SEKIRANYA mangsa pertama dalam peperangan adalah kebenaran, seperti kata pepatah, yang kedua mungkin ialah apa yang sangat bernilai untuk seluruh dunia sekarang: penjagaan kesihatan yang berkualiti. : KitaReporters
Presiden, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Peter Maurer
Presiden, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Peter Maurer berkata, keluarga-keluarga yang melarikan diri dari konflik atau kini terperangkap di zon peperangan menyedari bahawa bantuan perubatan adalah sesuatu yang istimewa dan jarang terdapat di zon peperangan.
"Di tengah-tengah konflik keganasan yang penuh dengan bom dan peluru, fasiliti perubatan yang berfungsi dengan baik adalah seperti sebuah oasis yang menyelamatkan nyawa, tetapi apa yang pasti, kakitangan perubatan selalunya tertekan dengan bebanan kerja dan kekurangan bekalan.
"Maka, kekurangan rawatan perubatan menjadikan penyebaran COVID-19 di zon peperangan sesuatu yang amat menggerunkan.
"COVID-19 akan menjadi ancaman dramatik kepada mereka di zon konflik yang sering dilihat sebagai orang yang tidak bernama, yang tidak mempunyai wajah.
"Tetapi organisasi saya (ICRC) membantu dan dapat mengenali mereka serta keluarga mereka yang mana kini berhadapan dengan ribut ganas," kata Maurer dalam satu kenyataan dari Geneva, Switzerland baru-baru ini.
Katanya, sebagai presiden ICRC, beliau mengetahui situasi sebenar yang dihadapi oleh mangsa peperangan.
"Kami memberi makanan kepada mereka yang mengalami malnutrisi yang serius. Kami dengar rintihan mereka yang pernah mengalami serangan seksual.
"Kami memulihkan pertalian hubungan antara keluarga yang terpisah, dan kami bantu menyembuhkan luka perang yang menakutkan," tambah beliau.
Pendek kata, katanya lagi, ICRC selalu melihat dunia dalam keadaan yang paling teruk, itulah sebabnya beliau mahu pemimpin dunia dan kerajaan mendengar dengan teliti:
"Saya takut!!"
"Saya takut kerana COVID-19 sedang memberi bebanan kepada kapasiti perubatan di negara-negara Barat yang maju dalam infrastruktur perubatan.
"Saya takut COVID akan tersebar di mana-mana penjara yang mengalami masalah kekurangan sumber. Kapasiti kesihatan dan perubatan yang rendah di penjara-penjara akan menyebabkan penyakit ini merebak.
"Saya takut COVID akan tersebar di kem pelarian yang sempit dan tempat perlindungan sementara yang tidak menentu, di mana penjarakan sosial tidak mungkin dilaksanakan dan sumber perubatan yang tidak mencukupi.
"Kanak-kanak, ibu bapa, dan terutama datuk nenek di sana akan mendapati mereka telah ditinggalkan dan terpaksa melawan COVID-19 bersendirian.
"Dan itulah sebabnya saya menggesa kerajaan dan kumpulan kemanusiaan seperti ICRC untuk melakukan sebanyak mungkin untuk membantu golongan rentan," tegas beliau.
Dalam kajian 2016, Rand Corporation mendapati bahawa Afghanistan, Haiti, Yemen dan 22 negara di Afrika merupakan 25 negara paling terdedah kepada wabak penyakit berjangkit.
Majoriti daripada 10 negara paling rentan adalah dalam zon konflik.
Maurer berkata, ICRC sedang melaksanakan reorientasi besaran dalam aktiviti bantuannya bagi menyesuaikan kerja yang sedia ada kepada realiti virus hari ini.
"Di fasiliti perubatan yang dibantu oleh ICRC seperti di Syria, Somalia dan Iraq, kami meningkatkan stok bekalan penting dan menguatkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan.
"Di tempat penahanan di lebih daripada 50 buah negara, ICRC bekerja sama dengan pihak berkuasa untuk menguatkan pemeriksaan perubatan dan langkah-langkah pencegahan untuk ketibaan baharu, pelawat, pengawal dan kakitangan penghantaran.
"Kami juga menyokong langkah pembasmian kuman dan pengagihan bahan-bahan kebersihan.
"Kami tahu langkah-langkah sedemikian telah menghalang penyebaran kolera dan Ebola ke tempat penahanan di Guinea, Liberia dan Republik Demokratik Congo.
"Kita mesti melakukan langkah yang sama dengan COVID-19," jelas beliau.
Presiden ICRC itu menegaskan bahawa ICRC takut serangan COVID ke atas golongan paling rentan di dunia akan menjadi lebih teruk.
"Masa sudah singkat, tetapi kita perlu bekerjasama sekarang untuk mengurangkan apa sahaja penderitaan yang mungkin akan menimpa.
"Kerajaan, pihak yang terlibat dalam konflik dan pihak berkuasa mesti mengubah tingkah laku mereka.
"Virus tidak dihalang oleh sempadan; kesan daripada kekurangan respons dan sumber untuk tahanan dan pelarian bakal menghantui seluruh dunia," tegas beliau pada akhir kenyataan tersebut. - KitaReporters