Insan & Komuniti 28 Apr, 2022

Husna rindu pulut kuning, ayam rendang mama! Sambut Aidilftri sebagai yatim piatu! Hilang seri!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Husna (nombor dua dari kiri) dan adik-adiknya, Hakim (tiga dari kiri), Harith (kanan sekali) dan Hanani (kiri sekali) kini menjalani kehidupan sebagai anak yatim piatu selepas kematian ibu pada 2020 dan ayah pada 2021.


Tanggal 29 April menjengah lagi, menguak semula kelopak duka Saidatul Husna Mohd Izuddin. Pada tarikh ini, 2020, Husna dan tiga adiknya kehilangan ibu tercinta, Zulzila Dzulkefli yang meninggal dunia akibat demam panas dan diabetes

Walaupun sudah dua tahun berlalu dan kesedihan semakin surut namun duka masih berparut sekali pun tetap akur menerima takdir Allah. Apatah lagi ulang tahun ke-2 kematian ibu kali ini jatuh pada bulan Ramadan dan hanya beberapa hari menjelang sambutan Aidilfitri. 

Arwah Zulzila merupakan bekas editor dengan syarikat media Kumpulan Media Karangkraf

Lebih terasa, lebaran kali ini turut akan disambut tanpa ayah tercinta, Mohd Izuddin Maarop yang dijemput Illahi pada 7 September, 2021 akibat pelbagai penyakit kronik yang sekian lama dideritai. 

Husna, 23, serta adik-adiknya, Muhammad Hakim, 21; Muhammad Harith, 19; dan Saidatul Hanani, 16, kini bergelar yatim piatu!


Lagi cerita-cerita pilu berkaitan anak-anak yatim piatu

Gambar kenangan keluarga Husna dan adik-adik bersama kedua-dua ibu bapa. - Kredit gambar: Saidatul Husna.


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul namun Husna sedar kehidupan perlu diteruskan apatah lagi sebagai anak sulung, tanggungjawab sebagai ‘ibu bapa’ perlu digalas bagi memastikan adik-adiknya tidak terabai serta berjaya dalam kehidupan mereka. 

“Sedih memanglah sedih bila mengenang nasib kami yang kini bergelar yatim piatu tapi saya perlu kuat untuk adik-adik saya. Tanggungjawab saya sekarang bukan sahaja sebagai kakak tapi juga umpama ibu dan bapa. Cuma, adik-adik sangat memahami serta cuba tidak membebankan saya sebaliknya berdikari,” ujar Husna.

Menurut Husna, pada awal kematian ibunya, dia agak tenggelam punca, maklumlah sebelum itu, segala urusan rumah tangga diurus oleh ibunya yang berhenti kerja sebagai wartawan semata-mata untuk menjaga ayahnya yang sakit. Jadi, apabila ibunya tiada, dia perlu mengambil-alih tugas itu terutama dalam mengendalikan ayahnya. 

“Selepas mama tiada, abah banyak memberi tunjuk ajar walaupun ketika itu dia sendiri tidak sihat. Malah, abah meminta saya bersedia sekiranya apa-apa berlaku ke atas dirinya, dia beritahu apa perlu dilakukan daripada pengurusan jenazahnya hinggalah urusan berkaitan memohon bantuan serta menguruskan wang simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) mama.

“Tempoh lebih setahun mama meninggal, saya belajar banyak perkara baharu, sedar akan tanggungjawab terhadap keluarga yang selama ini hanya diuruskan mama. Jadi, apabila abah meninggal pada 7 September, 2021 lalu, saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.


Allahyarham Zulzila yang juga seorang bekas wartawan meninggal dunia pada 29 April, 2020.


Skuad Prihatin Perkeso prihatin! Bantu keluarga arwah Zuzila - KitaReporters

Husna kini masih menuntut peringkat ijazaah sarjana muda dalam jurusan Kesenian Melayu di Universiti Malaya sementara Hakim yang baru menamatkan pengajian peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan elektrik sedang mencari pekerjaan sambil Harith pula menuntut dalam jurusan kimpalan di Sekolah Vokasional dan Hanani belajar dalam tingkatan empat.

Menceritakan perjalanan hidup mereka selepas hilang tempat bergantung, Husna menjelaskan dia berasa lega kerana sekurang-kurangnya mempunyai rumah tinggalan ibu bapanya untuk berteduh sambil bantuan daripada beberapa agensi, saudara mara dan komuniti setempat di Tasik Puteri, Rawang meringankan beban mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah, kami menerima saraan sebanyak RM800 sebulan daripada PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) sementara Pusat Zakat Selangor menyumbangkan bantuan barang kering dan saudara mara, jiran tetangga serta penduduk setempat kerap menjenguk sambil menghulurkan bantuan.

“Saya juga sedang berurusan dengan KWSP untuk mengeluarkan wang caruman mama bagi menampung kehidupan serta pembelajaran kami. Adik-adik saya juga mendapat biasiswa sementara saya membuat pinjaman PTPTN (Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” ujar Husna.

Mengenai persiapan menyambut Aidilftri kali ini, Husna berkata, mereka melakukan persediaan ala kadar serta bercadang berhari raya di rumah bapa saudara mereka di Puchong, Selangor.


Husna dan adik-adiknya menerima sumbangan daripada Hussamuddin pada majlis di Kumpulan Media Karangkraf pada 27 April, 2022.


“Semasa mama dan abah ada, kami gilir-gilir balik beraya di kampung mama (Raub, Pahang) dan abah di Tangkak (Johor). Tahun 2020 dan 2021 kami terpaksa beraya sendiri-sendiri di rumah kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Namun, di mana pun kami menyambut raya, sudah tentu suasananya tidak sama semasa mama dan abah ada. Hari raya sekarang bagai sudah hilang seri tanpa mereka.

“Dulu, mamalah paling sibuk membuat persiapan sambil membahagi-bahagikan tugas kepada kami untuk membantunya. Dan hidangan raya mama yang paling kami rindui adalah pulut kuning rendang ayam, ia memang hidangan wajib setiap kali hari raya,” kata Husna yang ditemui pada majlis penyampaian sumbangan 'duit raya' oleh Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan ahli-ahli Kelab Alumni Karangkraf (KAK), yang diwakili Pengerusinya, Rodly Fadly, pada Rabu, 27 April, 2022.

Al-Fatihah. – KitaReporters


Penulis selaku Pengerusi Kelab Alumni Karangkraf (KAK), menyampaikan 'duit raya' sumbangan ahli-ahli KAK kepada Husna dan adik-adiknya. Turut bersama adalah timbalan pengerusi, Daud Ibrahim.

 

 

22
14
0
18
0
You will be interested