SUSUK tubuh rendah sahaja dan sebaya pemain-pemain Jemputan Selangor tetapi mendiang Diego Maradona mempunyai kekuatan fizikal tambahan yang membolehkannya menggelecek lebih daripada dua lawan. Bakat, kekuatan dan kemahiran istimewa itu memberikan kelebihan kepada Argentina untuk bergelar juara Piala Dunia 1986 di Mexico, kata bekas perantara Selangor dan Malaysia era 70-an dan 80-an, Jamaluddin Norbit. : KitaReporters
DIEGO Maradona mencapai era kemuncaknya dengan menjulang Piala Dunia 1986 di Mexico bersama Argentina. - Kredit foto CNN.com
Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:
https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak
Diego Armando Maradona meninggal dunia di kediamannya di pinggir ibu kota Buenos Aires pada usia 60 tahun akibat serangan jantung pada Rabu, 25 November 2020 (waktu tempatan), dua minggu selepas menjalani pembedahan otak di sebuah hospital.
Jamaluddin, 67, pernah ‘bertempur’ dengan Maradona dalam perlawanan persahabatan Jemputan Selangor dan Boca Juniors, kelab legenda Argentina itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 12 Januari 1982.
“Ketika saya berdiri di sebelah, ketinggiannya separas telinga saya sahaja. Rendah (1.65 meter) dan agak gempal tetapi ibaratnya pemain-pemain kita, hanya boleh gelecek seorang atau dua lawan sedangkan kalau dia, boleh buat lebih daripada itu.
Kredit foto: Instagram Maradona
“Imbas semula Argentina kalahkan England dalam Piala Dunia di Mexico itu. Dalam perlawanan yang tengah panas terik pun, dia mampu menggelecek sehingga empat pemain lawan sebelum jaringkan gol kedua itu,” katanya.
Jamaluddin yang bergandingan dengan Reduan Abdullah di bahagian tengah Jemputan Selangor, turut membantu Merah Kuning menjuarai Piala Malaysia 1982 selepas menewaskan Terengganu 1-0, beberapa bulan selepas perlawanan bersejarah itu.
Video jaringan kemenangan Boca Juniors oleh Maradona terhadap Jemputan Selangor pada 1982.
JAMALUDDIN NORBIT
Boca Juniors pimpinan Maradona pula tampil di Stadium Merdeka dengan reputasi juara Liga Metropolitano 1981 juga kata Jamaluddin, tampak tergamam apabila Fandi Ahmad menjaringkan gol pendahuluan tuan rumah pada minit keempat.
Gol tersebut berpunca daripada sepakan sudut Jamaluddin yang ditanduk masuk penyerang undangan Singapura itu yang pernah mengecewakan Selangor 2-1 dalam final Piala Malaysia 1980 juga di Stadium Merdeka.
“Saya pernah dengar pengurusan Boca Juniors itu sampai sedia mengundang Selangor bermain persahabatan di negara mereka pula jika mereka seri atau kalah perlawanan itu. Mungkin takut malu sebab mereka kelab profesional sedangkan menentang sebuah pasukan amatur seperti Selangor,” katanya.
JAMALUDDIN Norbit (depan, dua dari kiri) dalam kesebelasan utama Jemputan Selangor menentang Boca Juniors pimpinan Diego Maradona (depan, tiga dari kanan). - Kredit foto chedinsphere.blogspot.com
Gol kejutan Jemputan Selangor bimbingan mendiang Datuk M Chandran seawal minit keempat itu disamakan oleh Carlos Cordoba pada minit ke-19 sebelum Maradona memastikan pelawat menang menerusi gol kedua, minit ke-60.
'El Pibe de Oro' (Budak Emas) Argentina ini menjaringkannya selepas mengatasi perangkap ofsaid sambil memperdayakan penjaga gol, mendiang Datuk R. Arumugam yang turut digelar 'Spider-Man' dengan tolakan kaki kirinya.
Jemputan Selangor diketuai penyerang terbilang negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari selain diperkuatkan pemain Thailand, Piyapong Pue-on, manakala bek tengah menampilkan Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun yang baru kembali ke Melaka selepas beberapa tahun menyarung jersi Merah Kuning.
MOKHTAR Dahari (kiri) bertukar cenderamata pasukan dengan Maradona pada persahabatan Jemputan Selangor-Boca Juniors, 12 Januari 1982 di Stadium Merdeka.
Maradona (tengah) bersalaman dengan K. Kanagarajah sambil diperhatikan oleh Wong Hung Nung (dua dari kiri) pada 1982. - Kredit foto: K. Kanagarajah
Pemain-pemain lain tuan rumah ialah Wong Hung Nung, Zainal Abidin Hassan, K. Gunasakaran dan Abdul Muin Rahim - penjaring gol tunggal perlawanan akhir Piala Malaysia tahun tersebut.
Dianggarkan 25,000 penonton menyaksikan perlawanan persahabatan itu termasuk mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Ahmad Shah.
PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino mengutuskan salam takziah atas pemergian Maradona dalam siaran media FIFA pada 26 November 2020.
Sementara itu, siaran media Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 26 November 2020, melaporkan ucapan penghormatan Presidennya, Gianni Infantino atas pemergian Maradona, yang juga digelar sebagai pemain 'Gol Tangan Ajaib' (The Hand of God):
“Hari ini sebuah hari sedih yang sukar dipercayai. Diego kita telah meninggalkan kita.
“Hati kita - semua kita yang menyayanginya atas bagaimana dirinya dan untuk apa yang diwakilinya - telah terhenti buat seketika. Tafakur, tangisan dan kesakitan kita merupakan satu-satunya perkara yang kita rasainya jauh di dalam kita ketika ini.
“Apa yang Diego lakukan untuk bola sepak, menjadikan kita semua jatuh cinta dengan permainan cantik ini, unik. Diego berhak atas penghargaan untuk itu, kerana mempesonakan kita dengan bakat hebat dan ya, kerana menjadi begitu unik - untuk memiliki Diego Armando Maradona, seorang legenda, seorang wira dan seorang lelaki.”
SELANGOR juara Piala Malaysia 1982, (depan, dari kiri) Lim Teong Kim, K. Kanagarajah, Mokhtar Dahari, Wong Hung Nung dan Jamaluddin Norbit, manakala (berdiri, dari kiri) Reduan Abdullah, R. Arumugam, Zainal Abidin Hassan, K. Gunasakaran, Abdul Muin Rahim dan Khan Hung Meng.