Insan & Komuniti 08 Dec, 2025

Musim durian! Peraih sibuk cari, kumpul, berniaga durian! Bawa rezeki kepada pekebun Bukit Gantang!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Selain Batu Kurau yang dikenali sebagai pengeluar durian terkenal di Perak, kawasan Bukit Gantang dekat Changkat Jering di Taiping juga tidak kurang menjadi salah satu kawasan pengeluar durian terbanyak di negeri ini. 


Kawasan kampung Air Kuning menjadi salah satu kawasan pengumpulan hasil durian di kawasan Bukit Gantang.

Rata-rata peraih durian kini meraih pendapatan apabila hasil durian yang sedang rancak dijangka hampir penghujungnya.  

Pengeluaran buah durian di Bukit Gantang meliputi pelbagai jenis seperti durian kampung premium, durian Musang King, Duri Hitam (Black Thorn), IOI dan sebagainya.

Tinjauan mendapati lebih 15 peraih durian membeli hasil durian dari kampung-kampung dengan harga di antara RM4 hingga RM8 sekilo, manakala bagi buah yang saiznya kecil dibeli dengan harga RM2 sekilo.

Bagi seorang peraih Mustafa Senik, 40, berkata, kebanyakan durian yang dibeli di jual sehingga ke Pulau Pinang dan ke Kuala Lumpur.

“Saya membeli sehingga lebih satu tan durian pelbagai jenis setiap hari,” katanya ketika ditemui pada 7 Disember 2025.


Beberapa peraih sedang memilih durian untuk menjaga kualiti buah durian yang dibeli daripada pekebun.

Antara kawasan yang paling banyak mengeluarkan durian pelbagai jenis di Kawasan Bukit Gantang ialah kawasan Kampung Air Kuning, Senduk, Changkat Ibol, Changkat Jering dan Kampung Cheh.

Peraih Ramli Jusoh, 55 berkata, dia membeli buah durian di kawasan ini sehingga habis musim.

“Ada buah durian dipasarkan di kawasan berdekatan seperti di Taiping, Bagan Serai, Ipoh dan beberapa kawasan lain,” katanya.

Menurut beliau, selain membeli buah durian, pihaknya juga membuat dan menjual tempoyak daripada buah durian bagi kegunaan masakan.

“Peraih membeli buah durian daripada penduduk supaya ia dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun pada musim ini,” katanya yang menjangkakan musim durian akan berakhir di kawasan Bukit Gantang pada Januari 2026. - KitaReporters


Peraih sedang mengisi durian ke dalam kenderan untuk dipasarkan.

10
8
0
10
0
You will be interested