Kredit Gambar: FB Ti Lian Ker
Atlet berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang dan atlet wusyu wanita, Tan Cheong Min berjaya merangkul anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi Selasa, 22 Mac 2022.
Kejayaan yang dilakar oleh dua atlet ini pada peringkat dunia sudah pasti memberi kelebihan untuk mereka mengetepikan atle-atlet lain.
Dengan kemenangan ini, masing-masing menerima piala pusingan berserta wang tunai sebanyak RM20,000 sebagai hadiah untuk mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan anugerah sukan
Azizulhasni dipilih di atas pencapaian yang telah membanggakan nama Malaysia dengan pelbagai pencapaian pada peringkat dunia.
Antaran kejayaan beliau adalah pingat gangsa dalam acara keirin dan gangsa untuk sprint di kejohanan UCI Track Cycling Word Championship 2020 di Jerman, Emas acara sprint Asian Cycling Championships 2019 di Indonesia, Emas acara sprint serta Perak dalam acara Keirin di Asean Championships 2020 di Korea.
Emas acara keirin pada World Cup Cycling 2019 di New Zealand, Emas acara keirin China Track International GP Series 1 di Berlin, German, Emas keirin National Track Championships 2019 di Malaysia dan Emas acara keirin 2020 Auscycling Track Nasional Championships.
Manakala untuk Tan Cheong Min pula berjaya memenangi satu emas dan satu perak di Kejohanan Wushu Dunia kali ke-15 yang diadakan di China pada tahun 2019.
Apa yang lebih membanggakan untuk beliau adalah ini merupakan kemenangan pertama atlet Wushu dalam anugerah Olahragawati sejak ia diadakan pada tahun 1966.
Manakala bagi jaguh berbasikal negara, ini bukanlah kali pertama beliau memenangi anugerah tersebut tapi sudah memenangi sebanyak tiga kali sebelum ini.
Acara ASN yang diadakan saban tahun ini adalah untuk memberi penghargaan ke atas kejayaan atlet negara setelah mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan dunia yang disertai mereka.
Dalam majlis ASN malam tadi, ia telah dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir ke majlis tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - KitaReporters