Bidan adalah salah satu petugas kesihatan yang amat penting. Selain doktor, bidan adalah individu yang terlibat secara langsung dalam proses kelahiran ibu serta merawat si ibu dan bayi.
Namun cabaran dihadapi apabila petugas kesihatan seperti doktor, bidan dan jururawat apabila ditugaskan di kawasan pedalaman.
Bidan di kawasan pedalaman menjalankan tugas secara sederhana untuk memudahkan ibu-ibu untuk bersalin tanpa perlu dibawa ke hospital.
Tetapi apabila bidan yang akan bersalin, heboh sekampung kerana tiada sesiapa yang mampu menjadi bidan untuk si bidan yang hendak bersalin.
Inilah peristiwa tragis yang terjadi kepada seorang bidan desa bernama Safrani, 34, yang sudah 12 tahun bertugas di klinik desa di Kecamatan Tutar, Kabupaten Polewali Mandar, Sulawesi Barat.
Safrani yang sedang sarat mengandung anak pertamanya masih menjalankan tugas menjaga kesihatan beberapa ibu yang baru bersalin dan bayi mereka.
Namun pada Isnin, 9 September 2024 Safrani terasa hendak bersalin. Lalu suami Safrani meminta bantuan ketua klinik desa dan sebuah kereta pikap disediakan.
Namun kereta itu hanya dapat bergerak beberapa kilometer. Ini kerana jalan kampung yang teruk keadaannya dengan banyak yang berlubang dan berlumpur sehingga menyukarkan kenderaan beroda untuk bergerak.
Selain sakit hendak melahirkan, Safrani juga mengalami sakit hipokalemia.
Hipokalemia adalah kondisi ketika tubuh kekurangan kalsium atau potasium. Ia boleh membuat sesiapa yang mengalaminya terkena cirit-birit atau muntah-muntah.
Beberapa penduduk kampung berpakat untuk membuat tandu yang dibuat daripada kain sarung empat lapis dan batang buluh.
Puluhan penduduk kampung bergotong-royong membawa tandu itu ke jalan raya. Beberapa kaum wanita ikut serta. Jarak perjalanan kira-kira 23 kilometer.
Namun kerana keadaan jalan kampung yang teruk menyebabkan perjalanan bertandu itu mengambil masa kira-kira 10 jam untuk sampai ke jalan raya.
Di tepi jalan raya sudah menunggu sebuah ambulans Kementerian Kesihatan dan Safrani terus dibawa ke sebuah hospital daerah di Kota.
Mujur Safrani dapat diselamatkan, begitu juga kandungannya.
Pergerakan Safrani ditandu penduduk kampung dirakam salah seorang penduduk dan ia tular. Selain di kedia sosial, ia turut mendapat liputan di media massa dan media elektronik.