Insan & Komuniti 14 Sep, 2020

Man Sengau pernah ada 5 isteri! Kini tumpuannya kepada anak!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this

PERNAH dengar tak kisah yang sering dikaitkan dengan kelasi kapal yang mereka ini dikatakan ada isteri di setiap pelabuhan. Sahih!... Memang cerita itu berpadanan dengan Abdul Razali Abdul Razak, 59, yang mengaku pernah mempunyai 5 orang isteri, dua daripadanya orang Thailand. : Kitareporters

Abdul Razali Abdul Razak @ Abg Man Sengau dapat rasa beristeri 5.


Lagi cerita-cerita berkaitan isteri:

https://kitareporters.com/tag/isteri


Macam mana hebatnya dia memikat wanita, Abdul Razali yang digelar Abang Man, anak kelahiran Rantau Panjang mengaku, dia bukanlah sekacak Brad Pitt mahupun kelakar macam juara raja lawak Zizan tu. Malah dia sendiri pun hairan wanita boleh terpikat kerana dia bukan saja seorang yang sangat pemalu malah suaranya juga sengau!!

Hebat!! Sengau pun dapayt pikat wanita!

Bertemu lelaki ini yang kini kembali membujang selepas isteri terakhirnya dari Sarawak memohon bercerai untuk balik ke kampung bersama seorang anak angkatnya, Abang Man menyifatkan kehidupannya satu kembara penuh berliku, tragedi dan lucu. 

Ini kerana dengan hanya bekerja sebagai tukang masak atas kapal, dia mampu menikmati hidup sebagai perantau, melancong secara percuma dan berumah tangga dengan lima orang isteri, melalui proses kahwin cerai.  

Dua isterinya orang Thailand, isteri pertama demi cinta dan kedua sebagai suami `upahan` membantu kawannya yang enggan berkahwin dengan wanita Thai yang dihamilnya, Dua lagi isterinya orang Kelantan dan yang kelima adalah dari Sarawak

Razali juga pernah terperangkap dalam nikah kontrak di Batam, sewaktu dibawa ke pulau itu untuk berhibur, sekali gus kena `rompak` wang dengan alasan ketika sedang berkaraoke, mereka meminta menyimpan beg yang berisi wang yang kemudian lesap.

Kisah isteri pertamanya adalah warga negara Thailand. Anoi @ Norasiah diberi nama. Ketika itu Abang Man baru habis belajar dan bertemu dengan isterinya ketika bercuti di pusat peranginan di negara gajah putih itu. 

Mereka memutuskan berkahwin senyap-senyap dan belum pun habis saat manis berbulan madu tidak lama kemudian, Razali dijodohkan pula dengan sepupunya

Dengan sepupunya, mereka melangsungkan perkahwinan secara besar-besaran.

"Ketika ini isteri pertama abang minta izin untuk hadir di majlis kahwin dengan sepupu sebab mahu `bertemu` mak mentua. Bayangkan dia melihat saya bersanding, bersalam dengan ibu bapa saya sambil menangis," ceritanya yang kemudian mendapat anak sulong dengan isteri warga Thailand itu.

Ketika itu Razali sudah mendapat kerja tukang masak di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan dalam berulang alik itulah rahsianya berpoligami itu pecah berderai dan kedua-dua isterinya saling bergaduhan, di samping ibu bapa serta mentuanya menuduhnya sebagai penipu. 

Akhirnya dia menceraikan dua-dua isterinya

Dan bermulalah `pelayaran hidupnya` dengan mengambil keputusan bekerja di atas kapal pelancongan dan kapal tangki. Dia mendapat kerja di kapal persiaran dengan bantuan pelanggan yang ditolongnya ketika menginap di hotel tempat kerjanya.

Dari kampung menuju ke Kuala Lumpur dan membawa diri sebagai duda dengan bekerja di kapal persiaran mewah dan tangki yang singgah di kota mewah di Jepun, Australia, China, Filipina, Thailand dan Singapura.

