri) memimpin pasukan negara menentang Arsenal dalam perlawanan persahabatan pada 11 Mei 1975 di Stadium Merdeka. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan


Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang merentas negeri malah hanya membenarkan ziarah pada Aidilfitri pertama, ramai rakan Namat tetap bertanya khabarnya menerusi telefon. 

“Antaranya Datuk Mohamad Bakar (seorang lagi anggota skuad Olimpik 1972), Datuk Shukor Saleh (bekas penolong kapten negara yang layak ke Olimpik Moscow 1980) dan Johari Maina (bekas pemain negara dan Pulau Pinang),” kata Dzulizwar.

Dalam sebuah kisah yang tersiar dalam majalah Dunia Sukan terbitan Utusan Melayu, gaya permainan Namat pernah dikatakan memikat bekas pengurus Arsenal, Bertram 'Bertie' Mee selepas pasukannya tewas 2-0 dan seri 0-0 dengan Malaysia dalam perlawanan persahabatan, Mei 1975 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Gaya bertahan dan kemahiran sepakan bebas serta rembatan gol jarak jauhnya dianggap mirip bintang England, Jackie Charlton. - KitaReporters

5
1
1
0
0
You will be interested