Graduan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Hamzan Mohd Saimi, 26, yang menghadiri Konvokesyen ke-33 UUM pada 16 Mac 2022 dengan membawa bersama gambar bapanya untuk menyaksikan konvokesyennya itu.
Bapanya Mohd Saimi meninggal dunia pada 16 Januari 2021 dan tidak sempat menyaksikan konvoksyen anak sulungnya itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan konvokesyen
Muhammad Hamzan yang ditemani ibunya Mazlina Che Ismail, 46, mendapat kejutan apabila Naib Canselor Prof Dr Haim Hilman Abdullah berjumpa dan memberi semangat kepadanya selepas melihat gambar Muhammad Hamzan dalam Facebook memakai jubah di kubur bapanya di Pondok Sipol To’ Uban Pasir Mas, Kelantan.
“Sikap terpuji terutama menghargai ibu bapa dan ingin melihat kehadiran mereka terutama semasa konvokesyen pastinya dinantikan oleh semua anak tetapi Allah lebih sayangi orang tua Hamzan dan bersabarlah,” kata Prof Dr Haim Hilman.
Beliau berharap Muhammad Hamzan dapat teruskan usaha agar membanggakan keluarga termasuk melanjutkan pengajian lebih tinggi lagi.
Sementara itu Muhammad Hamzan yang ditemui berkata, walaupun bapanya berhasrat untuk melihat anaknya di pentas konvokesyen namun akibat COVID-19 dia hanya mendapat ijazah melalui pos laju yang diterima melalui posmen.
“Papa gembira kerana akhirnya saya dapat menamatkan pengajian di universiti apabila melihat ijazah itu,” katanya lagi.
Namun selepas UUM memaklumkan Majlis Konvokesyen ke-33 akan diadakan pada 13 hingga 19 Mac 2022 maka terdetik di hatinya wajah bapanya itu dan terpaksa mencetak serta membawanya ke UUM.
Akhirnya berjaya menghadiri konvokesyen.
Sebaik sahaja menerima jubah melalui pos Muhammad Hamzan menyarung dan terus ke kubur untuk memaklumkan kepada bapanya: “Alhamdulillah abang dah konvo papa.. Terima kasih atas segalanya.. Semoga tenang di sana.”
“Kita hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya arwah bapa telah meninggal dan tidak sempat melihat konvokesyen yang saya hadiri pada hari ini namun ibu dan adik menemani saya,” ujarnya lagi.
Pada 25 Disember 2020 lalu, Muhammad Hamzan sempat berswafoto dengan posmen dan bergambar kenangan dengan arwah bapanya setelah menerima Ijazah yang diterima melalui pos. - KitaReporters