Insan & Komuniti 01 Jan, 2025

Madani berdayakan wanita! Pusat Wanita Berdaya Semenyih terus gigih! Tingkat taraf ekonomi keluarga!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Antara kraf tangan yang dihasilkan dalam kelas yang dianjurkan PWB di kawasan komuniti.


MENYAHUT usaha Kerajaan Madani untuk memperkasa rakyat, Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN N24 Semenyih, Selangor akan terus aktif mengadakan pelbagai aktiviti bersama-sama komuniti di kawasan DUN berkenaan terutama bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga melalui wanita pada 2025.

Ia juga selaras objektif strategik PWB yang berperanan sebagai medan bagi memberdayakan serta menggalakkan wanita untuk bergiat aktif selain melaksanakan aktiviti yang boleh menjana pendapatan komuniti terbabit dengan memberi ilmu bermanfaat seperti kelas jahitan, masakan, kraf tangan dan sebagainya.

Penyelia PWB DUN N24 Semenyih, Normala Abd Malik, berkata usaha itu akan dipraktikkan dengan sebaik mungkin supaya objektif PWB untuk memantapkan aspek kepimpinan wanita disamping menggalakkan pembabitan dalam sosioekonomi dan politik tercapai.


Normala Abd Malik (kiri) bersama-sama ahli jawatankuasa PWB menghadiri 'team building' dalam usaha meningkatkan lagi kepemimpinan.


Menurutnya, langkah itu juga diharapkan dapat membina jati diri wanita yang dinamik, memupuk sifat kerjasama untuk kerja berpasukan supaya setiap usaha atau aktiviti yang diceburi berjaya memberi manfaat diri dan keluarga supaya hidup lebih sempurna.

Tambahnya, selepas dilantik untuk mengemudi PWB dia bersama ahli jawatankuasa berjaya melaksanakan aktiviti seperti kelas kraf tangan, jahitan dan masakan di 14 lokasi dalam kawasan DUN itu di samping mengadakan ‘team building’ serta melawat industri kecil dan sederhana (IKS) sekitar Selangor bermula Julai sehingga November 2024.

Jelasnya, kelas yang diadakan itu akan diseliakan antara dua dan empat ahli jawatankuasa PWB bagi membantu melancarkan aktiviti berkenaan yang membabitkan kaum wanita sekitar DUN Semenyih tanpa mengira fahaman politik selain ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setiap kali kelas atau aktiviti membabitkan komuniti diadakan akan mendapat sambutan memberangsangkan antara 30 dan 40 peserta bagi satu tempat khusus dalam kalangan kaum wanita untuk menimba ilmu serta pengetahuan secara percuma yang membuka peluang menjana pendapatan.

“Keberkesanan setiap aktiviti atau kelas diadakan itu menyebabkan ramai kaum wanita terbabit meminta ia diadakan lagi atau memperbanyak kelas yang boleh menjana pendapatan termasuk dalam kalangan generasi muda di komuniti terbabit,” ujarnya.


Belajar membuat masakan seperti kuih-muih pelbagai bangsa turut dipraktikkan dalam aktiviti anjuran PWB DUN N24 Semenyih.


Normala berkata, paling penting usaha yang dilaksanakan oleh PWB itu bukan sesuatu yang sia-sia malah sudah diatur dengan begitu baik selain mendapat sokongan daripada Penyelaras DUN Semenyih, Datuk Wira Johan Abd Aziz di samping memberi keyakinan bahawa Kerajaan Madani akan mengadakan lebih banyak program sebegini untuk membimbing kaum wanita.

Menurutnya, untuk tahun 2025 dia bersama-sama ahli jawatankuasa akan mempertingkat lagi usaha mengadakan lebih banyak kelas bagi membimbing kaum wanita sebagaimana memenuhi saranan mereka di samping akan turun padang memantau program dilaksanakan itu setiap masa selain berkongsi maklumat terkini mengenai Kerajaan Madani.

“Saya berharap lebih ramai lagi kaum wanita terutama yang baru mengetahui mengenai peranan PWB untuk turun ke lokasi bagi mengambil bahagian dalam kelas menjana pendapatan diadakan kerana ia akan banyak membantu menjana pendapatan keluarga di samping mengisi terluang dengan aktiviti bermanfaat,” jelas beliau lagi.


Kaum wanita turut didedahkan dengan masakan yang boleh menjana pendapatan keluarga.


Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Taman Sri Tanjung, Semenyih, Aizam Ambak, berkata aktiviti yang dianjurkan oleh PWB DUN N24 Semenyih itu memang bermanfaat dan memberi banyak faedah kepada komuniti terutama mereka dalam kalangan B40 untuk menjana pendapatan.

Jelasnya, seperti kelas jahitan atau kraf tangan kalau mengikuti program yang dianjurkan pihak tertentu mungkin tidak mampu apabila dikenakan yuran, tetapi di bawah kelolaan PWB Kerajaan Madani diadakan secara percuma setiap minggu sehingga seseorang itu mahir melakukan sendiri.

Tambahnya, melalui sesuatu aktiviti itu juga hubungan komuniti dengan semangat perpaduan berjaya dipupuk apabila disertai kaum wanita pelbagai bangsa malah menyeronokkan seperti dalam kelas masakan mereka akan belajar memasak makanan atau kuih muih orang Melayu, Cina dan India.

“Aktiviti PWB ini juga membuka peluang kepada NGO, agensi kerajaan atau swasta mengadakan program bersama seperti berkaitan meningkatkan taraf kesihatan, menabung, menceburi bidang perniagaan yang boleh menjana pendapatan dan sebagainya,” katanya. - KitaReporters


Normala (lima dari kanan) bersama-sama ahli jawatankuasa PWB mengadakan lawatan ke IKS di Morib, Selangor.

17
11
0
8
0
You will be interested