Insan & Komuniti 22 Jan, 2026

Tolong kami! Bantu ibu tunggal! Rayu RM80k bagi bawa pulang anak! Bertarung nyawa di hospital Thailand!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

 

Seorang pemuda berusia 21 tahun kini bertarung nyawa di sebuah hospital di Krabi, Thailand, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi bermotosikal bersama rakan-rakan pada 31 Disember 2025.


Motosikal Muhammad Hazim Rafiq Hussain yang terbabit dalam kemalangan pada 31 Disember 2025 di Karabi, Thailand.

Mangsa, Muhammad Hazim Rafiq Hussain berasal dari Pulau Pinang, dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta pelbagai kecederaan dalaman sehingga terpaksa menjalani pembedahan trakeostomi bagi membolehkannya bernafas.

Ibu mangsa, Rozina @ Norhafizah Abdul Rajad, 51, berkata, anaknya ke Thailand pada 30 Disember 2025 bersama lima orang rakan untuk aktiviti permotoran sebelum kemalangan berlaku pada keesokan harinya.

“Sebelum keluar rumah, anaknya sempat pesan supaya saya jangan risau. Dia cakap dia akan jaga diri dan menunggang dengan berhati-hati.

“Saya langsung tidak sangka itulah kali terakhir saya mendengar suaranya dalam keadaan sedar,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 21 Januari 2026.

Kemalangan berlaku pada 31 Disember 2025, apabila sebuah lori dilaporkan hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang ditunggang oleh Muhammad Hazim Rafiq  menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius dan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

Rakan-rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan, namun Muhammad Hazim Rafiq mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan dan sehingga kini, mangsa masih belum sedar.

Doktor yang merawat memaklumkan bahawa mangsa mengalami pendarahan otak, pneumotoraks, lebam paru-paru, patah tulang muka dan hidung, kecederaan pada bebola mata kanan serta patah tulang pelvis.


Beginilah keadaan Muhammad Hazim Rafiq Hussain yang masih dirawat di Thailand.


Akibat kecederaan serius pada bahagian muka dan hidung, mangsa tidak mampu bernafas secara normal, memaksa pihak hospital melakukan pembedahan trakeostomi bagi menyalurkan oksigen secara terus ke paru-paru.

Walaupun keadaannya kini dilaporkan stabil, mangsa masih memerlukan bantuan oksigen berterusan serta rawatan susulan termasuk pembedahan pembaikan tulang muka. Sebarang jangkitan atau komplikasi boleh mengancam nyawanya.

Sebelum berlepas, mangsa hanya dilindungi oleh insurans motosikal wajib dengan had perlindungan perubatan sebanyak RM4,000 sahaja. 

Setakat ini, kos rawatan terus meningkat setiap hari dan masih belum termasuk kos pembedahan susulan serta tempoh kemasukan ke hospital yang lebih panjang.

Pihak doktor menilai bahawa mangsa boleh dipindahkan pulang ke Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dengan syarat dilengkapi kemudahan oksigen, namun keluarga perlu menyelesaikan terlebih dahulu bil perubatan di Thailand.

“Saya tidak minta apa-apa selain peluang untuk membawa anak saya pulang. Saya hanya mahu dia terus hidup dan di rawat di tanah air,” kata Rozina.

Susulan itu, keluarga mangsa tampil memohon bantuan daripada One Hope Charity, dengan iringan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah.


Rozina @ Norhafizah Binti Abdul Rajad (tengah) menunjukkan gambar anaknya yang sedang dirawat di sebuah hospital di Thailand

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, berkata pihaknya bersetuju membantu selepas melawat ke rumah keluarga mangsa dan menilai kes tersebut.

“Kes ini melibatkan kecemasan perubatan rentas negara dan melibatkan seorang pemuda yang masih muda serta datang daripada keluarga berpendapatan sederhana.

“Selepas proses semakan, One Hope Charity bersetuju untuk membantu menggerakkan kutipan dana berjumlah RM80,000 bagi menampung kos rawatan dan proses membawa pulang mangsa,” katanya.

Muhammad Hazim Rafiq merupakan anak kedua daripada dua beradik dan bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan. 

Abangnya, seorang juruteknik kilang, kini berada di Krabi bagi menguruskan urusan rawatan dan pemindahan perubatan.

Ibu bapa mangsa telah berpisah sejak beberapa tahun lalu dan kedua-dua anak dibesarkan sepenuhnya oleh ibu mereka secara bersendirian.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817).

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi laman web rasmi www.onehopecharity.org.

Untuk pertanyaan selanjutnya, sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192. - KitaReporters

12
14
0
9
0
You will be interested