Insan & Komuniti 20 Dec, 2024

Skuad Ihsan Madani UPSI prihatin! Sukarelawan ResQ Team salur bantuan makanan kepada mangsa banjir!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


MANGSA banjir di Perak terus mendapat  perhatian daripada ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menerusi misi kemanusiaan yang menyalurkan bantuan berupa kotak makanan kepada mereka yang terjejas di beberapa kawasan di negeri ini pada 13 Disember 2024.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata inisiatif sukarelawan Skuad Ihsan Madani itu adalah sebahagian daripada komitmen universiti untuk mendukung masyarakat, khususnya dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan ketika menghadapi cabaran.

“ResQ Team UPSI berasa terpanggil untuk turun padang membantu mangsa banjir yang kehilangan banyak harta benda, sumbangan ini mencerminkan keprihatinan kami terhadap penderitaan yang dialami mereka,” ujarnya. 


Wakil daripada ResQ Team UPSI (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang, Bota.


Beliau turut menekankan bahawa UPSI sentiasa menggalakkan pelajar dan kakitangan universiti untuk terbabit secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, terutama ketika menghadapi situasi bencana alam seperti banjir.

Jelasnya, UPSI percaya bahawa dengan menyemaikan nilai kemanusiaan dan kepedulian sosial, universiti dapat memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Sementera itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin, turut menegaskan bahawa ResQ Team UPSI akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong masyarakat yang terjejas akibat bencana.

“Sebagai organisasi yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan, kami komited untuk memastikan bantuan dan sokongan diberikan kepada mereka yang memerlukan sepanjang tempoh sukar ini,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa UPSI merancang untuk meluaskan lagi skop bantuan termasuk sokongan psikososial dan khidmat kaunseling kepada mangsa banjir bagi membantu mereka pulih secara emosi dan mental. 

“Keprihatinan ini bukan hanya terhenti setakat bantuan fizikal, kami mahu memastikan mangsa ini dapat bangkit semula dengan semangat yang lebih kuat selepas melalui ujian berat.

“Usaha berterusan ini jelas menunjukkan kesungguhan UPSI dalam membantu mangsa banjir serta mengekalkan semangat perpaduan dan solidariti antara universiti dan masyarakat,” tambah beliau.


Wakil daripada ResQ Team UPSI (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang, Kinta. 


Timbalan Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Muhammad Aqil Aryan Wong, berkata, 50 kotak makanan diserahkan kepada mangsa banjir di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang, Bota dan Dewan Serbaguna Tanjung Tualang, Kinta.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan itu membabitkan pelbagai barangan makanan dan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan sebagainya yang diharapkan dapat membantu meringankan beban mangsa sepanjang tempoh pemulihan pascabanjir

Katanya, UPSI sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bantuan disampaikan dengan efisien serta tepat kepada mereka yang memerlukan.

“Ini bukan sekadar misi menghantar bantuan, tetapi juga satu usaha untuk menunjukkan solidariti dan sokongan moral kepada mangsa banjir, kami berharap kehadiran ResQ Team UPSI dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan,” ujarnya. - KitaReporters


ResQ Team UPSI yang terbabit dalam misi bantuan banjir ke pantai timur baru-baru ini.

14
7
0
13
0
You will be interested