Insan & Komuniti 14 Nov, 2025

Video| Kutip sisa sayur pasar malam! Tak perlu malu! Bukan untuk dijual! Dimakan haiwan peliharaan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Setiap kali pasar malam atau pasar pagi berakhir, deretan bakul dan guni berisi sayur-sayuran lebihan jualan akan memenuhi sudut belakang gerai. Ada yang sudah layu, ada juga yang masih segar, namun tetap dibuang kerana dianggap tidak lagi sesuai dijual.



Pemandangan sebegini sudah menjadi kebiasaan di banyak pasar, termasuk di Nat Sungai Yan, Kedah. 

Namun bagi seorang wanita yang dikenali sebagai Meyra Ameera, apa yang dianggap ‘sampah’ oleh sesetengah peniaga itu sebenarnya rezeki yang tidak ternilai. 

Melalui akaun TikTok @meyraameera92, dia berkongsi aktivitinya mengutip sayur-sayuran terbuang, bukan untuk dijual semula, tetapi untuk memberi makan kepada ‘anak-anak bulu’ (haiwan seperti ayam, itik dan angsa) peliharaannya di rumah.

Dalam hantaran pertamanya pada 21 Oktober 2025, Meyra menceritakan pengalaman menyertai aktiviti yang biasanya dilakukan oleh kaum lelaki di kawasan itu.



“Ramai juga orang kutip sayur kat Nat Sungai Yan ni. Tapi yang rare, dalam empat orang tu semua lelaki. Saya ja perempuan. Hari ni dapat banyak juga. 

"Alhamdulillah rezeki anak-anak bulu kat rumah,” tulisnya berserta emoji ceria.

Video berdurasi hampir seminit itu memaparkan Meyra dengan senyuman sambil memilih dan mengutip sayur-sayuran yang masih elok. 

Hantaran tersebut meraih lebih 4,600 tanda suka dan ratusan komen daripada pengguna TikTok yang kagum dengan ketabahannya.



“Saya taklah susah sangat, tapi kalau dapat peluang macam ni saya join juga. Tapi kenapa diorang buang? Sayang sungguh,” tulis salah seorang netizen.

Manakala bagi sesetengah netizen lain pula, kisah Meyra mengimbau nostalgia lama. 

“Kadang mak pergi kedai ambil ikan yang pecah perut, buat-buat kata nak bagi kucing makan, padahal untuk anak-anak. Perjuangan ibu tunggal memang tak mudah,” kongsi seorang netizen dengan nada sedih.


 


Beberapa hari kemudian, Meyra sekali lagi mencuri perhatian menerusi hantaran keduanya yang kini meraih lebih 695.5 ribu tontonan. Kali ini, dia berkongsi pengalaman mengutip sayur bersama suaminya.



"Tadi tengah kutip-kutip, ada kak tegur dari dalam kereta, “Hai, buat konten TikTok ka? 

"Mungkin kak tu nampak video saya. Malam ni ajak parka (suami) kutip sekali. Selalunya kutip sorang-sorang ja. 

"Alhamdulillah rezeki malam ni dapat banyak sayur. Dapat lobak banyak, keras-keras lagi,” tulisnya.

Menurutnya, aktiviti itu dilakukan dua kali seminggu, setiap Isnin dan Khamis bergantung pada waktu peniaga mengemaskan jualan.



“Terima kasih tau hampa yang selalu support dan komen video kutip-kutip saya. Nanti kita share lagi!” tulisnya dengan nada ceria.

Ruangan komen dibanjiri sokongan moral daripada netizen yang terinspirasi dengan keberanian Meyra.



Start malam ni saya nak pergi pasar malam lepas tutup, nak tengok ada tak orang buang macam ni. Rumah saya dengan pasar malam lima minit jalan kaki,” komen seorang netizen.

Sementara itu, seorang netizen berkongsi pengalaman melihat situasi sama di pasar malam.

“Saya tengok berbakul-bakul buah dibuang. Ada je elok lagi, tapi takut orang cakap saya jual buah buangan sebab saya jual colek buah,” kongsinya.



Menjawab komen tersebut, Meyra menjelaskan dia juga adalah seorang peniaga makanan. Namun, dia lebih suka melihat dari pandangan positif.

“Saya pun peniaga makanan juga. Tapi saya kutip bukan untuk makan, untuk anak-anak bulu. 

"Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Kalau orang pakai mata lebah, nampaklah madunya. Kalau mata lalat, sekecik-kecik benda pun akan salah di mata mereka,” jawabnya.



Kisah Meyra bukan sekadar tentang mengutip sisa sayur, tetapi mencerminkan ketabahan dan kebijaksanaan wanita kampung dalam menghargai rezeki. 

Dalam dunia yang cepat menghukum berdasarkan pandangan mata, Meyra membuktikan bahawa kerja kecil yang dilakukan dengan niat baik tetap punya nilai besar.

Ramai pengguna menganggap tindakannya sebagai simbol wanita berdikari yang tidak malu mencari rezeki halal. 

Sebagaimana komen seorang netizen berbunyi, “Rezeki tak semestinya datang dari wang. Kadang datang dalam bentuk sayur yang orang buang, tapi cukup buat kita rasa syukur.” - KitaReporters



9
10
0
11
0
You will be interested