Insan & Komuniti 16 Nov, 2024

Sembang-Sembang| Penampilan bukan setakat cantik! Adab pun kena jaga! Cantik di dalam, cantik di luar!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Wanita itu makhluk istimewa disayangi Allah. Diangkat martabat, dikurnia fitrah dan akhlak murni, diberi kekuatan, dicipta dari tulang rusuk sebelah kiri lelaki. 

Punya satu akal, sembilan nafsu tapi hanya sekeping hati yang ada pelbagai rasa untuk dicerita dalam memikul amanah tanggungjawab serta aturan Allah SWT. 

Tabik hormat untuk seorang wanita atau perempuan.

“Wanita bukanlah pakaian yang bisa kamu pakai dan kamu lepas semahumu. Mereka terhormat dan memiliki haknya,” tegas Umar bin Khattab. 

Catatan ini sekadar pandangan dan ilham rasa untuk dikongsi semata-mata. Moga manfaat dan dijadikan iktibar untuk yang membaca. 

Mengingatkan diri sendiri juga, saya berharap kita sama-sama istiqomah dan membaiki kekurangan diri. 

Cara pergaulan, penampilan dan gaya hidup banyak mempengaruhi kehidupan manusia masa kini terutama wanita. 

Kehadiran teknologi, gajet dan media sosial yang melampau turut menjadi punca berlakunya masalah sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat termasuklah kaum wanita. 

Semua wanita akan melakukan apa saja untuk menjaga penampilan supaya selalu menarik dan tampak cantik.

Walau penampilan dalaman dikatakan lebih penting daripada penampilan luaran, realitinya penampilan luar lebih berpengaruh dalam diri manusia. 

Wanita yang bijak dapat merawat diri sendiri secara sempurna. Menjaga cara berpakaian agar sentiasa sedap mata memandang. Dan tahu menyesuaikan diri dengan keadaan masa dan tempat. 



Pakaian membantu melonjak kepercayaan diri serta membuatkan orang yang mendekati kita selesa.

Tapi kadangkala kita tidak tahu bawa diri dalam penampilan. 

Hajat hendak bergaya tapi di hadapan orang terkial-kial membetul pakaian yang sendat dan terdedah. Kerana banyak mata memandang diri rasa tak selesa dan rimas. Sebab itu 

tercuit sana tertarik sini. 

Pakailah baju yang sesuai dengan fizikal kita. Yang selesa dan tidak cacat di mata orang. Jangan ikut orang, kalau ditegur, malunya kita. Orang hanya tertawa dan tersenyum menyindir. 

Senyum juga termasuk dalam penampilan. Malah akan menampakkan seseorang wanita itu lebih kelihatan menarik secara keseluruhan. Akan tetapi biarlah senyum yang ikhlas bukan paksaan. 

Berbudi bahasa dengan orang juga antara penampilan.  Wanita yang elok pekertinya dan ramah akan disukai orang dan tampak cantik di hati orang yang mendekati. 

Penampilan ibarat apa yang kita pakai. Ia cerminan diri kita sebenarnya. 

Penampilan seorang wanita akan terlihat bersopan dan menarik apabila kita belajar mencintai diri sendiri. 

Jangan risau gemuk atau kurus kerana perkara remeh seperti inilah yang akan membuat keyakinan diri menurun dan penampilan menjadi kurang diberi perhatian.

Oleh itu, jadikan penampilan diri sebagai perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Cantik di luar, cantik juga di dalam. 

Orang akan senang melihat kita yang selalu berpenampilan bersih, rapi dan terurus serta beradab dalam kehidupan seharian. 

Tidak perlu untuk mengenakan pakaian yang mahal dan berjenama untuk tampil menarik. Hanya cukup dengan memilih pakaian yang sesuai dengan diri dan suasana di mana kita berada. 



Jangan lupa, penampilan yang terbaik adalah ketika wanita itu menjaga maruah dan aibnya serta yakin dengan fitrah Allah terhadap kaum Hawa. 

Jadilah wanita Muslimah yang bijak dan berakhlak supaya ia dapat membantu kita menjadi peribadi yang mulia. 

Memetik kata-kata Fatimah binti Muhammad, "Perhiasan terbaik seorang wanita adalah rasa malunya." 

Hadam dan hargai erti cantik dan penampilan. Sematkan juga di hati, cantik di mata manusia tidak sama dengan cantik di sisi Allah. - KitaReporters

12
9
0
13
0
You will be interested