Dalam hati ada taman, begitu kata kawan kampungnya.


Walaupun dia meninggalkan dua isterinya sebagai janda, Razali tetap berkawan baik dengan mereka. 

Jandanya Anoi kemudian diminati rakan sekampungnya. Rakannya terterus terang mahu memperisterikan wanita itu dan Razali bersetuju dengan syarat, dia mesti menjaga anak perempuannya.

Bekas isterinya kemudian diberi bimbingan agama sepenuhnya oleh suami baharu dan anaknya turut dijaga oleh mentua baharu isterinya. Malangnya pada usia 18 tahun sebaik selesaikan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, anak gadisnya meninggal dunia ketika melakukan umrah bersama keluarganya.

Anak sulungnya itu disahkan menghidap penyakit luekemia dan sehari selepas dia meninggal di Mekah, datuk yang menjaga anak gadis itu dari kecil menghembuskan nafas terakhirnya selang sehari. Pusara mereka kini kekal di Tanah Suci.

Isteri keduanya orang tempatan itu pun `dinikahkan` oleh Razali dengan kawan baiknya, selepas dia mendapat tahu teman baiknya `bergewe` (bercinta) dengan jandanya. Dia terus menasihatkan mereka supaya berkahwin segera.

Selesai menguruskan masalah rumah tangga itu, ujian mula menyapanya.

Pertama kematian anak sulung sudah cukup mencabar ketabahan dirinya dan saat duka itu sekali lagi menimpanya apabila anak lelakinya pula, nyaris mati akibat lehernya dikelar oleh perompak yang menceroboh rumah ayahnya di kampung.  Anak lelakinya yang baru berusia beberapa tahun dikerat lehernya oleh perompak berkenaan yang tidak menyangka anaknya ada di rumah ketika kejadian.

"Ketika itu saya sedang bekerja di atas kapal. Hati ketika itu sudah berdebar-debar masa itu saya sedang mengail. Saya macam `diberitahu` peristiwa ini akan berlaku bila mencandat seekor sotong. Masa nak angkat, rasa beratnya sotong ni walhal saiznya tak delah besar mana pon. Tiba -tiba sotong itu terjatuh atas dek dan dilanggar forklift, terbelah lehernya.

"Tulah tak lama kemudian saya dapat berita anak saya dikelar leher oleh perompak yang menceroboh rumah saya di Rantau Panjang. Masa itu hari Jumaat, anak tinggal dengan datuk dan dia sepatutnya ikut datuknya ke masjid. Sebab asyik leka bermain air. Pencuri itu terkejut bila melihat anak saya dan memaksanya menunjukkan peti simpanan.

"Rumah kami agak besar di kampung berkenaan. Anak saya pula cabut koleksi pisau yang saya beli di Singapura dan dilekatkan di dinding buat pameran. Leher dia dikelar dan hayatnya hanya 50 peratus. Syukurlah dia selamat," kata Abang Man.

Peristiwa itu antara pendorong Razali berhenti kerja dan menamatkan penghijrahannya.

Memori manis dikenang... Sekarang masa bersama cucu dan anak-anak menjadi keutamaanya.


Sementara itu, pengalamanya menjadi duda adakala melucukan. 

Ia berlaku ketika mula bekerja di kapal dan baru bercerai, dia dilanda kerinduan dan sebaik kapalnya singgah di Singapura dia `terkahwin` sekejap dengan seorang wanita sewaktu mengikuti rombongan jurutera, pengurusan kapal dan kelasi untuk `makan angin` di Pulau Batam. Di sini dia menikah kontrak selepas diperangkap oleh ejen pusat hiburan di sebuah kampung di pulau berkenaan.

"Kami atas kapal ini dilanda sindrom kesunyian. Bila tiba di pelabuhan dan ada pula orang yang memang menunggu pelayar untuk mencari hiburan, membawa kami ke satu kampung yang memang disediakan wanita penghibur. 

