Insan & Komuniti 20 Mar, 2021

Belum terima bantuan COVID-19? Maklum segera kepada MAIS! Bakul makanan RM1j untuk terjejas

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Dr Ahmad Shahir Makhtar (tengah) menyampaikan bantuan bakul makanan Majlis Agama islam Selangor kepada penerima dalam daerah Petaling di Masjid As Salam, Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor. - Kredit foto-foto: FB MAIS.


KEPADA mana-mana individu atau orang perseorangan di Selangor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 tetapi belum menerima sebarang bantuan masih berpeluang untuk mendapatkannya melalui sumbangan bakul makanan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Syaratnya mereka perlu segera memaklumkan perkara tersebut kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau atau Masjid di kariah kawasan individu itu tinggal.

Selain itu, mereka juga boleh datang terus ke Pejabat Agama Islam di daerah masing-masing bagi mendaftar untuk memperolehi bantuan bakul makanan berkenaan, kata Pengarah, Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan MAIS:

https://kitareporters.com/tag/Majlis%20Agama%20Islam%20Selangor%20%28MAIS%29


Pengarah,Pembangunan Sosial,Majlis Agama Islam Selangor,Suhaimi Ismail.


Katanya, bagi mereka yang mungkin tercicir atau masih belum mendapat bantuan itu masih ada peluang, maka segeralah memaklumkan mengenai perkara tersebut supaya dapat diberikan sumbangan pada sesi agihan akan datang jika didapati benar-benar layak.

Beliau memaklumkan MAIS memperuntukkan lebih RM1 juta bagi menyediakan bantuan bakul makanan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik berkenaan yang masih berlanjutan hingga sekarang.


Majlis penyerahan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima untuk daerah Petaling.


Sebelum itu, pada satu majlis promosi pusat informasi MAIS di Shah Alam, Suhaimi menyatakan sehingga ini MAIS telah mengagihkan bantuan kepada seramai 5,455 orang penerima yang terjejas dan memerlukan bantuan tersebut dengan nilai RM545,500 bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lapor Media Selangor pada Khamis 11 Mac 2021.

"Mungkin pada peringkat surau atau masjid masih ada antara ahli kariah yang tercicir menerima bantuan dan golongan ini perlu didaftarkan segera supaya mereka tidak terlepas menerima agihan bantuan akan datang," ujarnya.

Bantuan bakul makanan sumbangan MAIS bernilai RM100 bagi setiap penerima merupakan peruntukan melalui wang fidyah yang dibayar orang ramai.

Program turun padang MAIS menyampaikan bantuan bakul makanan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid dan surau pada peringkat daerah. 

Sebelum ini, MAIS menyumbang bantuan fidyah kepada 416 keluarga yang terkesan dengan nilai RM41,600 melalui kerjasama Masjid As Salam, Taman Puchong Perdana di Puchong, di samping 100 penerima dengan nilai RM10,000 di Pertubuhan Penyayang SALAM (SALAM Relief).


Individu yang terjejas dan memerlukan bantuan gembira setelah menerima sumbangan yang disampaikan oleh salah seorang wakil Majlis Agama Islam Selangor (kiri).


Pada Rabu 10 Mac 2021, agihan bantuan MAIS untuk daerah Klang, Petaling dan Hulu Selangor melibatkan 201 penerima dengan jumlah nilai RM20,100.

Program agihan melibatkan Masjid Tok Muda, Kapar dan Masjid Samadiah, Pelabuhan Klang serta Masjid Jame'  Ar Rahimiah, Kuala Kubu Baharu.

Dalam pada itu, MAIS juga selesai mengagihkan sumbangan kepada 340 penerima bantuan bakul makanan bernilai RM34,000 melalui peruntukan wang fidyah untuk daerah Petaling melibatkan kariah Surau At Taqwa, Taman Seri Muda, Masjid Taman Seri Muda ,Masjid Taman Putra Perdana, Surau Nurul Iman, Kampung Orang Asli Bukit Antarabangsa, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Pusat Kokurikulum Guru (PKG) Puchong.



Abdul Aziz Mohd Yusuf (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa.


MAIS dalam usahanya membantu menaik taraf kemudahan Maahad Tahfiz di Selangor turut menyumbang RM100,000 kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS). Replika cek bantuan disampaikan oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf kepada Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa

Diharapkan melalui bantuan yang disalur dapat membantu Maahad Tahfiz menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan sempurna, di samping menjaga kebajikan pelajar berkenaan pada masa akan datang.

"Sumbangan yang menggunakan peruntukan dana Baitulmal MAIS diserahkan kepada PITAS sebagai pengerak utama institusi Tahfiz Al-Quran persendirian di negeri ini melalui Tabung Prihatin PITAS.

"Pemilihan penerima sumbangan berdasarkan permohonan PITAS membantu menaik taraf pembinaan bangunan Maahad Tahfiz sekitar Selangor mengikut ketetapan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," jelas Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan diberikan bagi membantu menaiktaraf kemudahan 411 buah Maahad Tahfiz dibawah PITAS mengikut keperluan. - KitaReporters



1
0
0
0
0
You will be interested