Insan & Komuniti 09 Nov, 2024

Bila ABAH Bersuara| Helo Bos JPJ! Jangan hanya fokus motosikal! Laksana juga operasi terhadap lori!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 


UNTUK tempuh dua bulan, mulai 1 November lalu hingga 31 Disember 2024, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan ‘Operasi Khas Motosikal Tahun 2024’ di seluruh negara.

Operasi dijalankan berikutan 70 peratus daripada laporan kemalangan bulanan yang membawa kematian melibatkan motosikal. Justeru fokus operasi adalah mengesan penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Tumpuan menjurus kepada tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM), tiada perlindungan insurans, melanggar lampu isyarat, ubah suai kenderaan secara keterlaluan, tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan teknikal lain.


Memang tiada harapan untuk hidup apabila kenderaan kecil 'dilenyek' oleh lori yang berat.


Sementara usaha JPJ ini wajar dipuji kerana bermatlamat mengurangkan kemalangan melibatkan motorsikal serta memastikan penunggang sentiasa mematuhi undang-undang, JPJ tidak harus hanya memberi tumpuan kepada motorsikal. 

Sebaliknya, pada hemat penulis, ia perlu juga memberi fokus kepada ‘raja jalan’ iaitu lori yang sering menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa. 

Yang kerap jadi mangsa ialah kenderaan kecil, termasuk motosikal. Umpama durian dengan mentimun, menggolek luka digolek pun luka. 

Boleh dikatakan saban hari ada sahaja berita lori terlibat kemalangan menyebabkan kematian. 

Ada lori yang melanggar dan melanggar kereta atau barisan kereta di jalan raya atau lebuh raya. Juga ada lori merempuh barisan kenderaan ketika berhenti di lampu isyarat.

Alasan yang sering digunakan jika berlaku kemalangan seperti ini ialah brek rosak. Ada juga kes pemandu di bawah pengaruh dadah atau minuman keras. 


Ibarat durian dengan mentimun. Kenderaan kecil juga yang menjadi mangsa apabila dilanggar kenderaan besar.


Sangat tidak adil akibat sikap mereka orang yang tidak berdosa menjadi korban atau cedera parah. Sudah begitu kerap kejadian seperti ini berlaku tetapi tetap berterusan. 

Lori dianggap sebagai ‘hantu berbahaya’ di jalan raya, mesti dijauhi dan dielakkan. Banyak kenderaan kecil ke tepi atau memberi laluan apabila diekori lori yang dipandu laju kerana bimbang keselamatan.

Kenapa brek tidak berfungi sentiasa dijadikan alasan apabila berlaku kemalangan? Tidakkah lori diperiksa dan disenggara sebelum bergerak di jalan raya? Jika ada pemeriksaan teliti kemalangan boleh dielakkan.

Bayangkan betapa ngerinya ketika kenderaan bergerak di lebuh raya atau berhenti di lampu isyarat dirempuh dari belakang oleh lori yang breknya rosak. Pemandu lori jarang cedera tetapi yang dirempuh mati atau cedera. 

Begitu juga pemandu yang di bawah pengaruh dadah atau minuman keras, memang tidak wajar sama sekali memandu kerana risikonya sangat tinggi. Tetapi itulah yang berlaku. Pemandu khayal menjadi pembunuh di jalan raya. 


Apabila lori hilang kawalan, beginilah jadinya. Ia merempuh banyak kereta yang mengakibatkan nyawa melayang atau cedera parah.


Yang menyedihkan hanya selepas kemalangana berlaku, barulah pihak berkuasa mendedahkan lori berkaitan mempunyai puluhan saman yang tidak dijelaskan. Selain itu, pemandu terlibat juga mempunyai banyak saman peribadi.

Saman yang banyak menunjukkan kenderaan dan pemandu terlibat telah melakukan pelanggaran undang-undang jalan raya berkali-kali, berulang-ulang. 

Kenapa tiada tindakan diambil dari awal? Kenapa setelah berlaku kemalangan baharu timbul cerita banyak saman? Usah bangga menyenaraikan rekod kesalahan setelah kejadian, seolah-olah hendak mewajarkan kenapa kemalangan berlaku.

Sepatutnya jika rekod menunjukkan saman tidak dibayar menurut waktu ditetapkan, tindakan pantas dan tegas mesti diambil. Jangan berlengah sehingga saman bertimbun baharu hendak bertindak, itu pun setelah berlaku kemalangan.

Bukan sahaja tindakan mesti diambil terhadap pemandu atau menyita kenderaan, pemilik atau syarikat lori mesti diambil tindakan jika didapati mengabaikan aspek keselamatan kenderaan dan membenarkan pemandu berbahaya berada di atas jalan raya. 

Kita mahu jalan raya selamat untuk semua. - KitaReporters

 

 

 

 

 

10
13
0
7
0
You will be interested