Demi cinta.. Mereka sanggup redah rintangan untuk bersama dalam rumah tangga.
RAMAI pasangan Bollywood tidak seberani Dhramendra -Hema Malini ketika memilih untuk berkahwin. Ada isteri mereka masih dengan agama asalnya dan ada juga yang memilih kahwin campur agama, Islam-Hindu seperti Shah Rukh Khan-Gauri dan Saif Ali-Kareena Kapoor.
Tapi Dharmendra yang mendapat gelaran ‘He-Man’ sungguh nekad memilih untuk menikahi kekasihnya ‘Dream Girlnya’ @ Hema Malini yang memeluk Islam.
Genap 21 Ogos 2023 (21.8.1980) sudah 43 tahun mereka mendirikan rumah tangga pada kala masyarakat memuja kejayaan di dunia filem Bollywood dan serentak mereka juga berpeluang menemui cinta baharu.
Hema mendapat gelaran Dream-girl sempena tajuk filemnya. Demi cinta yang sedang membara di jiwa, masing-masing berkorban untuk menyatukan ikatan cinta ketika Hema mencipta nama dan dibayar gaji yang tinggi di kemuncak kerjayanya. Malah Hema juga tidak malu untuk menjadi isteri muda (kedua).
Walaupun tidak direstui oleh ayah dan ibunya, Lakshmi dan VSR Chakravarti Iyengar yang asal dari keluarga mulia - Iyengar Brahmin Tamil, Hema tetap memilih untuk berada di samping kekasihnya. Manakala Dhramendra pula, tidak mahu meninggalkan isteri pertamanya, Prakash Kaur dan empat anaknya masih kecil.
Wikipedia memetik kisah cinta itu terjadi apabila mereka terjerat dalam ikatan cinta yang hangat ketika bermain asmara dalam filem ‘Tum Haseen Main Jawan’ yang terus berlarutan di luar lokasi.
Tidak ada siapa yang mahu berundur. Dhramendra tidak boleh meninggalkan isterinya dan dia juga tidak mahu melepaskan cinta Hema yang sebelum itu sudah menolak lamaran Sanjeey Kapoor dan Jeetendra.
Hema yang terkenal dengan filem Seeta Aur Geeta pada 1972 itu boleh saja memilih aktor bujang. Maka jalan terakhir mereka ambil ialah memeluk Islam dan berpoligami.
Hema memilih nama Aisha Bi R. Chakravarty dan Dhramendra menjadi Dilawar Khan Kewal Krishn. Mereka melangsungkan majlis pernikahan mengikut adat istiadat Islam.
Nampaknya usaha mereka tidak sia-sia kerana sehingga kini rumah tangga sudah sampai mendapat cucu.
Isu mengenai pendirian Hema menukar agama itu kembali hangat apabila dilihat turut menghadiri perkahwinan cucu daripada isteri pertama suaminya, Karan Deol-Drisha Acharya anak sulung Sunny Deol pada 20 Jun 2023.
Hema, 74, (gambar) bukan saja terkenal sebagai aktres India, pengarah, producer tetapi juga Ahli Parlimen Lok Sabha di Mathura mewakili Parti Bharatiya Janata Party (BJP) sejak 2014.
Menariknya, walaupun "dimadukan", isteri pertama Dharmendra, Prakash Kaur tetap menjaga aib suaminya dan sering "marah" apabila ditanya tentang Hema sambil berkata, kenapa dia yang asyik disoal pasal wanita itu walhal semua hero Bolflywood ada skandal.
Ketika ditemu bual dengan majalah Stardust setahun selepas pasangan itu berkahwin, pada 1981, Prakash turut marah sambil berkata,"Jangan berani menggelarkan suami saya kaki perempuan. Semua hero ada skandal dan kahwin kali kedua. Dia mungkin bukan suami terbaik tetapi melayan saya dengan baik sekali.
"Malah anak-anak dia sangat sayangkannya. Dia tidak pernah mengabaikan anak-anak," kata Prakash.
Prakash berkahwin dengan Dharmendra pada 1954 dan suaminya bertemu serta menikahi Hema pada 1980. Hema mendapat dua anak, Esha Deol yang turut menempa nama di Bollywood dan Ahana Deol.
Kes poligami Dharmendra menjadi isu apabila mereka berdua menghadiri majlis anak sulung Sunny Deol dan Dharmendra dikatakan mengambil foto mereka anak beranak dengan Prakash secara berasingan.
Dia dengan Hema merakam kenangan itu bersama-sama bintang Bollywood yang lain.
Hema mendapat pendidikan di Andhra Mahila Sabha di Chennai dalam bidang sejarah. Tetapi dia sebenarnya minat dalam tarian tradisional dan turut mendidik anaknya sebagai penari. - KitaReporters