Insan & Komuniti 10 Sep, 2025

Karnival sukan rakyat! Seronok, meriah! Eratkan hubungan MDHT, komuniti! Martabatkan warisan budaya!

@fatimah itayah
Mula ceburi dunia kewartawanan sebagai wartawan akhbar. Masih banyak perlu dipelajari!

Share this

SUKAN rakyat merujuk kepada pelbagai jenis permainan tradisional yang bukan semata-mata menjadi aktiviti riadah tetapi turut mencerminkan warisan budaya sesuatu masyarakat.



Peredaran zaman serta perkembangan teknologi semasa hari ini menyebabkan permainan seperti lari dalam guni, golek rim, tarik upih, galah panjang, boling kelapa dan tapak gajah kian dilupakan masyarakat.

Sebagai menghargai dan memartabatkan warisan budaya, Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Sukan Rakyat MDHT Bersama Komuniti Bandar Kuala Berang di Taman Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 6 September 2025.

Yang Dipertua MDHT, Mohd. Nasir Kasim berkata penganjuran karnival tersebut merupakan salah satu program di bawah Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) yang telah diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).



"Karnival sukan rakyat ini bukan sekadar medan beriadah dan bersukan, tetapi juga platform mengukuhkan hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan dan hargai warisan budaya melalui permainan tradisional yang kian dilupakan.

"Menerusi penglibatan pelbagai lapisan masyarakat ia tidak hanya dipenuhi semangat kesukanan tetapi juga pendedahan kepada generasi muda serta mengimbau nostalgia untuk golongan lama, kisah permainan mereka dulu-dulu.

"Sukan rakyat lambang warisan budaya yang harus terus dilestarikan, ia mengingatkan kita bahawa keseronokan tidak semestinya datang daripada teknologi moden, tetapi juga melalui permainan tradisional yang menyatukan kita semua tanpa mengira usia, latar belakang atau kedudukan.

"Setiap permainan tradisional bukan hanya sebagai aktiviti riadah tetapi berperanan penting dalam memupuk perpaduan, mengekalkan warisan budaya dan memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, kesederhanaan serta semangat kekitaan dalam masyarakat,” katanya ketika dihubungi KitaReporters.


Acara menangkap itik antara aktiviti yang mendapat perhatian pada Karnival Sukan Rakyat MDHT Bersama Komuniti Bandar Kuala Berang, di Taman Kuala Berang, Hulu Terengganu. 


Acara bola beracun disertai generasi muda.


Tambah Mohd. Nasir, karnival itu juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dan kebersihan persekitaran tempat tinggal selain menjadikan bandar serta penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat berdaya tahan dan mampan.

Karnival yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira lebih 500 orang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil KPKT iaitu Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Mohd. Zainal Mohd. Nor dan ketua serta wakil pelbagai jabatan pada peringkat daerah. -KitaReporters



11
14
0
11
0
You will be interested