"Kami tak begitu baik kerana habis semua wang kami kena kebas. Nasib baiklah kami kenal salah seorang kawan yang meminta bantuan penduduk untuk hantar kami balik ke pelabuhan. Saya pun tak kenal rupa dia dan perangai dia," kata Razali sambil menahan gelak ketawa mengingatkan saat `bodoh` dia diajak berhibur dengan kawan-kawannya.

Dia juga mengaku pernah membantu seorang kawannya menjadi suami `upahan` kepada teman wanita lelaki itu berbangsa Thai yang hamil hasil hubungan sulit mereka dan memperolehi seorang anak. Malangnya anak itu dibawa oleh bekas isterinya dan sehingga kini dia tidak pernah mendengar khabar berita zuriat wanita berkenaan.

Isteri keempatnya adalah kakitangan di butik andamannya sendiri. Ini berlaku ketika bekerja di kapal berkenaan, Razali yang dari zaman remajanya berminat dalam bidang andaman kemudian membuka butik pengantin di Johor Bahru yang dikawal selia oleh sedaranya dan dibantu oleh kakitangan wanita yang sudah pun bertunang.

Kerana kerap dibantu oleh wanita itu ketika mengambil kontrak menyediakan pakaian pengantin yang adakalanya bernilai RM4,000 untuk satu majlis nikah kahwin itu, tersebar kisah dia dikatakan berdua-duaan dengan tunangan orang menyebabkan bakal suami wanita itu cemburu. 

Akhirnya Razali melamar wanita itu dan mereka kemudian mempunyai tiga anak.

"Masa tu memang perniagaan butik pengantin di Johor Bahru sangat laris. Malah ada ketika cuti sekolah kami memperolehi pendapatan RM40,000 hingga RM50,000 sebulan dan ketika ini juga saya yang sibuk bekerja di kapal dan tumpuan kepada isterinya tidak sepenuhnya." akhirnya mereka bercerai lagi. Kini isterinya itu masih ada dan sihat lagi.

Pada 2010, Razali kemudian berhenti operasi butiknya di Johor Bahru dan kembali meneruskan perniagaannya di kampung halamannya di Rantau Panjang sehingga berlaku banjir yang merosakkan sebahagian besar koleksi pakaian pengantinnya. 

Bila usianya semakin ke penghujung hidup dan tiada anak-anak yang berminat di bidang andaman itu, Razali sedang mencari pembeli untuk menjual peralatan pengantin berkenaan.

Serentak usia pencennya dan dengan isteri kelima yang berasal dari Sarawak, mereka kemudian mengambil seorang anak angkat. Bila bertahun berlalu, bekas isterinya meminta talak kerana mahu pulang dan menetap di kampungnya untuk menjaga orang tuanya yang sakit. 

Dengan jujuran air mata dan sedih, Razali mengizinkan isterinya pulang ke kampung berbekalkan kali terakhir lafaz cerai.

Dengar khabar salah seorang bekas isteri Razali sudah kehilangan suami. Ada cadangan rujuk kembali? Dia sekadar menggeleng kepala. 

"Saya sudah jadi pelupa. Telefon pun asyik hilang manjang. Biarlah dulu, saya bantu anak-anak termasuk seorang itu baru pindah balik ke kampung selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini," katanya dengan senyuman penuh makna.

Sekarang Razali bersama anak lelakinya mengusahakan kedai cuci kereta di pekan Rantau Panjang dan jika ada yang mengenali lelaki ini, sambil tunggu kereta anda dicuci, cubalah faham cara cakapnya yang sengau itu.  

Jika kena `angin`dengan selamba dia mungkin akan menceritakan kisah `pelayaran hidupnya` sebagai tukang masak di atas kapal persiaran mewah dan kapal tangki minyak.

Jangan lupa minta dia ceritakan kisah dia beristeri lima. - Kitareporters

0
0
0
0
0
You will be interested