Gema Selawat Nabi SAW dalam slot Bangi Berselawat menjadi acara kemuncak sempena perasmian Karnival Jubli Perak (25 Tahun) Masjid Al-Hasanah (MAH) Bandar Baru Bangi, Selangor. Merdu dan menusuk kalbu apatah lagi apabila semua hadirin turut berselawat. - KitaReporters

GEMA Selawat Nabi SAW dalam slot Bangi Berselawat menjadi acara kemuncak sempena perasmian Karnival Jubli Perak (25 Tahun) Masjid Al-Hasanah (MAH) Bandar Baru Bangi, Selangor.
Merdu dan menusuk kalbu apatah lagi apabila semua hadirin turut berselawat bersama-sama menjadikan suasana di pentas utama seperti bunyi gelombang besar yang penuh kesyahduan.

Hadirin termasuk pelajar tahfiz yang hadir turut berselawat sempena Majlis Perasmian Karnival Jubli Perak Masjid Al-Hasanah dan Bangi Berselawat.
"Saya berbangga dengan sambutan baik masyarakat Islam penduduk setempat dan di luar Bandar Baru Bangi yang datang beramai-ramai untuk memeriahkan karnival ini.
"Memang teruja melihat suasana malam ini semua jemaah dapat berselawat bersama-sama, sekali gus merapatkan ukhuwah dalam kalangan kita," kata Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Orang Kaya To' Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Datuk Rosli Othman.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jubli Perak Masjid Al-Hasanah. Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; dan Nazir Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.

Rosli Othman (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu VIP sempena program Bangi Berselawat dan Majlis Perasmian Karnival Jubli Perak Masjid Al-Hasanah.
Beliau berkata, sambutan hebat juga diterima daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan pengurusan MAH, membuktikan usaha keras yang dilakukan sejak berbulan-bulan dulu berbaloi. Tahniah!
"Kehadiran kita bukan sekadar mengenang 25 tahun Masjid Al-Hasanah tapi lebih penting mengukuhkan ukhuwah dan merapatkan hubungan sesama jemaah.
"Melihat suasana malam ini, saya tidak terkejut apabila MAH dinobatkan sebagai Masjid Terbaik di Selangor 2024. Banyak keistimewaan masjid ini yang kadangkala kita tidak perasan.
"Walaupun baru berbanding masjid-masjid besar lain di Selangor, ia berjaya menempatkan diri sebagai pusat ilmu dan ibadah, aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakat dan menjadi rujukan penduduk setempat," katanya.

Tetamu VIP bergambar kenangan bersama orang ramai termasuk pelajar tahfiz sempena Karnival Jubli Perak Masjid Al-Hasanah.
Beliau turut tertarik dengan usaha MAH mewujudkan koperasi yang memainkan peranan cemerlang membuka peluang pekerjaan kepada umat Islam, meningkat sosial ekonomi dan mengukuhkan dimensi masjid sebagai pusat sehenti untuk semua.
"Masjid ini membuktikan ia bukan sekadar tempat beribadah tapi memakmurkan pembangunan ekonomi dan sosial malah meningkatkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
"Saya berharap pengurusan MAH boleh terus merancang usaha-usaha baik ini dan pastikan Masjid Al-Hasanah sentiasa berdaya saing, teroka bidang baharu dan mengangkat institusi masjid sebagai pusat penggerak umah," katanya.

Karnival Jubli Perak Masjid Al-Hasanah menjadi tumpuan keluarga dan masyarakat di Bandar Baru Bangi dan Lembah Klang.
Sementara itu, Ustaz Mohd Safian mengakui terharu dengan sambutan pengunjung sejak karnival itu diadakan pada 24 Julai 2025 dan menganggap penat lelah merancang, bermesyuarat dan mencambah idea terbayar
Beliau berkata, bukan mudah menganjurkan acara besar seperti ini kerana ia membabitkan banyak pihak malah persediaan dilakukan berbulan-bulan, tapi alhamdulillah semua kerja yang dilakukan dipermudahkan Allah.
"Selain kejayaan mendapat anugerah Masjid Terbaik Negeri Selangor 2024, inilah yang membuatkan saya dan pengurusan MAH berbangga. Ia adalah kerja berpasukan, syabas.
"Saya berharap jemaah terus mengimarahkan masjid ini, beri cadangan membina supaya kita dapat menjadikan rumah Allah tempat terbaik untuk masyarakat Islam, pusat ekonomi ummah dan destinasi persinggahan jika datang ke Bandar Baru Bangi," katanya.

Pelbagai reruai disediakan sepanjang empat hari karnival bagi memberi peluang pengunjung mendapatkan pelbagai jenis barangan dan makanan.
Sementara itu, sepanjang empat hari karnival, pelbagai aktiviti diadakan antaranya qiamulail perdana; kuliah subuh, dhuha dan maghrib; Ceramah Perdana; pertandingan khat; pemeriksaan percuma; larian santai; Da'i Cilik; pertandingan makan ramen; e-sukan; silat; gubahan telekung; futsal; pameran keris; dan majlis perkahwinan perdana.
Acara kemuncak selain Bangi Berselawat ialah kehadiran kumpulan nasyid terkenal, Hijjaz dan cabutan bertuah dengan hadiah utama pakej mengerjakan umrah bernilai RM7,940 dan pakej melancong ke Korea bernilai RM4,798. - KitaReporters

Cabutan bertuah menawarkan hadiah utama, pakej mengerjakan umrah ditaja oleh syarikat Andalusia Travel dan Tours.